Arkib Tag: Ital Auto Malaysia

Ital Auto Malaysia buka bilik pameran Ferrari di Kuala Lumpur

SERENTAK dengan pelancaran Ferrari Purosangue dan Roma Spider, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd turut sempat merasmikan pembukaan bilik pameran pertamanya di negara ini.

Terletak di Four Seasons Place Kuala Lumpur, bilik pameran baharu itu direka untuk memenuhi keperluan pelanggan baharu dan sedia ada Ferrari di rantau ini, selaras dengan konsep Ferrari Showroom Experience.

Kemudahan berkeluasan 3,826 kaki persegi itu mempunyai ruang pameran yang boleh menempatkan sehingga dua buah kenderaan pada satu-satu masa.

Selain itu, terdapat juga ruang pelanggan yang dihiasi mengikut identiti korporat (CI) terkini Ferrari dan ruang Heritage Library yang menyediakan pelbagai bahan bacaan khusus untuk peminat setia jenama Prancing Horse itu.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan penglibatan Ferrari dalam sukan permotoran menerusi paparan aktif dan ruang video yang disediakan.

Satu lagi kemudahan yang disediakan adalah Ferrari Atelier, di mana pelanggan boleh memilih warna, kelengkapan dan bahan yang boleh digabungkan dengan kemudahan personalisasi Ferrari Tailor Made untuk menghasilkan Ferrari yang lebih unik mengikut citarasa tersendiri.

Bilik pameran Ferrari ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam pada hari minggu dan dari 10 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu.

Untuk perkhidmatan selepas jualan, pemilik Ferrari di negara ini boleh mengunjung pusat servis Ital Auto Malaysia yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Pusat tersebut dilengkapi sepenuhnya dengan alat ganti tulen dan kelengkapan diagnostik Ferrari yang dioperasikan oleh juruteknik bertauliah dengan pengalaman lebih 10 tahun.

Ital Auto pengedar rasmi baharu Ferrari di Malaysia

SEPERTI yang anda mungkin sedia maklum, Naza Italia kini bukan lagi pengedar eksklusif Ferrari di Malaysia. Kerjasama antara kedua syarikat itu tamat berkuat kuasa 8 April lalu setelah hampir 15 tahun menjalin hubungan sebagai rakan perniagaan.

Kini, Ferrari telah mengumumkan bahawa peranan itu akan diambil alih oleh Ital Auto Malaysia Sdn Bhd bermula 5 Mei 2023. Ital Auto Malaysia adalah anak syarikat Ital Auto Pte Ltd yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Singapura sejak 2009.

Ital Auto pula merupakan sebahagian daripada Kumpulan Komoco yang turut bertanggungjawab mengendalikan beberapa jenama automotif lain termasuk Hyundai dan Maserati di negara republik itu.

Dalam satu kenyataan, Ferrari berkata Ital Auto Malaysia akan mengambil alih deposit dan tempahan sedia ada dari Naza Italia.

Seluruh pasukan operasi dari Naza Italia juga telah dipindahkan ke Ital Auto Malaysia bagi memastikan kesinambungan kepada pelanggan dan permulaan operasi yang lancar.

Selain itu, sebuah pusat servis sementara di Glenmarie juga sedang dalam proses pembinaan dan dijangka sedia untuk memberikan khidmat aftersales menjelang Jun 2023. Ini akan diikuti dengan sebuah bilik pameran sementara di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur menjelang Ogos tahun yang sama.

Pusat 3S rasmi akan dibuka kepada pelanggan pada suku pertama tahun 2025.