Arkib Tag: Iswara

Lima ‘besi lama’ Proton bawah RM5,000 yang masih berbaloi dimiliki

SEJAK Proton memasarkan model Saga lebih 36 tahun yang lalu, terdapat ratusan ribu kenderaan keluaran syarikat itu di negara ini.

Apa yang lebih membanggakan kenderaan keluaran Proton juga telah berkelana di beberapa buah negara termasuk United Kingdom, Brunei, Pakistan dan banyak lagi.

Walaupun Proton makin berkembang dengan pelbagai model kenderaan terkini namun, tidak dinafikan masih ada yang mencari produk terdahulu syarikat tersebut.

Artikel kali ini, Engear ingin senaraikan lima jenis kenderaan Proton yang berharga RM5,000 ke bawah.

Jom kita check it out!

Proton Iswara LMST

Foto ihsan Wikipedia

Proton mula memperkenalkan model Iswara LMST sekitar tahun 2003 sehingga 2008.

Iswara LMST suatu ketika amat popular di negara ini bukan sahaja kerana harganya mampu milik tetapi lebih penting sangat kukuh untuk ‘membelah’ jalan raya.

Hasil carian Engear di internet mendapati model ini masih boleh didapati dan lebih penting harganya sangat berbaloi.

Sebuah Proton Iswara LMST tahun 2006 boleh dibeli pada harga RM4,499 dan jangan terkejut, kereta ini masih mampu ‘perform’ dengan baik ya!

Proton Tiara

Foto ihsan Wikipedia

Nama Proton Tiara pernah popular suatu masa dahulu memandangkan ia juga amat sesuai untuk perlumbaan rally.

Menggunakan enjin Renault, model ini sangat tahan lasak walaupun rata-rata takut dengan statusnya yang menggunakan enjin syarikat continental itu.

Sebuah Tiara tahun 1997 kini boleh didapati pada harga serendah RM2,500 di internet.

Jadi, jika anda berminat jadikan kereta ini sebagai hobi rally di mana-mana ladang kelapa sawit mungkin boleh pertimbangkan memiliki sebuah Tiara.

Proton Savvy

Foto ihsan Wikipedia

Satu lagi model Proton menggunakan enjin Renault adalah Proton Savvy.

Tidak dinafikan memang ‘sedap’ memandu Savvy terutama daripada segi kawalan stereng dan daya pecutan.

Bagaimanapun, ramai juga takut dengan kereta ini yang menggunakan transmisi gear jenis AMT.

Ramai beranggapan transmisi AMT memerlukan kos baiki agak tinggi jika berlaku sebarang masalah.

Setakat ini, sebuah Savvy boleh didapati dengan harga RM3,600 sahaja.

Proton Waja

Foto ihsan Wikipedia

Kukuh, laju dan jimat.

Itu tiga perkataan dapat digambarkan bagi model Proton Waja 1.8 Premium.

Model ini dikatakan mempunyai kawalan sangat baik walaupun dipandu dengan kelajuan tinggi.

Bagaimanapun, segelintir Waja dikatakan sering berdepan masalah suspensi belakang apabila kenderaan terbabit terlanggar lopak atau lubang di jalan raya.

Untuk sebuah Waja 1.8 Premium tahun 2002, anda boleh miliki pada haraga serendah RM4,500.

Proton Perdana V6

Foto ihsan Wikipedia

Proton Perdana V6 dikeluarkan pada tahun 1998 sehingga 2010.

Model ini amat sesuai bagi mereka yang kerap berada di atas jalan atau sering ke luar kawasan.

Apa tidaknya, model ini agak besar dan sesuai untuk kegunaan mereka yang berkeluarga.

Sebuah Proton Perdana V6 boleh didapati pada harga RM4,599 dan jika anda bernasib baik silalah bargain serendah mungkin.

Itu lima jenis model keluaran Proton berharga RM5,000 ke bawah.

Nak tahu ulasan lebih lanjut sila tonton video bersama host Engear Syamsul Yunos di platform media sosial terpilih.

Chiow!

Lelaki maut kereta meletup di Kota Bharu, bagaimana mercun jadi punca?

SEORANG lelaki maut selepas kereta dinaiki meletup secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Kota Bharu, semalam.

Lelaki berusia 50-an itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selain mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa.

“Mayat mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan termasuk kedua-dua belah kaki,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Sementara itu, empat lagi mangsa berada berhampiran lokasi kejadian turut tercedera.

Antara mangsa cedera parah termasuk seorang anggota polis yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Letupan gegar kawasan sekitar

Terdahulu, insiden letupan menyebabkan cermin bangunan sebuah tadika dan masjid yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian pecah.

Insiden turut menyebabkan kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa terputus dua selain dijilat api.

Selain kereta Proton Iswara mangsa, lima kenderaan lain turut rosak akibat kejadian itu termasuk sebuah Proton Waja yang terbakar teruk.

Susulan insiden itu, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Isteri mangsa maut pasrah

Sementara itu, isteri kepada lelaki yang maut akibat insiden letupan kenderaan di Kota Bharu semalam pasrah dengan kejadian terbabit.

Faridah Husin, 49, berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, arwah sering kali berulang-alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana mereka sekeluarga akan berpindah rumah tidak lama lagi.

Insiden letupan itu merupakan pertama kali seumpamanya di kawasan itu.

Memetik laporan Bernama, insiden turut menyebabkan kerugian kepada peniaga restoran berhampiran kawasan letupan.

Mercun Bola antara jenis mercun yang popular di negara ini yang dipercayai sering dibawa masuk dari negara jiran.

Mercun punca letupan?

Setakat ini, siasatan penuh kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Namun, siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kenderaan mangsa yang dipercayai menjadi punca kepada letupan berkenaan.

Umum mengetahui bahawa mercun merupakan sejenis perkakas letupan kecil yang direka bagi menghasilkan dentuman kuat.

Mercun diharamkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia selepas terdapat bilangan kes kemalangan tinggi membabitkan bahan letupan itu.

Larangan penggunaan mercun termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.

Secara am, proses pembakaran memerlukan tiga komponen iaitu oksigen, bahan bakar dan haba.

Mercun yang dibakar melalui sumbu akan membekalkan haba sebelum membentuk tindak balas kimia bagi menghasilkan letupan.

Gas oksigen akan terhasil dengan kadar cepat dalam sarung mercun yang tertutup apabila menerima haba yang mencukupi.

Berikut merupakan tindak balas redoks dalam pembakaran mercun yang dipetik daripada laman web Root of Science.

Penurunan/ Reduction (thermal decomposition reaction):
2KNO3 (solid)+tenaga→ 2KNO2 (solid)+ O2 (gas)

Pengoksidaan/ Oxidation (combustion):
C (solid)+ O2 (gas)→ CO2 (gas)+tenaga
S (solid)+ O2 (gas) → SO2 (gas)+tenaga

Bagaimanapun, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung insiden letupan kenderaan di Kota Bharu, semalam.

Sebarang siasatan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dalam mencari punca berlaku insiden tersebut.

Kami di EnGear mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Senarai rakyat Malaysia pemurah, sedia khidmat kenderaan percuma

SIKAP saling membantu sesama insan tidak dinafikan merupakan amalan murni dan amat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat.

Amat bertuah, Malaysia tidak ketandusan memiliki insan mulia yang sanggup berkorban demi membantu individu dalam kesusahan.

Baru-baru ini misalnya, tular di media sosial usaha seorang individu di Sabah menyediakan perkhidmatan kereta percuma untuk membawa pesakit mendapatkan rawatan di hospital.

Perkhidmatan percuma itu bukan sahaja mendapat pujian masyarakat, malah turut memberi inspirasi kepada ramai insan lain.

Sebagai penghormatan, artikel kali ini EnGear senaraikan beberapa usaha orang ramai yang memberi perkhidmatan kenderaan percuma kepada insan memerlukan.

Perkhidmatan van jenazah percuma disediakan oleh Noorkhiriah dan suami.

Perkhidmatan van jenazah percuma

Pelakon Noorkhiriah dan suami menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada umat Islam yang memerlukan.

Mengakui ia sebagai sebahagian ‘bekalan’ akhirat, Noorkhiriah dan suami berharap usaha itu dapat membantu mereka dalam kesusahan.

Mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai tahun lalu, pelakon itu tekad untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Uncle Kentang terkenal dengan sifatnya suka mebantu insan kesusahan.

Perkhidmatan ambulans percuma

Siapa tidak kenal aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang?

Tahun lalu, Uncle Kentang dan pasukannya berjaya mengumpul dana RM150,000 bagi membeli sebuah van yang dijadikan sebagai ambulans.

Ambulans berkenaan digunakan bagi menghantar pesakit ke hospital secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Perkhidmatan kereta ke hospital

Pada 2017, seorang pemuda bernama Wan Muhiddin Asyrafi Wan Baharunddin tampil menawarkan perkhidmatan kereta percuma bagi golongan rentan untuk ke hospital.

Perkhidmatan kereta percuma itu beroperasi merangkumi kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pasir Mas.

Paling menakjubkan, ia adalah kerja amal pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran ulang alik ke hospital secara percuma!

Kesimpulannya, ada ramai rakyat Malaysia yang berbaik hati untuk melakukan kerja amal.

Namun, ia tidak bererti kita harus berpeluk tubuh dan membiarkan golongan memerlukan terus dihimpit kesusahan.

Maka, mulai saat ini ayuh kita sama-sama tampil melakukan kerja amal demi kesejahteraan bersama!

Selamat beramal!!!