Arkib Tag: iphone

Foxconn mahu buka kilang cip di Malaysia dengan rakan kongsi tempatan

FOXCONN yang merupakan kontraktor utama pengeluaran iPhone merancang membuka kilang pengeluaran cip di Malaysia, dengan rakan kongsi tempatan. Ini berikutan permintaan semikonduktor yang digunakan dalam kenderaan EV yang semakin meningkat.

Imej oleh: CNBC

Untuk menjayakannya, Foxconn Taiwan telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Dagang NeXchange Berhad (DNex) Malaysia melalui anak syarikat.

Menurut Soya Cincau BM yang memetik Nikkei Asia, perkara ini sudah lama dirancang Foxconn. Sejak tahun 2021, Foxconn memiliki kira-kira 5 peratus pegangan saham dalam DNex dan mempunyai satu kerusi di lembaga syarikat itu.

Walau bagaimanapun, lokasi dan jumlah pelaburan masih belum diumumkan. Dianggarkan bahawa perbelanjaan modal untuk projek itu adalah antara USD3 bilion dan USD5 bilion.

Apabila siap kelak, kilang itu dijangka akan menghasilkan sekitar 40,000 wafer sebulan. Ia merangkumi cip 28-nanometer dan 40-nanometer.

Sebenarnya, Foxconn ingin menempatkan kilangnya di serata dunia berikutan Apple memberi cadangan supaya mereka mempertimbangkan untuk membawa keluar kapasiti pengeluaran ke negara lain.

Sebelum menandatangani memorandum bersama DNex, Foxconn ada mengumumkan rancangan untuk membina kemudahan cip di India.

Selain itu, Foxconn juga ada membeli kilang di bandar Hsinchu di utara Taiwan pada 2021 untuk membangunkan cip silikon karbida bagi kegunaan automotif.

Malaysia telah pun menjadi salah satu destinasi pilihan di Asia Tenggara, untuk syarikat-syarikat besar membangunkan kilang semikonduktor.

Selain Foxconn, Infineon Technologies juga telah melabur hampir RM9.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka yang terletak di Kulim. Kilang tersebut dijangka mula beroperasi dalam tahun 2024.

Kamera iPhone boleh rosak jika terdedah pada gegaran motosikal – Apple

APPLE baru menyiarkan satu kenyataan yang secara asasnya supaya jangan memasang iPhone kita pada motosikal. Pendedahan kepada gegaran yang dihasilkan oleh enjin motosikal berkuasa tinggi boleh merosakkan sistem kamera iPhone.

Model-model iPhone terkini mempunyai beberapa sistem kamera yang memberikan hasil gambar jelas. Sistem ini termasuklah Optical Image Stabilisation (OIS) dan Close-Loop Autofocus yang dikuasakan oleh komponen fizikal.

OIS berfungsi dengan sebuah gyroskop mengesan sebarang pergerakan yang tidak diperlukan dan lensa yang menyingkirkannya, lantas mendapat imej lebih jelas.

Optical Image Stabilisation pada Apple iPhone. Sumber: CNET

Ciri ini sudah wujud sejak iPhone 6 Plus dan ianya bahagian penting untuk kebanyakan kamera pada telefon pintar moden dan flagship.

Menurut Apple, Closed-Loop AF “menahan kesan graviti dan gegaran untuk mengekalkan fokus tepat dalam imej kaku, video dan panorama.” iPhone mempunyai pengesan magnetik dalaman yang mengukur graviti dan gegaran, jadi posisi lensa dilaras sebetulnya.

Mereka berkata sistem-sistem ini telah diuji untuk ketahanan, tetapi nampaknya gegaran berlebihan untuk sesetengah tempoh akan memberi kesan kepada prestasi OIS dan Closed-Loop AF, menjurus kepada imej lebih kabur.

Enjin motosikal berkuasa tinggi menghasilkan gegaran kuat yang dipindahkan ke casis dan bar hendal, tempat di mana kebanyakan penunggang memasang telefon pintar mereka.

Apple mencadangkan pengguna mengelakkan telefon mereka dari terdedah kepada gegaran sebegitu.

Kenderaan dengan enjin lebih kecil atau elektrik (EV) seperti kapcai dan skuter mungkin menghasilkan gegaran lebih rendah, Apple tetap mencadangkan agar pengguna memasang pemegang yang mempunyai penyerap gegaran.