fbpx

Foxconn mahu buka kilang cip di Malaysia dengan rakan kongsi tempatan

foxconn – cnbc
Imej oleh: CNBC

FOXCONN yang merupakan kontraktor utama pengeluaran iPhone merancang membuka kilang pengeluaran cip di Malaysia, dengan rakan kongsi tempatan. Ini berikutan permintaan semikonduktor yang digunakan dalam kenderaan EV yang semakin meningkat.

Imej oleh: CNBC

Untuk menjayakannya, Foxconn Taiwan telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Dagang NeXchange Berhad (DNex) Malaysia melalui anak syarikat.

Menurut Soya Cincau BM yang memetik Nikkei Asia, perkara ini sudah lama dirancang Foxconn. Sejak tahun 2021, Foxconn memiliki kira-kira 5 peratus pegangan saham dalam DNex dan mempunyai satu kerusi di lembaga syarikat itu.

Walau bagaimanapun, lokasi dan jumlah pelaburan masih belum diumumkan. Dianggarkan bahawa perbelanjaan modal untuk projek itu adalah antara USD3 bilion dan USD5 bilion.

Apabila siap kelak, kilang itu dijangka akan menghasilkan sekitar 40,000 wafer sebulan. Ia merangkumi cip 28-nanometer dan 40-nanometer.

Sebenarnya, Foxconn ingin menempatkan kilangnya di serata dunia berikutan Apple memberi cadangan supaya mereka mempertimbangkan untuk membawa keluar kapasiti pengeluaran ke negara lain.

Sebelum menandatangani memorandum bersama DNex, Foxconn ada mengumumkan rancangan untuk membina kemudahan cip di India.

Selain itu, Foxconn juga ada membeli kilang di bandar Hsinchu di utara Taiwan pada 2021 untuk membangunkan cip silikon karbida bagi kegunaan automotif.

Malaysia telah pun menjadi salah satu destinasi pilihan di Asia Tenggara, untuk syarikat-syarikat besar membangunkan kilang semikonduktor.

Selain Foxconn, Infineon Technologies juga telah melabur hampir RM9.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka yang terletak di Kulim. Kilang tersebut dijangka mula beroperasi dalam tahun 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved