Arkib Tag: intip

Intip: Chery OMODA 5 diuji di Malaysia, pelancaran tidak lama lagi?

CHERY baru-baru ini telah membuka tempahan bagi OMODA 5 di China dan melancarkan OMODA Metaverse Community, satu platform perkongsian atas talian bagi pengguna global.

Dan kini sebuah unit prototaip crossover itu telah dilihat di Malaysia. Menurut pembaca yang mengirim gambar-gambar itu kepada Engear, unit ujian itu dijumpai di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Unit ujian OMODA 5 ini dilindungi oleh celoreng yang biasa digunakan oleh kenderaan-kenderaan prototaip yang diuji di jalan raya awam. Bahagian identiti seperti gril, lampu depan dan belakang, serta tiang-C ditutup dengan kemas.

Hanya rim dan cermin sisi yang dilihat agak jelas. Terdapat juga spoiler bumbung dan antena sirip jerung (shark fin) sama seperti gambar-gambar rasmi OMODA 5 yang disiarkan minggu lepas.

Pada 5 Julai lepas, kami ada menyiarkan berita bahawa crossover ini telah dibuka tempahannya di China. Sementara itu, Australia telah sah menjadi pasaran seterusnya, dan diikuti Malaysia yang bakal menyusul.

Sebanyak tujuh varian SUV tersebut ditawarkan di China dengan pilihan trenkuasa 1.6 TGDI dan kotak gear dwi-klac DCT 7-kelajuan atau 1.5 TCI dengan CVT 9-kelajuan.

Trenkuasa pertama menghasilkan 197PS dan 290Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8saat.

OMODA 5 menawarkan empat mod pemanduan – Eco, Normal, Sport dan Super Sport. Mod terakhir membebaskan kuasa penuh enjin, menukar susunan panel meter digital, pencahayaan ambien menjadi kuning terang dan bunyi trek simulasi dimainkan melalui pembesar suara bagi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.

Falsafah reka bentuk ‘Art in Motion’ baharu Chery memberikan OMODA 5 penampilan yang dinamik manakala pada bahagian dalaman, Lion 5.0 AI technology smart cockpit mengelilingi para penumpang dengan teknologi canggih dan warna kontras, memberikan aura futuristik.

Mengenai OMODA Metaverse Community, platform ini dicipta berdasarkan kehendak golongan muda, dan merupakan salah satu hasil falsafah user-centric Chery di mana kebebasan dan penciptaan bersama menjadi konsep teras.

Para pengguna boleh menyertai sesi soal-jawab mengenai komuniti atau produk Chery, dan berkomunikasi dengan lancar pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Perodua Myvi facelift dilihat di jalan awam! Sedang jalani penggambaran iklan?

LIHAT apa yang kami terima hari ini, beberapa keping gambar Perodua Myvi facelift 2021! Gambar-gambar ini dikongsi oleh rakan media kami, Funtasticko dari tangkap layar story Instagram @myvitesse, menunjukkan Myvi facelift di tempat awam.

Juga dikenali dengan kod nama D51A, Myvi ini difahamkan berkemungkinan sedang menjalani penggambaran iklan kerana terdapat kain penutup dan SUV Porsche Cayenne dengan kren kamera di atasnya.

Dapat dilihat dengan jelas rupa depan dan belakang Myvi ini yang telah diberikan beberapa perubahan. Di depan, lampu depannya direka semula lebih garang, gril menyerupai Perodua Ativa, cermin sisi hitam, dan bampar rekaan baharu dengan DRL jenis menegak.

Di belakang pula lampu kelihatan tidak berubah, tetapi bahagian luar bampar telah direka semula dengan trim hitam halus menegak menggantikan kemasan seperti rongga udara besar pada Myvi 2017.

Bahagian sisi seperti tiada perubahan, dimana Myvi ini mendapat rim rekaan sama dengan saiz 15-inci.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Perodua Myvi facelift bukan sahaja akan mendapat rupa baharu, tetapi juga kemas kini dari aspek mekanikal.

Myvi D51A akan mendapat kotak gear baharu D-CVT seperti pada Ativa, menggantikan kotak gear 4AT automatik 4-kelajuan pada model semasa.

Enjinnya masih sama, tetapi tetap menarik untuk membandingkan perbezaannya dengan Ativa memandangkan Myvi menggunakan enjin 2NR-VE 1.5-liter naturally-aspirated (dan 1NR-VE 1.3-liter), tetapi Ativa dipacu oleh 1.0-liter turbo.

Dijangkakan juga Myvi akan mendapat ciri keselamatan lebih maju iaitu ASA 3.0. Bergantung kepada varian, ia akan merangkumi Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Monitor System (BSM) dan Lane Keep Control (LKC).

Bagaimana rupa akhir King Highway ini nanti? Sama-sama kita nantikan semasa pelancarannya!

Intip: Porsche 911 dengan spring lebih tinggi, versi Safari bakal kembali?

TIDAK cukup dengan berpuluh variasi 911 yang Porsche tawarkan, ada lagi beberapa tambahan yang sedang dibangunkan oleh pengeluar Jerman itu.

Antaranya ialah varian hibrid, tetapi bukan model itu yang hendak kita bincangkan hari ini. Sebaliknya imej-imej intipan menampakkan 911 yang sangat berbeza.

Tiada powertrain hibrid di sini (setakat yang kita tahu) tapi yang pasti, nampaknya ia mempunyai ground clearance lebih tinggi dari 911 biasa. Tetapi ia tidak setinggi 911 Safari yang pernah dikeluarkan dulu.

Imej-imej intipan di Nurburgring ini menampakkan satu dari dua konsep Safari yang dibina berdasarkan 911 generasi terbaharu. Selain dari suspensi lebih tinggi, prototaip ini juga mengenakan gerbang roda tambahan yang mungkin memberi petunjuk kepada gandar depan dan belakang lebih lebar.

911 Safari sebelum ini mendapat pacuan semua-roda (AWD), jadi tidak mengejutkan ia akan diasaskan dari varian Carrera 4S. Adakah ia akan menjadi varian kekal untuk 911, juga masih belum diketahui.

Memandangkan prototaip pertama mula dilihat pada Oktober 2020, boleh disimpulkan bahawa pelancaran rasmi mungkin dibuat menjelang hujung tahun ini atau awal 2022 nanti.