Hyundai Motor Company memperkenalkan Hyundai Kona 2027 bagi pasaran Korea Selatan pada hari Selasa, 7 April 2026.
Hanya beberapa tahun lalu, Hyundai-Sime Darby Motor (HSDM) membawa masuk SUV kompak Kona ke pasaran tempatan dengan versi Kona N-Line yang tampil sporti.
Bukan itu sahaja, HSDM turut membawa masuk versi EV Kona Electric.
Kona kini berada dalam generasi kedua selepas dilancarkan pada 2023 dan adakah bakal muncul kembali di pasaran tempatan?
Satu yang menarik, Kona Electric baharu dipasang tidak jauh di negara kita iaitu di Indonesia.
Kona 2027 hadir dengan peningkatan mutu produk serta nilai ekonomi yang lebih baik melalui pengoptimuman spesifikasi pada setiap varian.
Pihak Hyundai telah menyelaraskan semula barisan varian bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mementingkan aspek praktikaliti dan juga kemewahan.
Antara perubahan termasuk pengenalan konfigurasi kemasan H-Pick yang menawarkan pelbagai ciri pilihan utama sebagai standard, serta penyelarasan harga varian asas Modern.
Penambahan Spesifikasi Kona H-Pick dan Modern, Harga Turun!
Bagi varian Hyundai Kona 2027 Gasoline 1.6 Turbo H-Pick, Hyundai kini menyertakan pelbagai ciri premium secara standard bagi meningkatkan daya saing.
Antaranya sistem penyaman udara automatik penuh dua zon yang merangkumi fungsi auto defog, penderia debu halus, mod pembersihan udara dan fungsi after blow.
Selain itu, varian ini turut dilengkapi sistem navigasi 12.3 inci yang menyokong In-Car Management dan e hi-pass, penderia hujan serta rim aloi 18 inci bersama tayar bersesuaian.
Bagi varian asas Modern, Hyundai telah melaras harga jualan dengan memudahkan beberapa spesifikasi untuk meningkatkan aksesibiliti pelanggan.
Ciri seperti tempat duduk dan kemasan dalaman kulit sintetik yang sebelum ini merupakan ciri standard kini diasingkan ke dalam pakej pilihan Comfort Choice.
Langkah ini membolehkan harga jualan diturunkan sebanyak 490,000 won (RM1,313) bagi memberikan nilai lebih baik kepada pelanggan.
Beberapa ciri lain seperti lampu dalaman LED, cermin pandang belakang ECM, dan corong udara baris kedua kini diselaraskan untuk varian yang lebih tinggi.
Kona Hybrid dan Kemasan Hitam
Hyundai Kona 2027 Hybrid (HEV) turut menerima pelarasan spesifikasi yang serupa.
Dengan menjadikan sistem navigasi 12.3 inci dan cermin pandang belakang ECM sebagai komponen pilihan dalam pakej Comfort Choice, harga model hibrid dikurangkan sebanyak 590,000 won (RM1,581).
Dari sudut penampilan, Hyundai menambah identiti visual yang lebih kuat melalui kemasan hitam pada bahagian luar dan rim hitam.
Ini memberikan imej yang lebih sofistikated dan menyerlah kepada SUV kompak tersebut.
Langkah ini seiring dengan strategi global Hyundai Motor Company dalam menawarkan kepelbagaian reka bentuk mengikut trend semasa.
Perkhidmatan Langganan Maklumat Hibur Digital
Satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan adalah sokongan lima tema maklumat hibur baharu melalui perkhidmatan langganan atau Features on Demand (FoD).
Pelanggan boleh memilih tema digital unik seperti Pokémon Pikachu Lightning, Pokémon Ditto World, Pororo Fun Train Journey, Tayo Colorful Garage dan Zanmang Loopy Original untuk paparan sistem kenderaan.
Harga Jualan Hyundai Kona 2027
Harga jualan yang ditetapkan adalah berdasarkan kadar cukai penggunaan individu 3.5 peratus di Korea, manakala harga bagi model hibrid telah mengambil kira manfaat cukai kenderaan mesra alam.
Model 1.6 Turbo Gasoline
- Modern: 24,290,000 won (RM65,121)
- H-Pick: 26,470,000 won (RM70,966)
- Premium: 28,750,000 won (RM77,078)
- Inspiration: 31,020,000 won (RM83,164)
Model 2.0 Gasoline
- Model asas: 23,600,000 won (RM63,271)
- H-Pick: 25,880,000 won (RM69,384)
Model 1.6 Hybrid
- Modern: 28,960,000 won (RM77,641)
- H-Pick: 30,750,000 won (RM82,440)
- Premium: 33,180,000 won (RM88,955)
- Inspiration: 35,120,000 won (RM94,156)