Arkib Tag: hutang

Nissan mungkin perlu jual HQ Jepun untuk kelangsungan operasi

Nissan dilapor mungkin perlu menjual bangunan ibu pejabat yang terletak di daerah Minoto-Mirai 21, Yokohama, Jepun.

Laporan daripada Nikkei Asia mendakwa bangunan HQ tersebut disenaraikan sebagai salah satu aset yang perlu dilepaskan oleh Nissan menjelang akhir Mac 2026.

CEO Nissan yang baru sahaja dilantik, Ivan Espinosa mengumumkan terdapat beberapa aset Nissan yang bakal dijual walaupun tidak menyebut secara spesifik bangunan kompleks tersebut.

Dianggarkan, kompleks ibu pejabat Nissan itu bernilai lebih 100 bilion yen atau RM2.96 bilion menurut seorang ejen hartanah tempatan.

Walaupun Nissan tidak lagi memiliki bangunan tersebut, syarikat itu akan terus menyewa bangunan tersebut daripada pemilik baharu untuk kekal beroperasi seperti biasa.

Ia merupakan langkah yang sama diguna pakai oleh McLaren setelah pengeluar supercar itu menjual HQ yang terletak di Woking sebagai satu cara untuk mengurangkan hutang.

Penjualan bangunan HQ merupakan salah satu cara yang diambil oleh Nissan dalam langkah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran setelah berdepan dengan kerugian $4.5 bilion (RM19.03 bilion) tahun lepas.

Nissan juga akan menutup sehingga tujuh kilang global termasuklah dua kilang domestik (dikenali sebagai kilang Oppama dan Shonan), serta membuang 20,000 pekerja.

Selain itu, pembangunan bagi sesetengah model akan dihentikan, selain meringkaskan platform sedia ada kepada hanya tujuh sahaja bertujuan untuk mengurangkan kerumitan alat ganti sehingga 70 peratus.

Bentley Continental ini dibakar untuk langsai hutang RM500,000

SEBUAH Bentley Continental GT difahamkan dibakar bagi membuat tuntuan insurans palsu bagi menyelesaikan hutang ‘ah long’ yang mencecah setengah juta.

Kereta mewah itu adalah satu dari tiga yang dilaporkan dibakar dua rakan. Dua lagi kereta yang terlibat adalah Ford Fiesta dan Hyundai Accent.

Taktik dua lelaki berusia 36 tahun itu telah dihidu pihak polis sebelum mereka diberkas di sekitar Bandar Melaka pada 13 dan 14 September lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek pertama membuat laporan pada 13 September mendakwa kereta jenis Bentley Continental GT miliknya telah terbakar di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

Polis kemudian menerima dua lagi laporan daripada individu lain mengenai kejadian kebakaran kereta jenis Ford Fiesta dan Hyundai Accent.

“Apabila polis pergi ke lokasi, kita dapati ada keraguan berhubung kejadian itu,” katanya.

“Pengadu pertama ditahan pada pukul 5:30 petang pada hari sama manakala rakannya ditahan keesokan harinya,” kata Abdul Majid pada sidang akhbar di Balai Polis Sungai Udang semalam.

Kedua-dua suspek dipercayai telah membakar kenderaan itu untuk membuat tuntutan insurans dan merancangnya sejak tiga bulan lalu.

“Kes ini juga adalah yang pertama membabitkan modus operandi membakar kenderaan sendiri untuk membuat tuntutan insurans,” katanya.

Pesalah trafik Singapura diburu, berhutang RM30 juta dengan PDRM

JUMLAH hutang saman lalu lintas membabitkan rakyat Singapura di negara ini mencapai satu angka yang amat membimbangkan.

Laporan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat lebih RM30 juta jumlah saman keseluruhan yang masih tertunggak.

Setakat tahun 2016 sehingga Mac tahun ini, terdapat lebih 108,798 saman dikeluarkan PDRM terhadap pesalah lalu lintas warga Singapura.

Antara kesalahan utama dilakukan warga Singapura adalah memandu melebihi had kelajuan dibenarkan.

Menurut rekod, terdapat lebih 7,371 kesalahan memandu melebihi had laju, bersamaan 5.1 peratus daripada jumlah keseluruhan saman.

Sebanyak 3,950 saman dikeluarkan bagi kesalahan memotong barisan dan diikuti tidak mematuhi papan tanda trafik (1,309 saman).

Selain itu, 1,309 saman juga dicatatkan bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan 761 melanggar lampu isyarat merah.

Peruntukan undang-undang menetapkan PDRM boleh menahan pesalah yang mempunyai saman Pol.170A yang kemudian ditukar kepada Pol.257.

Tindakan ini membolehkan pesalah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, rakyat Singapura yang mempunyai saman tidak berbayar juga boleh ditahan daripada meninggalkan negara ini.

Pesalah gagal hadir ke mahkamah akan dikenakan waran tangkap.

Bagaimanapun, PDRM berdepan masalah menjejak pesalah trafik warga Singapura kerana tidak mempunyai akses mengesan mereka.

Justeru, tanpa alamat lengkap pesalah saman Pol.170A tidak dapat dihantar kepada mereka berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka akan mengaktifkan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC).

Langkah itu memudahkan pihak berkuasa mengesan pesalah lalu lintas membabitkan warga Singapura.