Arkib Tag: hurjet

Turki tawar Malaysia sertai program pesawat pejuang stealth TF-X, peluang baik untuk negara?

PIHAK Kementerian Pertahanan Turki menawarkan Malaysia untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima TF-X.

Merujuk laporan Malaysia Gazette bertarikh 9 Febuari 2022, Malaysia berpotensi menjadi penyumbang pembangunan industri pertahanan.

Berdasarkan prospek itu, Turki menawarkan kerjasama dalam bentuk pelaburan untuk projek jet pejuang TF-X, dimana mereka sebelumnya menawarkan pesawat Hurjet dan kerjasama pembangunan di Malaysia.

Presiden Industri Pertahanan Turki, Prof. Dr. Ismail Demir berkata, “Kami secara terbuka menjemput negara-negara saudara seperti Malaysia dan Indonesia untuk menyertai program ini di peringkat awal, pembangunan bersama, dan juga penggunaan di masa depan.”

“Kami tahu proses ini sangat mencabar. Ia akan memerlukan banyak sumber-sumber dari segi tenaga manusia dan kewangan.

“Dalam jangka masa panjang, negara-negara ini akan memerlukan platform udara yang sofistikated. Jadi apabila sampai masanya, daripada membeli dari negara asing, mereka akan mempunyai teknologi sendiri,” ulasnya.

Presiden Industri Pertahanan Turki, Prof. Dr. Ismail Demir. Foto: Ahval News

Ismail juga menambah: “Seperti Malaysia khasnya, latihan dan pengalaman yang diperolehi oleh jurutera-jurutera dari program ini turut akan menjadi pengalaman untuk kami juga.”

Ismail turut menegaskan bahawa kesemua negara (Turki, Malaysia dan Indonesia) haruslah saling menyokong antara satu sama lain dalam jangka masa panjang, dan hubungan ketiga-tiga negara adalah akrab.

Foto oleh: TRT World

TAI TF-X ialah sebuah pesawat penguasaan udara (air superiority) generasi ke-5 berenjin kembar dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan bantuan teknologi daripada BAE Systems, United Kingdom.

Pesawat ini diwar-warkan akan menggantikan armada pesawat F-16 yang digunakan oleh Tentera Udara Turki dan juga akan ditawarkan kepada negara-negara luar antaranya kepada negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

Projek ini merupakan sebahagian daripada projek berprofil tinggi di Turki dengan melibatkan teknologi stealth.

Turki sebelumnya telah berjaya mendapatkan blueprint dan bantuan teknikal daripada SAAB AB, serta bantuan teknologi daripada BAE System.

ASELSAN kini sedang membangunkan sebuah radar imbasan elektronik aktif termaju yang akan menggunakan teknologi gallium nitride (GAN) dalam program TF-X.

Turki dilihat telah beberapa kali sejak tahun lalu menawarkan kerjasama dengan Malaysia dalam industri aeroangkasa dengan negara itu.

Turki rancang bekal pesawat pejuang ringan Hurjet untuk TUDM, hasilkan pesawat di Malaysia?

TURKI merancang mengeluarkan jet pejuang ringan Hurjet dengan Malaysia jika proses tender berjaya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil.

Menurutnya, ini usaha untuk mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

Kotil berkata perkara itu masih dalam proses tender oleh Malaysia dan jika tender berjaya, sebanyak 15 jet akan dihasilkan di Malaysia dan tiga lagi di Turki.

Pesawat TAI Hurjet. Sumber: Defence Security Asia

“Kami mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik,” katanya dalam sidang media semalam.

Syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) melahirkan keyakinannya bahawa Malaysia bakal menjadi pasaran eskport pertama bagi pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang dibangunkannya sendiri dikenali dengan nama Hurjet.

Sementara itu, portal Defence Security Asia melaporkan bahawa Kotil berkata pesawat Hurjet itu semakin hampir untuk dieksport ke Malaysia.

“TAI mempunyai peluang yang baik di dalam persaingan tender Malaysia. Kita (TAI) berharap akan dapat menjual sejumlah 18 buah pesawat Hurjet kepada Malaysia,” katanya ketika ditanya oleh wartawan CNN Turk baru-baru ini.

Tahun lepas, Kotil dilaporkan berkata bahawa TAI telah mempelawa Malaysia untuk terlibat sama dalam pembangunan pesawat FLIT/LCA Hurjet itu, dengan Kuala Lumpur membina beberapa komponen pesawat latihan itu.

“Kita (TAI) perlu mencari rakan kerjasama antarabangsa. Ia adalah projek (pembangunan Hurjet) yang besar dan ia bukan sekadar untuk Turki. Pelawaaan itu menarik minat Malaysia dan kita menjangkakan reaksi yang positif daripada Malaysia,” kata beliau.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Kazakhstan adalah penting kepada TAI.

Menurut Kotil, Turki dan Malaysia telah memeterai perjanjian kerjasama dalam pengeluaran komposit.

Malaysia mempunyai kemudahan pengeluaran komposit yang baik namun tidak dalam bidang penerbangan, ujarnya.

Hurjet ialah pesawat Advanced Jet Trainer dan Light Attack Aircraft, pesawat pertama dijangka siap pada suku akhir 2022.

Antara kelengkapan pesawat itu itu adalah fly-by-wire, pengisian minyak di udara, head-up display serta integrated helmet mounted display system.

Diantara pesawat-pesawat pejuang lain yang memasuki tender Kementerian Pertahanan untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA TUDM, termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50, JF-17 daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group, Hongdu L-15B, HAL Tejas, Yakovlev Yak-130, Leonardo M346, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.