Arkib Tag: Huracan STO

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini kini di Malaysia, gabungan dua jenama ikonik Itali, RM460,900

DUCATI Malaysia hari ini melancarkan kehadiran Streetfighter V4 Lamborghini untuk pasaran negara ini. Ya, anda tidak salah baca. Edisi terkini untuk Streetfighter V4 menggabungkan kuasa dan prestasi Ducati dengan kemewahan dan elegan yang sinonim dengan Lamborghini.

Jika anda lihat pada warna dan liverynya, anda akan tahu Streetfighter V4 Lamborghini diinspirasikan dari Lamborghini Huracan STO (Super Trofeo Omologata). Rimnya tampil kemas dan aerodinamik, ditambah dengan nut pengunci titanium pada rim belakang.

Jentera ini turut mendapat tekstur gentian karbon seperti Huracan STO. Kemudian mudguard depan, belly pan, penutup tangki minyak, dan penutup tempat duduk penumpang mirip dengan ruang udara dan corong yang terdapat pada supercar V10 itu.

Bercakap mengenai enjin, Ducati Streetfighter V4 ini dikuasakan oleh nadi 1,103cc Desmosedici Stradale yang menjana 208hp. Enjin ini juga dipadankan dengan klac kering perlumbaan serta peredam ekzos Akrapovic dari titanium dan gentian karbon.

Streetfighter V4 Lamborghini mempunyai livery STO dan nombor 63, merujuk kepada tahun lahirnya Lamborghini. Warna hijau Verde Citrea mendominasi badan jentera ini, dengan kontra Arancio Dac.

“Kami berbangga kerana dua dari motosikal edisi terhad ini ada di Malaysia,” kata Dennis Michale, CEO Ducati Malaysia.

“Ducati Streetfighter V4 Lamborghini lebih dari sekadar sebuah motosikal; ia simbol sejarah dan minat yang dikongsi demi inovasi antara Ducati dan Lamborghini.

“Formula ini membawakan dua benda terbaik dari dunia berbeza, seterusnya menjadi hasil karya yang diminati peminat serta pengumpul di Malaysia,” katanya.

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini hanya akan dibina sebanyak 630 unit seluruh dunia. Berminat? Ia dijual pada harga RM460,900.

Ducati Streetfighter V4 Lamborghini ambil inspirasi dari Huracan STO

KIRA-kira dua tahun yang lalu, dua jenama mewah dari Itali yang bernaung di bawah payung Volkswagen Group iaitu Ducati dan Lamborghini bergabung untuk menghasilkan Ducati Diavel 1260 Lamborghini.

Kini, gandingan itu kembali membawakan satu lagi jentera edisi terhad iaitu Ducati Streetfighter V4 Lamborghini. Jika Diavel tersebut diilhamkan dari Sian FKP 37, model terbaharu ini mengambil inspirasinya dari Huracan STO.

Seperti Diavel 1260 Lamborghini, penampilan Streetfighter V4 Lamborghini diserlahkan lagi menerusi kehadiran nombor ’63’ pada bahagian tangki. Ia merujuk kepada tahun Lamborghini diasaskan iaitu 1963.

Selain itu, pengeluaran jentera eksklusif ini juga dihadkan kepada 630 unit sahaja, dengan tambahan 63 unit khas untuk pelanggan Lamborghini. Kesemua 630 unit tersebut didatangkan dengan skema warna dwi-tona hijau dan oren atau Verde Citrea and Arancio Dac, salah satu skema warna yang disediakan untuk Huracan STO.

Sementara itu, lebihan 63 unit yang disediakan khusus untuk para pemilik Lamborghini (digelar Speciale Clienti) boleh dikonfigurasikan dalam warna yang sama dengan kereta masing-masing. Ini termasuk warna badan dan angkup brek, serta reka bentuk rim.

Di samping livery unik, Streetfighter V4 Lamborghini juga hadir dengan bahagian-bahagian yang direka berdasarkan Huracan STO seperti madgad, tangki, belly pan dan bahagian ekor. Malah rimnya juga tidak ubah seperti jentera itu, lengkap dengan nat pengunci tunggal aluminium pada bahagian belakang.

Turut disertakan adalah komponen-komponen gentian karbon dan aluminium billet. Nama model dan nombor siri pengeluar dipaparkan pada plat metal pada bahagian tengah tangki. Nombor siri tersebut juga boleh didapati pada kunci dan akan muncul pada skrin TFT apabila enjin dihidupkan.

‘Nadi’ Streetfighter V4 Lamborghini adalah enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc yang menghasilkan 208 hp. Sistem suspensi terdiri daripada unit separa-aktif Öhlins Smart EC 2.0 manakala untuk brek pula, ia menggunakan cakera berukuran 330 mm dan angkup Brembo Stylema.