Arkib Tag: heritage edition

Suzuki Jimny Heritage dengan pelekat badan retro yang cool – untuk Australia sahaja, RM101k

SAMA seperti Mazda MX-5 Miata, Suzuki Jimny juga antara kenderaan yang sukar untuk kita tidak suka. Ianya kecil, comel, mampu milik (sekurang-kurangnya di luar negara), dan boleh dibawa masuk ke off-road.

Suzuki Jimny mula dilancarkan pada 1970 dan menjadi ikon di seluruh dunia, malah masih sangat berjaya hingga ke hari ini. Untuk meraikan kejayaan dan sejarahnya, edisi Heritage diperkenalkan, tetapi sayang hanya untuk pasaran Australia.

Dihadkan hanya 300 unit, Jimny Heritage dihasilkan berdasarkan varian GLX dan dilengkapi dengan mud flap merah di depan dan belakang, dengan tulisan Suzuki untuk yang belakang. Terdapat juga alas kargo Jimny Heritage dengan lencana untuk menandakan ia versi edisi terhad.

Paling ketara ialah pelekat dekal badan retro, dan semua unit mendapat rim bersaiz 15-inci. Suzuki Jimny Heritage ini boleh didapati dengan warna Black Pearl, Jungle Green, White, atau Medium Grey, sementara kotak gear adalah khas manual 5-kelajuan sahaja. Tiada pilihan automatik.

Memandangkan ia dari varian GLX, Jimny ini hadir dengan lampu LED automatik, lampu kabus depan, kamera undur, dan sistem keselematan seperti Lane Departure Warning dan Autonomous Emergency Braking.

Ciri di dalam kabin termasuklah skrin infotainmen dengan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio dua pembesar suara, stereng balutan kulit, navigasi satelit, dan sistem penghawa dingin.

Harganya di Australia bermula pada AUD33,490 (RM101,031).

Bowlus Heritage Edition – RV mewah gaya retro, paling ringan di dunia

Bowlus merupakan syarikat yang menghasilkan treler pelancongan (RV) antara paling mewah di dunia. RV dengan rupa retro yang kemas ini juga antara paling mahaldalam pasaran, harganya boleh melebihi USD300,000 (RM1.3 juta) jika dipasang dengan kelengkapan kustom yang anda mahu.

Untuk 2023 pula, Bowlus memperkenalkan model permulaan yang dikatakan ‘paling murah’ dari barisan model lain yang ditawarkan. Heritage Edition hadir dengan rupa mill finish dengan warna perak satin, sedikit berbeza dengan warna polished aluminium pada model-model lebih mahal.

Bentuk RV Bowlus yang ikonik dihasilkan dari aluminium rivet dengan pembinaan monocoque, sama seperti pesawat. Tetapi buat pertama kali, Bowlus menawarkan pilihan balutan (wrap) untuk Heritage Edition, membolehkan anda pilih warna hitam matte atau kelabu satin.

Bowlus menekankan bahawa berat RV baharu ini cuma bermula sekitar 1,315kg sahaja – dimana mereka mendakwa ianya merupakan RV paling ringan yang dihasilkan di dunia buat masa ini.

Bowlus juga menjanjikan lebih 80 peratus jarak pemanduan apabila kenderaan elektrik (EV) menundanya, sama seperti model Terra Firma dan Volterra.

Setiap unit Bowlus Heritage Edition hadir dengan pek bateri 2kWh, manakala Power Package I memberikan anda tambahan 2kWh, inverter 2,000watt, kuasa solar, pemantauan kuasa Bluetooth, dan penyaman udara off-grid untuk empat jam.

Bagi Power Package II pula, kelengkapan ditambah menjadi inverter 3,000 watt, pek bateri 6kWh, panel kuasa skrin sesentuh, dan penyaman udara off-grid sehingga lapan jam. Bowlus berkata pilihan ini membolehkan anda tinggal secara off-grid sehingga seminggu setengah.

Walauapun Heritage Edition merupakan produk asas Bowlus, ia tetap mempunyai semua keperluan anda untuk tinggal lebih seminggu. Kabinnya mampu memuatkan empat orang dewasa berserta satu katil saiz King.

Anda juga boleh membuat tempahan kustom untuk susunan katil dan bumbung luar. Tempahan Heritage Edition kini dibuka dengan pembiayaan bermula USD1,027 sebulan (RM4,475 sebulan).

Audi TT RS Heritage Edition sebagai ucapan selamat tinggal, 50 unit sahaja untuk Amerika

AUDI TT RS, varian tertinggi dan paling berkuasa dalam barisan model TT, akan ditamatkan jualannya di Amerika Syarikat (AS) bermula tahun hadapan.

Sebagai tanda ucapan selamat tinggal, Audi of America memperkenalkan TT RS Heritage Edition yang ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Lebih spesifik lagi, hanya 50 unit TT RS Heritage Edition akan dihasilkan sebelum model itu dikeluarkan dari pasaran AS.

Terdapat lima pilihan kombinasi warna luaran dan dalaman yang boleh dipilih dan setiap kombinasi dihadkan kepada 10 unit sahaja. Berikut adalah kombinasi warna yang ditawarkan:

1. Alpine White dengan kulit Ocean Blue dan jahitan Diamond Silver
2. Helios Blue metalik dengan kulit Diamond Silver dan jahitan Ocean Blue
3. Stone Grey metalik dengan kulit Crimson Red dan jahitan Jet Grey
4. Tizian Red metalik dengan kulit Havanna Brown dan jahitan Jet Grey
5. Malachite Green metalik dengan kulit Cognac Brown dan jahitan Black

Bagi meningkatkan lagi keeksklusifannya, model edisi terhad ini didatangkan dengan tulisan “HERITAGE EDITION”, turutan pembakaran silinder enjin “1-2-4-5-3”, serta “quattro” pada cermin belakang di sebelah kanan.

Sebagai tambahan, setiap unit TT RS Heritage Edition mendapat rim berukuran 20-inci dengan kemasan anthracite dwi-tona, lampu belakang OLED dan ekzos sport dengan muncung berwarna hitam. Spoiler belakang tidak disertakan pada model ini.

Di dalam, selain upholsteri kulit dan jahitan kontras eksklusif tersebut, terdapat stereng dengan balutan Alcantara serta penanda jam 12, tombol gear yang juga dibalut dengan Alcantara, serta karpet dengan logo RS dan jahitan kontras.

Enjin tidak diberikan sebarang naik taraf, bermakna unit TFSI 2.5-liter lima-silinder itu masih menjana 394hp (400 PS) dan 480Nm seperti versi standard.

Dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam hanya 3.6 saat.

Bagaimanapun, khas untuk Heritage Edition, kelajuan maksimum TT RS dinaikkan dari 249km/j kepada 280km/j.

Harga TT RS Heritage Edition bermula dari USD81,450 (kira-kira RM343,108), USD8,250 (RM34,753) lebih mahal berbanding TT RS standard.

Menurut Audi, TT dan TT S masih akan dijual di AS, manakala TT RS pula akan terus ditawarkan di pasaran-pasaran antarabangsa lain.