fbpx

Audi TT RS Heritage Edition sebagai ucapan selamat tinggal, 50 unit sahaja untuk Amerika

audi tt rs heritage edition 08

AUDI TT RS, varian tertinggi dan paling berkuasa dalam barisan model TT, akan ditamatkan jualannya di Amerika Syarikat (AS) bermula tahun hadapan.

Sebagai tanda ucapan selamat tinggal, Audi of America memperkenalkan TT RS Heritage Edition yang ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Lebih spesifik lagi, hanya 50 unit TT RS Heritage Edition akan dihasilkan sebelum model itu dikeluarkan dari pasaran AS.

Terdapat lima pilihan kombinasi warna luaran dan dalaman yang boleh dipilih dan setiap kombinasi dihadkan kepada 10 unit sahaja. Berikut adalah kombinasi warna yang ditawarkan:

1. Alpine White dengan kulit Ocean Blue dan jahitan Diamond Silver
2. Helios Blue metalik dengan kulit Diamond Silver dan jahitan Ocean Blue
3. Stone Grey metalik dengan kulit Crimson Red dan jahitan Jet Grey
4. Tizian Red metalik dengan kulit Havanna Brown dan jahitan Jet Grey
5. Malachite Green metalik dengan kulit Cognac Brown dan jahitan Black

Bagi meningkatkan lagi keeksklusifannya, model edisi terhad ini didatangkan dengan tulisan “HERITAGE EDITION”, turutan pembakaran silinder enjin “1-2-4-5-3”, serta “quattro” pada cermin belakang di sebelah kanan.

Sebagai tambahan, setiap unit TT RS Heritage Edition mendapat rim berukuran 20-inci dengan kemasan anthracite dwi-tona, lampu belakang OLED dan ekzos sport dengan muncung berwarna hitam. Spoiler belakang tidak disertakan pada model ini.

Di dalam, selain upholsteri kulit dan jahitan kontras eksklusif tersebut, terdapat stereng dengan balutan Alcantara serta penanda jam 12, tombol gear yang juga dibalut dengan Alcantara, serta karpet dengan logo RS dan jahitan kontras.

Enjin tidak diberikan sebarang naik taraf, bermakna unit TFSI 2.5-liter lima-silinder itu masih menjana 394hp (400 PS) dan 480Nm seperti versi standard.

Dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam hanya 3.6 saat.

Bagaimanapun, khas untuk Heritage Edition, kelajuan maksimum TT RS dinaikkan dari 249km/j kepada 280km/j.

Harga TT RS Heritage Edition bermula dari USD81,450 (kira-kira RM343,108), USD8,250 (RM34,753) lebih mahal berbanding TT RS standard.

Menurut Audi, TT dan TT S masih akan dijual di AS, manakala TT RS pula akan terus ditawarkan di pasaran-pasaran antarabangsa lain.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved