Claas Xerion 5000 Trac VC – Traktor paling laju di dunia?
ADA sebab mengapa Litar Nurburgring diberi jolokan Neraka Hijau atau The Green Hell.
Terletak di pekan Nurburg, litar lumba sepanjang 20.8 km itu dikelilingi pokok-pokok subur menghijau yang nampak indah di pandangan, namun permukaan yang beralun, penurunan yang curam serta selekoh-selekoh tajam dengan titik buta menjadikan ia antara litar yang paling menakutkan di dunia.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Nurburgring menjadi lokasi pilihan pengeluar-pengeluar terkemuka dunia seperti Porsche, Lamborghini, BMW, Mercedes-Benz, Ford, Hyundai, Honda dan pelbagai lagi untuk menguji kemampuan sebenar jentera mereka.
Namun, ini tidak bermakna yang kenderaan lain tidak boleh masuk ke litar ini.
Pada Ogos tahun lalu, penerbitan automotif terkenal dari Jerman iaitu Auto Motor Und Sport memutuskan untuk mencuba idea gila dengan membawa masuk sebuah traktor ke litar itu untuk membuat percubaan masa.
Traktor yang digunakan adalah Claas Xerion 5000 Trac VC, manakala pemandu yang ditugaskan untuk menggalas cabaran unik itu adalah pelumba berpengalaman, Christian Menzel.
Xerion 5000 bukanlah calang-calang traktor kerana ia merupakan antara traktor paling berkuasa di pasaran dengan kuasa mencecah 500hp dan 2,600Nm tork yang dibekalkan oleh enjin 12.8-liter enam silinder.
Namun sayangnya, dengan berat badan hampir 17.5 tan, Xerion 5000 mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 50km/j sahaja. Itu pun dikira laju untuk sebuah traktor.
Dari segi kelengkapan, tiada apa yang luar biasa mengenai Xerion 5000, melainkan yang ia merupakan sebuah traktor dengan enjin yang besar.
Bagaimanapun, model ini mempunyai satu ciri unik yang mungkin tidak terdapat pada traktor-traktor lain iaitu Variable Cab (VC) atau kabin yang boleh dipusingkan menghadap ke arah belakang.
Akhirnya, setelah berjaya melalui seksyen-seksyen yang mencabar seperti Pflanzgarten, Adenauer Frost dan Karussell, Menzel berjaya melepasi garisan penamat dengan catatan masa 24 minit 50.57 saat, hanya 18 minit di belakang Porsche 911 GT2 RS Manthey Racing yang dipandu oleh Lars Kern pada Jun lalu.
Jelas sekali, catatan masa ini dilakukan secara suka-suka. Cuma, agak mengagumkan untuk melihat yang traktor pun boleh melakukan pusingan lengkap di Neraka Hijau, walaupun ia mengambil masa hampir setengah jam.
Agaknya selepas ini kenderaan jenis apa pula yang akan dibawa beraksi di litar yang penuh sejarah ini?
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.
660508 365531I normally cant discover it in me to care enough to leaves a comment for articles on the web but this was truly pretty great, thanks and maintain it up, Ill check back once again 758092