Arkib Tag: hayden haikal

Hayden Haikal menang lagi di kejuaraan Thailand Idemitsu Super Turbo

HAYDEN Haikal telah memperoleh kemenangan ketiga dan tempat keenam dalam Round 2 bagi Idemitsu Super Turbo Championship di Litar Antarabangsa Chang, Buriram Thailand hujung minggu lalu.

Ini menjadikan pelumba remaja Malaysia itu berada selesa di tempat teratas kejuaraan dengan kutipan mata tertinggi.

Dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan setakat ini, Hayden dan Toyota Vios #437 Wing Hin Motorsport terus menunjukkan dominasi mereka dalam Junior Class (Normally Aspirated) bagi enjin 1500cc.

Mereka juga antara pesaing teratas keseluruhan di samping kereta-kereta turbo dan lebih berkuasa.

Untuk hujung minggu baru-baru ini, perlumbaan agak mencabar bagi Hayden. Insiden pada sesi latihan bebas hari Jumaat menyebabkan pasukan terpaksa bekerja keras membaiki kereta dengan baki tiga jam sebelum kelayakan bermula.

Hayden dan pasukan terus menunjukkan taring dengan memperoleh posisi ketiga dalam kelayakan.

Race 1 pada Sabtu bermula dengan baik dimana Hayden berada di tempat ke-12 sebelum mengalami masalah transmisi di pertengahan perlumbaan.

Pelumba berusia 18 tahun itu menghabiskan perlumbaan dengan hanya gear 5, tamat di tempat ke-21 dan keenam dalam kelasnya.

Kemudian dalam Race 2 pada hari Ahad, Hayden berjaya berada di tempat pertama dalam kelasnya, dan tamat di tempat kelapan keseluruhan di belakang jentera-jentera turbo.

Dia pada mulanya tamat di tempat kedua tetapi dinaikkan ke tempat pertama disebabkan pemenang dikenakan penalti.

“Permulaan perlumbaan agak kecoh dengan banyak kereta kemalangan di jalan lurus utama. Saya bernasib baik dapat mengelak dari insiden sebelum bendera merah dikibarkan.

“Apabila perlumbaan dimulakan semula, saya berentap dengan tiga kereta teratas dalam kelas,” kata Hayden.

Sejak memulakan perlumbaan Idemitsu Super Turbo pada Mac, Hayden telah memperoleh kemenangan berturut-turut dalam dua permulaan pembukaan.

Perlumbaan seterusnya akan diadakan pada 18 hingga 23 Jun 2023.

Hayden Haikal galas cabaran negara di Thailand

PELUMBA muda, Hayden Haikal bakal mengetuai cabaran Malaysia serta membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan Idemitsu Super Turbo Championship di Litar Antarabangsa Chang, Buriram bermula hari ini hingga Ahad ini.

Merupakan tahun keduanya bertanding di peringkat antarabangsa dan di Thailand, pelumba berusia 18 tahun itu akan mengemudi jentera Toyota Vios dalam kelas D4 untuk kereta berenjin NA hingga 1,550 cc.

Tahun lalu, Hayden dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan dalam satu lagi kejohanan yang diadakan di negara itu iaitu Thailand Super Eco Saloon Car Series.

Hayden Haikal beraksi dalam kejohanan Thailand Super Eco Saloon Car Series

Untuk kejohanan ini, Hayden akan mewakili pasukan Wing Hin Motorsports, bertemankan sebuah jentera Vios super touring yang dilengkapi dengan transmisi sequential lima kelajuan.

“Saya amat berbangga kerana telah diberi kepercayaan oleh pasukan untuk mengetuai cabaran mereka di Thailand. Ini tahun kedua saya bersaing di Thailand, ia adalah siri serba baharu dan ia sangat kompetitif. Pasukan bagaimanapun yakin bahawa kami boleh memberi impak,” kata Hayden.

Pusingan 1 dan 2 akan melibatkan perlumbaan sembilan lap pada hari Sabtu dan 11 lap di litar sepanjang 4.554 km itu.

Kejohanan Idemitsu Super Turbo Championship terdiri daripada enam pusingan, di mana Pusingan 3 dan 4 dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 21 Mei, manakala Pusingan 5 dan 6 dari 16 hingga 18 Jun 2023.

“Litar Antarabangsa Chang adalah litar berkelajuan tinggi. Anda tidak boleh melakukan kesilapan kerana pemandu lain akan segera mencabar anda. Ia mempunyai laluan lurus yang sangat panjang dan selekoh 90 darjah yang bagi saya paling mencabar,” tambah Hayden.

Perlumbaan akan diadakan pada Sabtu (11 Mac) dari jam 4.45 petang hingga 5.05 petang (waktu Malaysia) dan Ahad (12 Mac) dari jam 2.55 petang hingga 3.20 petang.

Ayuh sama-sama kita saksikan dan berikan sokongan kepada anak muda ini menerusi penstriman secara langsung di https://www.superturbothailand.com/2018/superturbo/!

Hayden Haikal peroleh tempat kedua keseluruhan dalam Thailand Super Eco

NASIB nampaknya tidak begitu baik di hujung perlumbaan untuk Hayden Haikal yang terpaksa tamat di tempat kedua keseluruhan dalam Thailand Super Eco.

Dalam perlumbaan peringkat antarabangsa yang pertama buat pelumba muda itu, dia berada 20 mata di belakang pemandu tempatan, Na Dol Vatantaham. Hayden perlu memenangi dua perlumbaan terakhir bagi memperoleh gelaran juara keseluruhan.

Kedua-dua pemandu itu bersaing rapat dalam kejuaraan, bertukar-tukar tempat di podium sepanjang enam perlumbaan.

Nasib walaubagaimanapun tidak menyebelahi Hayden semasa di perlumbaan di Litar Antarabangsa Buriram hujung minggu lepas kerana pin gear yang patah pada Honda Brio yang dipandunya. Masalah itu berlaku hanya selepas lima pusingan dalam sesi kelayakan.

Pemandu berumur 18 tahun itu tidak berputus asa, dan masih berjaya mendapat tempat keenam dari keseluruhan 23 pemandu.

Dalam Race 1 pada Sabtu (10 Disember), Hayden mendaki dari posisi keenam ke tempat kedua mengejar Na Dol, tetapi enjinnya overheat, memaksa beliau jatuh ke tempat kelima. Na Dol memenangi Race 1 itu.

Nasib malang Hayden berulang pada Race 2 (11 Disember) apabila hud Honda Brio dipandunya longgar dan memecahkan cermin depannya.

Dengan hanya 30 minit sebelum perlumbaan bermula, pasukannya bertungkus-lumus mencari cermin depan baharu tetapi masa tidak mencukupi untuk menukarnya. Jadi, beliau tidak dapat bersaing dalam Race 2.

“Begitulah. Tetapi, tamat di tempat kedua keseluruhan masih agak baik jika mengambil kira ianya kali pertama saya berluma di Thailand dan luar negara. Saya terbuka untuk sebarang keputusan sekalipun,” kata Hayden.

“Secara keseluruhan, musim ini sangat menarik bagi saya dalam siri Thailand Super Eco. Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dalam kedudukan tiga teratas dari perlumbaan pertama saya di litar jalanan Bangsaen.

“Kami telah memenangi dua perlumbaan dan tamat di tempat kedua sebanyak tiga kali. Kami tidak dapat berlumba di pusingan akhir hanya kerana masalah mekanikal.

“Ini bukanlah perlumbaan yang saya jangkakan tetapi itulah ketidak-tentuan perlumbaan bermotor – anda terima keputusan sebaik mungkin dan terus pandang ke depan.

Tambahnya, “Bersaing di luar negara sememangnya memberikan saya pendedahan tidak ternilai yang saya perlukan untuk terus mara dalam sukan ini. Apa yang kami perlu telitikan ialah dana yang terhad dan kekurangan penaja.”

Syabas, anak muda! Kami di Engear doakan anda terus maju dalam sukan permotoran dan mengharumkan nama negara!

Hayden Haikal pelumba muda negara kini buru kejuaraan antarabangsa pertama

PELUMBA muda negara, Hayden Haikal akan bersaing di perlumbaan Thailand Super Eco di Litar Antarabangsa Buriram Chang bagi mengejar kejuaraan antarabangsanya yang pertama.

Hayden yang berusia 18 tahun ini telah meraih dua kemenangan dan menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali selepas enam perlumbaan.

Beliau kini berada di kedudukan kedua keseluruhan di dalam kejuaraan tersebut dan hanya 20 mata di belakang pelumba Thai Na Dol Vatanatham yang mengumpul 105 mata.

Prestasi dan keputusan perlumbaan kedua-dua pelumba hampir sama namun Vatanatham mempunyai kelebihan satu kemenangan manakala Hayden gagal memperolehi sebarang mata selepas Honda Brio yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pusingan kedua kejuaraan tersebut.

“Dari segi kiraan mata saya mempunyai peluang yang baik untuk bersaing memenangi kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco tetapi ini bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi berdepan dengan saingan yang begitu hebat,” kata Hayden.

“Saya akan menumpukan fokus sepenuhnya kepada kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini,” katanya yang berazam membawa balik kejuaraan keseluruhan namun mengakui akan tetap berpuas hati sekiranya habis ditempat kedua memandangkan ini kali pertama beliau bersaing di perlumbaan antarabangsa.

Dua pusingan terakhir perlumbaan Thailand Super Eco melibatkan dua perlumbaan berasingan sebanyak 12 pusingan pada hari Sabtu dan Ahad (10 dan 11 Disember).

Seramai 23 pelumba akan bersaing dan Hayden merupakan satu-satunya wakil pelumba asing yang menyertai.

Walaupun berlumba di Thailand untuk kali pertama, prestasi Hayden begitu menyerlah apabila beliau secara konsisten menghabiskan setiap perlumbaan di tiga tempat teratas.

Perlumbaan Thailand Super Eco diadakan di litar jalan raya khas Bangsaen dan juga di Litar Antarabangsa Buriram Chang.

Berbekalkan pengalaman lima tahun berlumba di kejuaraan Vios Challenge di Malaysia, Hayden bagaimanapun tidak gentar apabila beliau memenangi tempat kedua pada perlumbaan pertama beliau di litar jalan raya Bangsaen pada bulan Jun.

Secara keseluruhan tahun ini turut membawa banyak kejayaan kepada Hayden yang turut bergelar juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi pelumba-pelumba profesional di dalam Kejuaraan Vios Challenge, dan baru-baru ini menghabiskan perlumbaan Sepang 1000KM di tempat kedua keseluruhan.

“Saya tidak sangka yang saya akan berada di posisi untuk bersaing untuk kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco. Tujuan asal saya berlumba di Thailand adalah sekadar mencari pengalaman yang dapat saya gunakan untuk terus berkembang sebagai seorang pelumba.”