Arkib Tag: Hawk

Wakil Malaysia di kilang KAI, TUDM bakal peroleh FA-50?

Baru-baru ini beberapa laman pertahanan negara menyiarkan gambar wakil delegasi Malaysia yang dikatakan berada di kilang KAI (Korean Aerospace Industries) di Korea Selatan.

KAI FA-50 Block 20

Ini disusuli dengan dakwaan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) akan memperolehi pesawat FA-50 buatan firma KAI itu sebagai Fighter-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

TUDM pada Jun 2021 telah membuka tender FLIT-LCA berkenaan iaitu pesawat pejuang ringan bagi menggantikan barisan BAE Hawk 108, Hawk 208 dan Aermacchi MB-339CM yang semakin berusia.

Gamabr oleh: Malaysia Military Review

Awal bulan lalu, The Korean Economic Daily Global melaporkan bahawa wakil dari Malaysia akan melawat kilang KAI “untuk perjanjian pesawat pejuang”.

Laporan itu walaubagaimanapun menulis bahawa wakil kerajaan Malaysia akan membuat penilaian fizikal pesawat FA-50 di fasiliti KAI pada November.

Menurut laporan itu lagi, Malaysia hanya akan membuat penilaian sahaja untuk FA-50, dimana Poland pada September telah menandatangani perjanjian mengimport pesawat itu.

KAI pula menafikan laporan itu, dengan berkata bahawa “belum ada sebarang keputusan akhir”, memandangkan firma itu masih dalam perbincangan dengan kerajaan.

Sekiranya perjanjian dimeterai dengan KAI, Malaysia dijangka membuat perolehan 36 unit FA-50 Block 20, iaitu model terkini pesawat pejuang ringan itu.

Ia akan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang mampu mengesan musuh sejauh 150km sambil mengesan beberapa sasaran.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan dari pihak TUDM atau Kementerian Pertahanan, tetapi apa pendapat anda? Adakah FA-50 satu pilihan yang tepat sebagai FLIT-LCA?

Indonesia beli jet pejuang Dassault Rafale, enam unit tiba pada 2026

KEMENTERIAN Pertahanan Indonesia memaklumkan kontrak pembelian enam jet pejuang Dassault Rafale bagi memperkuatkan sistem utama persenjataan negara itu. Kesemua jet pejuang itu akan tiba pada 2026.

Menurut CNN Indonesia, Jurucakap Menteri Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, kontrak pembelian itu masih berkuatkuasa sejak 9 September lalu.

Dassault Rafale. Gambar oleh: Blog Before Flight

“Pesawat pertama akan tiba di Indonesia pada hujung 2026 selepas kontrak termeterai. Pihak kementerian juga sudah merancang sumber manusia untuk mengendali dan menyelenggara pesawat industri buatan Perancis,” katanya.

Sebelum ini, kementerian itu sudah menandatangani kontrak kerjasama pembelian enam pesawat tempur generasi ke-4 dan ke-5 Dassault Rafale buatan Perancis.

Kontrak tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis, Florence Parly di Jakarta, 10 Februari lalu.

Gambar oleh: Defense Brief

Menurut Prabowo, pihaknya merancang untuk membeli 42 pesawat Rafale dan kontrak pertama itu hanya melibatkan pembelian enam pesawat terlebih dahulu.

Di samping negara-negara jiran kita memperkukuhkan pertahanan mereka, bagaimana pula dengan Malaysia?

Pesawat pejuang utama negara, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30 MKM masing-masing akan terus berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing sehingga 2035 dan 2040.

Pada masa yang sama, pesawat-pesawat ini akan dinaiktaraf bagi memastikan ianya kekal relevan dan sentiasa mempunyai sistem terkini.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM. – Foto ihsan Wikipedia

Dalam perkembangan lain, tender untuk pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) telah ditutup dan TUDM dijangka mengumumkan pemenangnya kelak. Tender ini adalah bagi menggantikan armada pesawat Hawk 108/208.

Jet tempur F-5 terhempas, juruterbang RTAF parah

SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) parah selepas jet pejuang jenis F-5 dikendalikannya terhempas, hari ini.

Insiden berlaku di daerah Chai Badan dekat Lopburi, Thailand.

Memetik laporan Bernama, jet pejuang terbabit terhempas semasa menjalani latihan kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan).

Jurucakap RTAF, Naib Marsyal Udara (AVM) Prapas Sornchaidee berkata, juruterbang terbabit berjaya melenting keluar tetapi mengalami kecederaan parah.

Pihak berwajib juga sedang giat melakukan siasatan penuh bagi mengetahui punca nahas.

Baru-baru ini, Malaysia juga dikejutkan dengan insiden nahas jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat jenis Hawk 108 terhempas ketika melakukan latihan di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 November lalu.

Seorang juruterbang maut sementara rakan setugasnya dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan.

Juruterbang meninggal dunia dikenali sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala, Mejar Mohd Fareez Omar mengalami kecederaan.

TUDM belum gantung penggunaan Hawk, tunggu siasatan selesai

PESAWAT pejuang Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi.

Menteri Kanan Pertahanan berkata, keputusan menggantung pengunaan pesawat itu hanya ditentukan sebaik siasatan insiden kemalangan pada kelmarin selesai.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sebarang keputusan juga tertakluk kepada keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung penggunaan pesawat itu.

“Keputusan itu kita serahkan kepada yang lebih pakar (lembaga siasatan khas) dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera akan melaporkan keperluan mereka,” katanya.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM. – Foto ihsan Wikipedia

Pada selasa, sebuah pesawat jenis Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

Nahas jam10.07 itu mengorbankan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sementara seorang lagi anggota mengalami kecederaan.

Mangsa meninggal dunia adalah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala, Mejar Mohd Fareez Omar merupakan anggota yang cedera.

Hawk belum digantung, timbalan menteri sahkan siasatan masih berjalan

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas, malam tadi.

Siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Jelas Ikmal, setakat ini masih terlalu awal untuk membuat keputusan bagi menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan sedang berjalan.

Semalam, sebuah pesawat tempur jenis Hawk 108 terhempas kira-kira pukul 10.07 malam di Pangkalan Udara Butterworth TUDM.

Nahas menyebabkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pesawat Hawk 108 terhempas, seorang juruterbang TUDM terkorban [kemas kini]

PESAWAT pejuang jenis Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas kira-kira jam 10.07, malam tadi.

Insiden meragut nyawa seorang juruterbang TUDM sementara, seorang lagi juruterbang mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi laman sosial Twitter.

Jelas Hishammuddin, beliau menerima khabar duka tersebut selepas dimaklumkan oleh Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera,” katanya.

Setakat ini, tiada laporan menyeluruh mengenai punca nahas.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata pasukan TUDM diarah melakukan siasatan segera dan memberikan laporan terperinci dengan secepat mungkin.

“TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya lagi.

KEMASKINI

Dalam kemas kini terkini oleh laman Instagram @tudm_rasmi, dua juruterbang yang terlibat adalah Mejar Mohd Fareez bin Omar (cedera) dan Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy (terkorban).

Menurut kenyataan itu juga, kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini, tambah kenyataan itu.