Arkib Tag: Hatchback

Mazda3 2022 facelift diperkenal, 1.5 dan 2.0, harga bermula RM139k, Ignite Edition RM165k

BERMAZ Motor telah mengumumkan Mazda3 2022 yang dikemaskini luar dan dalam, dengan harga seperti berikut:

Mazda3 1.5 Liftback: RM138,660
Mazda3 1.5 Sedan: RM138,660
Mazda3 2.0 Sedan High: RM146,119
Mazda3 2.0 Liftback High Plus: RM155,679
Mazda3 2.0 Sedan High Plus: RM155,679

Terdapat juga edisi baharu iaitu Ignite Edition untuk Mazda3 2.0 Liftback High Plus yang berharga RM164,697.

Kesemua harga di atas adalah atas jalan, tanpa insurans.

Pembaharuan utama untuk Mazda3 facelift 2022 ini ialah dari sudut teknologi, dimana kesemua varian mendapat dua slot USB di konsol tengah dan perehat tangan.

Unit infotainmen dengan skrin sesentuh 8.8-inci pula kini menyokong sambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Untuk Mazda3 Ignite Edition, ia didatangkan dengan ciri keselamatan i-Activsense terkini yang merangkumi Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) with Driver Monitoring and Cruising & Traffic Support (CTS).

Mazda3 2022 boleh didapati dengan warna seperti Soul Red Crystal, Machine Gray, Jet Black, Snowflake White Pearl, Polymetal Gray, Deep Crystal Blue (Liftback sahaja) dan warna baharu Platinum Quartz.

Mazda3 2022 merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dan bergantung kepada varian, mempunyai pilihan enjin Skyactiv-G 1.5 dan 2.0-liter.

Tiada perubahan mekanikal pada enjin-enjin ini, dimana unit 1.5-liter menjana 118hp pada 6,000rpm dan 153Nm tork pada 4,000rpm.

Sementara itu, enjin 2.0-liter pula menghasilkan 162hp pada 6,000rpm dan 213Nm tork pada 4,000rpm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive 6-kelajuan.

Kesemua Mazda3 juga dilindungi dengan jaminan serta pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun atau 100,000km, yang mana dahulu.

Honda City Hatchback 2022! Ini perkara yang anda perlu tahu

SATU kejutan hari ini, Honda Malaysia telah menyiarkan video teaser City Hatchback iaitu model yang akan menggantikan Jazz GK. Ini juga mengesahkan bahawa model ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam video pendek berdurasi 10 saat itu, Honda menyampaikan mesej bertulis “Move aside. Because This. Is. It.” (Ke tepi. Kerana inilah dia).

Honda City Hatchback membawakan rupa yang boleh dikatakan sama dengan versi sedan dari depan hingga tengah, namun mempunyai perbezaan di belakang – but pendek dan nampak lebih sporti.

Dapat dilihat juga dalam video teaser ini City Hatchback berkenaan hadir dalam varian RS, melalui kemasan hitam pada cermin sisi, emblem RS di belakang, dan rim aloi 16-inci.

Ia turut mengenakan emblem e:HEV bermakna City Hatchback dikuasakan oleh unit hibrid i-MMD yang sama dengan RS sedan.

City Hatchback sudahpun berada di pasaran Thailand selama setahun, dilancarkan pada November 2020. Di Indonesia, ia dilancarkan pada Mac lepas. Di kedua-dua pasaran, City Hatchback juga menggantikan terus model Jazz yang dihentikan jualannya.

Di Thailand, Honda City Hatchback ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0-liter VTEC Turbo 3-silinder berkuasa 121PS dan 145Nm tork, dengan CVT automatik.

Di Indonesia pula, ia dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC naturally-aspirated (NA) tetapi yang menariknya, selain CVT, pasaran ini mendapat pilihan manual 6-kelajuan!

Bagi Malaysia, kami jangkakan Honda City Hatchback ditawarkan dengan 1.5-liter NA – sama seperti Indonesia – dan dipadankan dengan CVT automatik sahaja. Jauh di sudut hati, kami berharap Honda Malaysia menawarkan pilihan manual 6-kelajuan untuk pasaran ini juga.

Sama-sama kita berdoa!

Nantikan laporan seterusnya sebaik sahaja kami mempunyai maklumat lanjut mengenai City Hatchback ini.

Bukan gurauan! Honda Integra dilancar di China, rupanya Civic yang lebih sporti

BERITA ini mulanya buatkan penulis terkejut dan cemas. Mana mungkin kami tertinggal berita jika benar Honda Integra yang baharu dilancarkan.

Rupanya Integra yang dilancarkan di China ini merupakan Honda Civic tetapi versi yang lebih sporti. Ya, Honda beberapa bulan lepas ada mengesahkan mereka akan ‘menghidupkan’ semula Integra, dan gambaran hatchback legenda itu dilakar dengan terperinci oleh seorang peminat pada Ogos.

Namun kereta yang kita bincangkan hari ini agak memeningkan sedikit. Ia berasal dari Civic generasi ke-11 baharu, tetapi direka semula agar lebih sporti untuk pasaran China dan kemudian diberikan nama Integra.

Dibangunkan oleh Guangqi Honda di China, Integra ini akan dipasang di Guangzhou, manakala model asasnya Civic akan dipasang di kilang Wuhan (ya, Wuhan yang itu) di bawah operasi Dongfeng Honda.

Kedua-dua model hampir sama dari segi rupa, tetapi Integra ini mendapat lampu LED matriks lebih nipis berserta gril lebih besar. Di belakang pula, lampu LED nampak lebih tajam dan lebih kecil.

Ia juga mendapat dua muncung ekzos, diffuser dan spoiler nipis di belakang, memberikannya sedikit imej sporti sebuah Integra. Model ini juga mendapat dua warna khas iaitu Emerald Blue dan Fiery Yellow yang tiada pada Civic biasa, manakala pilihan rim sehingga 18-inci.

Tiada sebarang gambar bahagian dalaman pada masa artikel ini ditulis, tetapi kami jangkakan rupa binaannya tidak banyak berbeza dari Civic.

Enjin juga masih misteri, tetapi bahagian belakang ada tertulis “240 Turbo” yang menunjukkan 240Nm, output yang sama dihasilkan oleh enjin 1.5-liter turbo 4-silinder pada Civic. Enjin ini juga menjana 180hp, dan kuasa dihantar ke roda depan menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan (sama seperti Civic).

Honda Integra ini akan dijual sebelum hujung tahun. Sementara itu, Honda atau Acura Integra sebenar juga dijangkakan akan didedah pada 2022.

Renault Megane E-Tech crossover EV dengan pecutan 100km/j dalam 7.4 saat, jarak hingga 470km

BAGI golongan peminat kereta, nama Renault Megane mungkin lebih sinonim dengan jentera hot hatch tiga pintu yang merupakan pesaing rapat kepada Honda Civic Type-R, Volkswagen Golf GTI dan Ford Focus ST. Namun, ini mungkin akan berubah dengan pelancaran sebuah crossover elektrik yang menggunakan nama yang sama.

Dikenali secara rasmi sebagai Megane E-Tech Electric, ia merupakan model elektrik sepenuhnya (EV) kedua daripada Renault selepas Zoe.

Ia dibina berdasarkan platform Common Module Family-EV (CMF) yang turut digunakan oleh Nissan Ariya.

Model ini mempunyai ukuran panjang 4.21 meter panjang dan tinggi 1.5 meter, manakala tapak rodanya berukuran 2.7 meter. Menurut Renault, ia menampilkan konsep rekaan Sensual Tech yang menggabungkan elemen sensual yang digunapakai oleh model-model terdahlu dengan elemen teknologikal.

Antara elemen yang menarik perhatian adalah rekaan lampu hadapan LED berbentuk langsing yang dihasilkan menerusi proses pemotongan laser. Lampu belakang pula merentangi tailgate dan menampilkan optik mikro-fiber yang disusun khusus supaya melahirkan efek kilaun 3D.

Selain itu, Megane E-Tech Electric juga menjadi model produksi pertama Renault yang menggunakan logo baharu jenama itu. Logo yang direka berdasarkan tema retro itu boleh didapati pada bahagian gril dan penutup port pengecas pada sebelah kanan badan.

Ruang dalaman juga tidak kurang hebatnya. Selain memfokuskan kepada penggunaan bahan kitar semula untuk upholsteri, model ini juga dilengkapi dengan sistem infotainmen OpenR yang menampilkan skrin sentuh pada konsol tengah dan kluster instrumen yang disusun dalam bentuk ‘L’ terbalik. Kedua-dua skrin berkenaan berukuran 12.3-inci.

Ia menggunakan sistem operasi Android Automotive OS, bermakna ia menyokong pelbagai aplikasi Google termasuk Google Assistant, Google Maps dan Google Play. Bukan itu sahaja, kemas kini perisian juga boleh dilakukan secara atas udara (Over-The-Air).

Megane E-Tech Electric dikuasakan oleh konfigurasi motor elektrik tunggal yang boleh didapati dalam dua versi iaitu 130hp/250 Nm dan 218hp/300 Nm. Dari segi prestasi, versi yang lebih berkuasa mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat.

Pek bateri juga ditawarkan dalam dua kapasiti iaitu 40kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 300km, atau 60kWh untuk jarak pemanduan sejauh 470km. Dengan ukuran tebal hanya 110mm, ia dikatakan bateri yang paling nipis di pasaran.

Untuk pengecasan, Renault mendedahkan yang model ini mengambil masa 8 jam untuk mencapai jarak pemanduan 400km menerusi wallbox berkapasiti 7.4kW atau 160km dalam masa sejam jika menggunakan stesen pengecas awam 22kW.

Sudah tentu, ia juga boleh disambungkan sistem pengecas pantas DC berkapasiti 130kW yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 300km dalam tempoh 30minit.

Dari segi keselamatan pula, Megane elektrik ini dilengkapi dengan 26 sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pemanduan, parkir dan keselamatan.

Antara ciri utama yang disertakan adalah Active Driver Assist (menggabungkan Adaptive Cruise Control dan Lane Keeping Assist), Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping Assist, Rear Automatic Emergency Braking, Occupant Safe Exit, Full Auto Park, Around View Monitor 3D dan juga Smart Rear View Mirror.

Honda Civic hatchback Mugen – Kit badan, rim, ekzos sport

MUGEN telah menala dan berlumba dengan jentera hampir 30 tahun. Kini dengan Civic FE baharu, pasti Mugen mahu memberikan sentuhan mereka. Civic Mugen akan didedah secara rasmi pada September nanti, tapi mereka telah menyiarkan beberapa gambar untuk tatapan kita.

Gambar: Mugen

Boleh dilihat kit badan yang nampak ‘ringan’, tidak terlalu menonjol. Kiranya, bahagian bawah sekeliling kereta telah diberikan kelainan, termasuk lip depan, skirt tepi dan perumah ekzos trapezoid. Kemudian terdapat spoiler, corong tingkap, cermin sisi, dan rim baharu.

Gambar oleh: Mugen

Penerangan ringkas dari Mugen mengatakan rim 18-inci itu ialah dari aluminium yang memberi penekanan untuk pemanduan sporti. Ekzos sports berkembar juga sebahagian dari pakej ini yang mempunyai tip berbentuk bujur.

Pakej Mugen ini sememangnya menaikkan imej sporti pada Civic hatchback ini. Mugen juga menawarkan karpet sports yang “akan menghalang udara luar masuk sambil menambahbaik pengudaraan”. Pelik bunyinya, tak apa lah, kita tunggu pendedahan rasmi nanti.

Mugen tidak menyatakan bahawa kit badan ini untuk hatchback sahaja atau untuk sedan sekali. Kami rasa ia akan ditawarkan untuk kedua-duanya.

Apa pendapat anda mengenai pakej Mugen untuk Civic generasi ke-11 ini? Bagaimana pula rupa Type-R nanti kan?

Proton Iriz dan Persona 2021 dilancar – RM40k hingga RM55k

HANGAT juga beberapa hari ini bila Proton menyiarkan video-video acah (teaser) Iriz dan Persona 2021 sejak Isnin lepas.

Hari ini, Proton secara rasmi melancarkan hatchback dan sedan segmen-B mereka untuk versi yang dikemaskini tahun 2021.

Tiga varian ditawarkan untuk Iriz dan Persona, dengan harga seperti berikut:

Proton Iriz

1.3L Standard CVT: RM40,300
1.6L Executive CVT: RM47,100
1.6L Active CVT: RM54,000

Proton Persona

1.6L Standard CVT: RM45,00
1.6L Executive CVT: RM50,100
1.6L Premium CVT: RM54,900

Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans, dengan pengecualian cukai, dan untuk Semenanjung Malaysia.

Satu varian baharu di sini ialah pengenalan Iriz Active 1.6L. Ia tampil dengan gaya sporti ala crossover untuk mereka yang berjiwa aktif dan muda.

Sementara itu, Persona pula hadir dengan gaya lebih matang dan premium, lebih sesuai untuk keluarga kecil.

Mari kita lihatkan perbezaan dan pembaharuan untuk Iriz Active dan Persona 2021 ini:

Proton Iriz Active 2021

  • Cladding plastik hitam di sekeliling badan
  • Lampu depan LED automatik
  • Gril Infinite Weave
  • Bingkai depan dan plat belakang berwarna perak pada bampar
  • Rel bumbung
  • Bumbung hitam
  • Rim baharu 16-inci
  • Kemasan merah pada papan pemuka dan konsol tengah
  • Jahitan merah pada tempat duduk, pintu, stereng dan karpet
  • Pedal aluminium
  • Jahitan “ACTIVE” pada panel pintu
  • Tali pinggang merah
  • Warna baharu Citric Orange dan Passion Red

Proton Persona 2021

  • Lampu depan LED automatik
  • Gril Infinite Weave
  • Bumbung hitam
  • Rekaan bampar baharu
  • Rim baharu 16-inci
  • Kemasan panel pintu dan tempat duduk balutan kulit coklat leatherette
  • Warna baharu Space Grey

Kesemua varian kini didatangkan dengan unit infotainment rekaan ‘terapung’ bersaiz 8-inci dengan fungsi arahan suara “Hi Proton”.

Kawalan pendingin hawa dialihkan ke bahagian bawah dan kini mempunyai paparan digital. Kesemua kereta juga mendapat penapis udara N95 sebagai standard.

Semua varian Proton Persona dan dua varian Iriz (Executive dan Active) dikuasakan oleh enjin 1.6-liter VVT yang menjana 107hp dan 150Nm tork. Hanya satu model dengan enjin 1.3-liter VVT iaitu Iriz Standard, menghasilkan 94hp dan 120Nm tork.

Tiada pilihan manual untuk Iriz dan Persona 2021 ini sayangnya, hanya transmisi automatik CVT mandatori.

Apa pendapat anda dengan Iriz dan Persona versi 2021 ini?

Galeri Proton Iriz 2021

Galeri Proton Persona

Volkswagen Polo GTI facelift lebih memukau, mampu cecah 240km/j!

SELEPAS memperkenalkan model Polo facelift generasi keenam April lalu, Volkswagen kini mendedahkan pula versi berprestasi tinggi yang menjadi idaman ramai iaitu Polo GTI.

Ia bukan sahaja menampilkan rekaan lebih segar, malah enjin dan sistem keselamatan turut dipertingkatkan.

Jom kita lihat antara kelebihan yang ada pada Polo GTI baharu ini.

Reka Bentuk Luaran

Polo GTI didatangkan dengan reka bentuk luaran menarik dengan bentuk lampu hadapan dan belakang baharu serta corak bermotifkan sarang lebah pada gril.

Lampu hadapan menggunakan teknologi IQ Light LED Matrix, manakala lampu belakang pula adalah daripada jenis diod pemancar cahaya (LED).

Apa yang lebih menarik adalah penggunaan jalur lampu pada bahagian bawah gril dan lampu hadapan.

Menurut Volkswagen, ia diinspirasikan daripada model Golf GTI MK8 dan model elektrik ID.

Lampu itu turut ditemani oleh jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi.

Bahagian belakang pula terdapat lampu brek beranimasi, lampu isyarat membelok dinamik serta ‘diffuser’ yang didatangkan dalam warna sama dengan warna badan.

Rim didatangkan standard dalam saiz 17 inci, namun pelanggan yang ingin tampil lebih agresif boleh mendapatkan unit 18 inci.

Lampu jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi. – Foto ihsan Car Scoops

Ruang Dalaman

Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman Polo GTI tidak begitu ketara.

Apa yang baharu adalah stereng multifungsi yang menampilkan butang sensitif sentuhan dan logo terkini Volkswagen.

Selain itu, terdapat kluster instrumen digital (Digital Cockpit Pro) berukuran 10.25 inci yang dikuasakan oleh sistem infotainmen generasi baharu MIB3.1.

Kehadiran sistem ini membolehkan Apple CarPlay dan Android Auto digunakan secara tanpa wayar.

Antara elemen lain terdapat pada bahagian dalaman Polo GTI baharu adalah:-

  • Trim Titanium Black pada bahagian tiang dan pelapik bumbung
  • Papan pemuka berwarna merah serta jahitan kontras pada stereng
  • Sistem audio Beats berkapasiti 300 watt dengan enam pembesar suara
Tona warna merah dan hitam menyerlahkan ‘kegarangan’ Polo GTI baharu. – Foto ihsan Car Scoops

Enjin Polo GTI baharu

Seperti sebelum ini, Polo GTI dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan.

Namun, kuasanya telah ditingkatkan dari 200 PS kepada 207 PS.

Jumlah tork bagaimanapun kekal pada 320 Nm.

Prestasinya masih lagi mengagumkan iaitu 6.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j.

Buat pertama kalinya, hatchback ini dilengkapi dengan IQ.Drive Travel Assist yang menggunakan sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Assist untuk pemanduan separa auto pada kelajuan sehingga 210 km/j.

Perkataan GTI diletak di bawah logo Volkwagen. – Foto ihsan Car Scoops