fbpx

Jualan Proton meningkat 17.1% pada April

proton s70 tanggapan pertama 18

PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan April 2023, yang menyaksikan pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan sebanyak 11,025 unit untuk pasaran domestik dan eksport.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17.1% berbanding 9,415 unit yang dicapai pada April tahun lalu.

Selain itu, jualan bagi empat bulan pertama tahun 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023.

Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.

Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7% pada bulan April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2%, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara.

Menurut Proton, X50 mencapai jualan sebanyak 1,642 unit pada bulan April, sekali gus membolehkan model itu mendahului semula jualan SUV segmen B.

 

Sementara itu, S70 terus menerajui jualan sedan segmen C dengan 1,635 unit terjual pada bulan lalu. Ini melonjakkan jualan kumulatif sedan itu kepada 7,463 unit.

Saga pula kekal sebagai model Proton terlaris dengan merekodkan jualan sebanyak 5,031 unit pada April, dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8% kepada 23,278 unit.

X70 mencapai 552 unit, manakala Persona dan X90 masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit. Iriz menambah 424 unit kepada jumlah jualan April.

“Penurunan dalam jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac
2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan
pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Jualan eksport pula menyaksikan peningkatan sebanyak 38.5% kepada 835 unit berbanding 603 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Mendahului carta jualan eksport adalah Saga dengan 427 unit terjual sejak awal tahun, diikuti dengan X50 dengan 176 unit dan S70 dengan 89 unit dalam pasaran eksport tunggalnya iaitu Brunei.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved