Arkib Tag: Hamilton

Carta Engear: 5 detik sukan paling bersejarah 2021

SEGMEN sukan permotoran pada tahun ini tidak kurang hebatnya walaupun kebanyakan negara dibadai pandemik Covid-19.

Pelbagai acara sukan dianjurkan dan telah berakhir dengan jayanya selain beberapa sejarah turut tercipta.

Engear berjaya mengenal pasti lima peristiwa sukan yang dianggap antara paling bersejarah berlaku sepanjang 2021.

Jom kita semak satu demi satu lima peristiwa sukan paling bermakna sepanjang tahun ini.

Check it out…

Vios Challenge @ Sepang

Walaupun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ‘sepi’ daripada kejohanan antarabangsa seperti MotoGP, namun ia tetap diserikan dengan perlumbaan kereta.

Perlumbaan penutup Season 4 Toyota Gazoo Racing dan Vios Challenge telah berlangsung pada November tahun ini.

Apa yang menarik, perlumbaan berlangsung pada sebelah malam itu berjaya dimenangi Prince of Drift Malaysia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.

Sementara itu, pusingan kedua Vios Challenge di SIC pada bulan sebelumnya juga turut mencatat sejarah tersendiri.

Perlumbaan itu dikatakan telah ditonton lebih dua juta penonton secara atas talian…hebat!

Semoga lebih banyak perlumbaan begini diteruskan pada tahun 2022 dan ayuh sama-sama berdoa agar dunia kembali pulih daripada serangan Covid-19.

Damok permata baharu Malaysia

Nama Damok menjadi sebutan ramai peminat sukan permotoran tanah air tahun ini.

Ia susulan kejayaan Damok atau nama sebenar Syarifuddin Azman memenangi perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol di Barcelona pada Jun.

Menerusi temu bual Engear bersama Damok, pelumba kelahiran Selangor itu mengakui sokongan seluruh rakyat Malaysia menjadikan dirinya lebih kuat menempuh sebarang cabaran.

Apa yang lebih membanggakan Damok turut berjaya bersaing dalam perlumbaan Moto3 pada September dengan mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing.

Pada perlumbaan di Aragon itu, Damok memperoleh kedudukan ke-13.

Hafizh ucap selamat tinggal Moto2

Pelumba berbakat besar Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya meninggalkan Moto2 selepas bergelut dengan pelbagai isu terutama melibatkan tajaan.

Pernah juga berada di kelas MotoGP, Hafizh kini bersama pasukan MIE Racing Honda Team untuk perlumbaan World SBK.

Pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP dengan mendapat sokongan daripada Honda Factory.

Sudah pasti, tahun 2022 lebih banyak mata tertumpu kepada Hafizh yang telah berhijrah ke kejohanan World SBK.

Engear ucapkan selamat maju jaya dan terus success buat Hafizh!

Sentap ego Hamilton, Verstappen juara dunia F1 2021

Sukan Formula 1 (F1) turut mencipta sejarah dengan perlumbaan keseluruhan musim ini dimenangi pelumba pasukan Redbull Max Verstappen.

Kejayaan itu muncul ketika perlumbaan F1 di Abu Dhabi Grand Prix pada 13 Disember lalu.

Verstappen secara tidak langsung berjaya menamatkan dominasi Lewis Hamilton yang mewakili pasukan Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1.

Hamilton merupakan juara dunia selama empat tahun berturut-turut sejak 2017 hingga 2020.

Bagaimana pula dengan musim depan? Jom kita nantikan…

Grazie Vale!

Valentino Rossi akhirnya bersara sebagai pelumba MotoGP tahun ini.

Memulakan karier sebagai pelumba MotoGP sejak tahun 1996, juara dunia ini telah mencipta pelbagai kejayaan di atas litar lumba.

Rossi sebelum ini cukup kompetitif di atas litar malah, sering berdepan dengan beberapa insiden termasuk bersama pelumba Repsol Honda, Marc Marquez.

Justeru, tidak dinafikan keputusan persaraan dibuat Rossi mengundang rasa sedih kebanyakan peminatnya.

Walau apa pun, Engear berharap Rossi terus menabur bakti kepada sukan permotoran berlandaskan kepada pengalaman dimilikinya selama ini.

Terima kasih Rossi, Grazie Vale!

Sekian lima detik sukan pilihan Engear untuk tahun 2021 dan tidak dinafikan masih banyak lagi yang tidak dapat kami senaraikan di sini.

Walau apa pun, Engear berharap sukan permotoran terus subur di tahun hadapan dan seterusnya.

Ayuh kita sama-sama sokongan sukan permotoran dan katakana tidak kepada lumba haram jalanan.

Chiow!

Topi keledar tayang bendera LGBT di Qatar, sudikah Hamilton pakai di Arab Saudi?

Pelumba Formula Satu (F1) Lewis Hamilton nampaknya tidak lekang daripada terus berdepan kontroversi.

Terbaharu, juara dunia tujuh kali itu menerima kritikan apabila sengaja mengenakan topi keledar yang tertera mesej menyokong golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

Situasi menjadi ‘panas’ memandangkan tindakan itu dibuat pada perlumbaan Grand Prix F1 Qatar di Litar Antarabangsa Losail.

Bagaimanapun, Hamilton mempertahankan tindakan itu sambil menyifatkan adalah menjadi tugasnya untuk membela hak setiap individu termasuk golongan LGBT.

“Sebagai ahli sukan saya telah menyaksikan banyak negara yang tidak peka dengan isu ini (hak asasi).

“Inilah sebab kenapa kami menghasilkan corak bertemakan warna LGBT dan mengenakan ia di GP Qatar.

“Kita sedia maklum bahawa di negara ini hak golongan LGBT tidak wujud,” katanya seperti dilaporkan portal The Drive.

Pelumba Formula Satu (F1) Lewis Hamilton tekad untuk terus membasmi perkauman terutama dalam sukan. – Foto ihsan Instagram/Lewis Hamilton

Qatar adalah sebuah negara yang mengharamkan dan tidak mengiktiraf hubungan sesama jenis serta bi-seksual.

Berdasarkan hukum Islam, orientasi seks sesama jenis atau bi-seksual juga adalah suatu yang ditegah dan diharamkan.

Pada GP Qatar, Hamilton berjaya meraih tempat pertama dan diikuti Max Verstappen serta Fernando Alonso di kedudukan ketiga.

Sementara itu, timbul persoalan adakah Hamilton akan mengenakan topi keledar sama pada perlumbaan seterusnya?

Ini kerana dalam tempoh kurang dua minggu pelumba itu akan menjejakkan kaki ke Jeddah bagi perlumbaan GP Arab Saudi.

Konsisten perangi perkauman, Hamilton terima anugerah Laureus

PELUMBA Formula Satu (F1) Lewis Hamilton berjaya merangkul Anugerah Laureus World Sportsman of the Year.

Atlet kelahiran United Kingdom (UK) itu menerima anugerah tersebut atas usaha berterusan memerangi perkauman dan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Hamilton merupakan atlet pertama menerima anugerah itu memandangkan ia merupakan anugerah baharu di bawah label Anugerah Sukan Dunia Laureus.

Sebelum ini, juara dunia tujuh kali itu sangat lantang dalam memperjuangkan kesamarataan antara kaum.

Antara usaha dilakukan Hamilton termasuk menubuhkan suruhanjaya bertujuan memastikan sukan sebagai platform untuk semua masyarakat tanpa mengira budaya dan latar belakang.

Suruhanjaya ini turut mengkaji faktor penghalang terhadap penglibatan individu kulit hitam dalam arena sukan permotoran di UK.

Pada masa sama, suruhanjaya ini turut mencari jalan penyelesaian agar tindakan perkauman dapat dihentikan dalam sukan terutama membabitkan bidang permotoran.

Walau apa pun, tahniah Hamilton atas keberanian dan keprihatinan terhadap isu perkauman!

Semoga lebih ramai atlet seperti Hamilton yang terus berminat untuk menyumbang usaha murni kepada masyarakat.