fbpx

Rasa macam mimpi, Damok kongsi strategi menang di Catalunya

210614-damok-moto3-v002.jpg

STRATEGI saat akhir menjadi kunci utama pelumba muda negara Syarifuddin Azman mencetak kejayaan pada perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol, semalam.

Syarifuddin juga dikenali sebagai Damok berkata, tindakannya memberi tekanan kepada pelumba lain di pusingan akhir ternyata membuahkan hasil membanggakan.

Jelas Damok, kebanyakan pelumba kebiasaannya akan melakukan kesilapan di pusingan akhir susulan ‘tekanan’ tinggi daripada pencabar lain.

“Pada pusingan akhir saya cuba memberi tekanan kepada pelumba lain. Kebiasaannya pelumba mudah melakukan kesilapan di pusingan ini.

“Semalam, saya lihat perkara itu berlaku sekaligus mengambil kesempatan untuk memintas dan berada di hadapan.

“Apa yang saya lakukan seterusnya selepas itu adalah ‘menutup’ ruang bagi pelumba lain daripada memintas,” katanya ketika dihubungi EnGear, hari ini.

Damok berjaya memenangi perlumbaan Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol di Catalunya, Barcelona pada semalam.

Pelumba berusia 20 tahun itu mencatatkan masa keseluruhan 29 minit 32.553 saat sekaligus memungut 30 mata bagi keseluruhan perlumbaan.

Kejayaan itu merupakan yang pertama baginya pada perlumbaan musim ini.

Tidak dinafikan ramai kalangan peminat sukan perlumbaan teruja untuk melihat aksi Damok di Moto3 nanti. - Foto ihsan Facebook/Damok

Jentera berfungsi dengan baik

Sementara itu, Damok mengakui jenteranya berfungsi dengan baik pada perlumbaan semalam.

Bagaimanapun, Damok menjelaskan terdapat sedikit masalah suspensi ketika memasuki pusingan terakhir.

Pelumba SIC Racing itu pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada seluruh kru pasukan di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

“Saya dapat rasakan terdapat sedikit masalah pada bahagian suspensi di pusingan akhir. Jentera saya agak ‘goyang’ setiap kali mengambil selekoh.

“Apa pun saya berjaya mengawal jentera dan terima kasih kepada semua kru pasukan atas kerjasama dan sokongan diberikan selama ini,” katanya lagi.

Damok akui umpama mimpi

Kejayaan menamatkan perlumbaan semalam di tempat pertama tidak dinafikan umpama satu mimpi bagi Damok.

Mengakui sukar mempercayai kejayaan itu, Damok tetap bersedia untuk terus memberi saingan sengit dan mencipta kejayaan demi kejayaan.

“Sebaik melintasi garisan penamat waktu itu saya rasakan umpama mimpi. Betul ke aku yang menang ni?

“Selepas beberapa ketika saya mulai sedar yang memang saya adalah juara bagi perlumbaan semalam.

“Saya tahu selepas ini ada banyak lagi cabaran. Saya sedia untuk memberi tekanan kepada pelumba lain. Mereka juga seperti kawan-kawan. Tiada apa perlu dirisaukan,” katanya.

Terdahulu, Damok turut memberi kata-kata semangat kepada bakat-bakat muda lain yang berminat menceburi sukan permotoran.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, segala kejayaan pasti akan tercapai jika terus berusaha tanpa mengenal erti lelah.

“Adik-adik yang meminati sukan permotoran teruskan minat anda. Lakukan sehabis baik demi mencapai cita-cita.

“Di sini (Eropah), umur empat tahun pun dah mula tunggang motosikal untuk berlumba secara profesional.

“Saya sendiri rasa agak berusia jika dibandingkan dengan pelumba lain yang ada antaranya berusia 15 tahun.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved