Arkib Tag: gaya hidup

MINIfest 2023 acara terpaling MINI! Kereta, makanan, gaya hidup, hiburan

MINI baru-baru ini mengadakan acara MINIfest 2023 di Sentul Depot pada Sabtu, 22 Julai. Dengan tema ‘Big Love, Big Fun’, MINIfest 2023 telah membariskan pelbagai aktiviti dan hiburan, di samping pameran kenderaan MINI yang bersejarah.

Para pemilik atau dipanggil ‘warga MINIacs’ tanpa mengira usia dapat menjiwai semangat MINI dan mencipta memori yang bermakna melalui minat mereka ke atas jenama ini.

Lebih 2,300 warga MINIacs telah berhimpun di Sentul Depot untuk menikmati aktiviti- aktiviti seperti pameran MINI, sesi pandu uji yang eksklusif, dan jualan aneka barangan yang kreatif dan lestari.

Bagi mereka yang mendahagakan cabaran, pelbagai permainan karnival yang popular juga telah disediakan di perkarangan ini.

Antaranya adalah MINI Slingshot, dimana para peserta telah dilancarkan ke udara di mana mereka dapat menyaksikan acara ini dari satu sudut yang lebih menarik.

Para pengunjung juga telah membanjiri MINI Car Boot Sale untuk membawa pulang aneka barangan perhiasan, sementara pelbagai rakan jenama dan vendor tempatan mengambil peluang untuk menawarkan aneka kraf dan seni yang menarik, termasuk barangan fesyen serta aksesori rekreasi yang unik.

Juga memeriahkan festival tersebut ialah booth MINI yang menawarkan aneka barangan eksklusif buat para peminat MINI, di samping stesen pengubahsuaian yang membolehkan pelanggan memperibadikan barangan MINI kesukaan mereka.

Menerusi kerjasama dengan Modle.play, para keluarga dan anak-anak kecil juga dapat menyertai dua bengkel menarik yang dirumus khas untuk mereka, di samping ruang permainan kanak-kanak yang lengkap dengan aneka mainan yang diperbuat daripada kayu.

Kanak-kanak dilihat seronok membina jentera MINI yang dikuasakan oleh bateri, manakala di bengkel yang satu lagi, mereka dapat mencungkil kreativiti masing-masing menerusi aktiviti mencipta rantai kunci dan barangan kemas MINI.

Bukan itu sahaja, para hadirin juga dapat menyaksikan penciptaan seni mural, memberi singkapan kepada artis yang akan berkolaborasi dengan MINI untuk sesi RoofArt Special Edition yang menampilkan jentera-jentera Countryman.

Terkenal dengan karya seninya yang unik dan bersemarak, artis mural ini telah menghasilkan sebuah mural berdasarkan perspektif artistiknya terhadap acara tersebut, merangkap semangat yang menghidupkan suasana MINIFest.

Di samping itu, para hadirin turut dihiburkan dengan lagu-lagu daripada para artis Merdekarya, menambah lagi seri dan warna pada suasana festival tersebut.

Bagi memuaskan selera para pengunjung, MINIFest turut membariskan 14 vendor makanan yang popular dari Tiffin at the Yard, di mana aneka makanan khas bertema MINI telah disajikan buat warga MINIacs.

Di antara pelbagai aktiviti dan pengalaman yang disediakan di acara ini, yang menjadi tumpuan utama ialah MINI Garage, di mana para pengunjung telah berpeluang untuk menelusuri sejarah dan evolusi jenama MINI yang mengagumkan.

Pameran ini membolehkan pengunjung meneroka legasi kenderaan MINI serta transformasinya yang inovatif dari detik ia diasaskan, dipersembahkan melalui peragaan jentera MINI Classic, MINI 3-Door R53, MINI 3-Door R56, MINI Coupe R58, MINI Countryman R60, dan MINI Paceman JCW R61.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkongsi, “Kami teruja kerana MINIfest 2023 sekali lagi dapat menghimpunkan warga MINIacs dari pelbagai latar belakang untuk menghidupkan semangat jenama MINI yang unik.

“Tema Big Love, Big Fun sememangnya merangkapkan semangat yang mewarnai acara ini seperti yang dijulang oleh MINI, bagi mencorak sebuah komuniti yang sihat, terdiri daripada para individu yang berkongsi semangat pengembaraan yang sama.”

Tamiya lancar kit Mitsubishi Lancer Evo V RC skala 1/10

BERITA baik untuk kaki JDM, kerana Tamiya memperkenalkan kit terbaharu untuk siri kawalan radio (RC) skala 1/10 mereka, kini dengan Mitsubishi Lancer Evolution V.

Model legenda rali itu hadir dengan casis TT-02 Tamiya, iaitu platform popular mereka. Kit ini menampilkan ciri ikonik pada Mitsubishi Evo seperti fender timbul terkeluar, rongga udara pada hud, dan spoiler belakang yang besar.

Casis TT-02 Tamiya menggunakan susun atur menegak dengan pek bateri di kiri, dan motor serta elektronik di bahagian kanan.

Kit dengan pacuan shaf ini juga bukan sahaja seimbang, malah rekaan lengan-lengan suspensi serta kotak gearnya direka agar mudah dipasang dan diselenggara.

Kit TT-02 ini mempunyai panjang 445mm, lebar 185mm, tinggi 145mm dan jarak roda 257mm. Ia juga menawarkan dua tetapan tahap kelegaan tanah dan sehingga 10 kombinasi nisbah gear.

Kit ini juga dilengkapi hab roda berbentuk brek cakera dan penahan bampar depan. Rimnya mempunyai rekaan 12 bilah dan dibaluti dengan tayar perlumbaan.

Bagi menambahkan tahap realistik model Evo anda, kit Tamiya ini hadir dengan pelekat dan penutup tingkap untuk memudahkan proses mengecat.

Anda akan turut mendapat motor bersaiz 540 dan Electronic Speed Controller (ESC), walaubagaimanapun anda harus mendapatkan servo, receiver, radio dan bateri secara berasingan sebelum Evo anda boleh dipandu.

Kit casis TT-02 ini sangat sesuai untuk beginner, jadi anda yang tiada pengalaman pun pasti boleh ‘membina’ kereta ini. Ia juga sesuai untuk mengisi masa lapang anda dengan anak lelaki anda, agar dia dapat memahami fungsi dan komponen sesebuah kereta.

Pasang dan pandu McLaren Senna anda sendiri dengan kit Tamiya ini

TAMIYA baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu dalam siri RC (radio control) skala 1/10 mereka iaitu McLaren Senna.

Seperti kebanyakan model RC Tamiya, ianya datang dengan kit yang anda perlu pasang dan bina sendiri. Untuk McLaren Senna ini, ianya berdasarkan casis TT-02 dengan nombor kit 58711.

Badannya direka dengan penuh terperinci dan realistik dari polycarbonate, lengkap dengan lampu depan dan panel sisi 3D yang dihasilkan semula dengan pelekat.

Perincian ini ditingkatkan dengan splitter, dan panel-panel plastik untuk cermin sisi, dan spoiler belakang. Bahagian belakang menempatkan louvres untuk enjin lengkap dengan diffuser dua-tingkat.

TT-02 merupakan antara casis permulaan Tamiya yang mudah untuk dipasang, menampilkan 4WD pacuan shaf, bateri di sebelah kiri, sementara motor dan elektronik di sebelah kanan untuk keseimbangan dan kestabilan.

Lengan suspensi kiri dan kanan adalah serupa agar mudah dipasang, manakala kotak gear depan dan belakang mudah diselenggara. Hab roda direka agar menyerupai cakera brek, melengkapkan rupa pada rim dan tayar.

Penyerap hentak pada kit ini adalah jenis geseran, tetapi anda boleh menaik taraf dengan set yang diisi minyak dari pilihan Hop Ups.

Kit ini berukuran 466mm panjang, 195mm lebar, 118mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 257mm. Casisnya dilengkapi dengan differential plastik, stereng tie-rod 3-bahagian, dan hadir dengan motor 540 dengan nisbah gear 8.27:1.

Bagaimanapun, untuk melengkapkan kereta RC ini bagi membolehkannya ‘dipandu’ anda harus mendapatkan Electronic Speed Controller (ESC), bateri dan sistem radio 2-saluran secara berasingan.

McLaren Senna dilancarkan pada 2018 di Geneva International Motor Show, dimana namanya diambil dari pelumba legenda, mendiang Ayrton Senna. Ia direka dengan badan yang penuh dengan komponen gentian karbon serta pakej aerodinamik dan penyejukan dari F1.

Kuasa sebanyak 800hp dibekalkan dari enjin 4.0-liter V8 twin-turbo, dan hanya 500 unit dihasilkan seluruh dunia.

Jika anda tidak mampu atau tidak sempat memiliki kereta sebenar, inilah peluang paling sesuai untuk anda ‘memandu’ McLaren Senna anda sendiri.

Jika tidak ‘dipandu’ sekalipun, ia nampak cukup cantik untuk dipamerkan di ruang tamu atau bilik tidur anda.

Mazda x Mizuno ialah kasut memandu dengan rekaan Kodo Design

INI ada satu produk menarik untuk pemilik dan peminat Mazda. Pengeluar itu bekerjasama dengan jenama sukan Jepun, Mizuno, untuk memperkenalkan kasut memandu yang membawakan falsafah rekaan mereka.

Kasut memandu ini direka dengan garisan-garisan ringkas dan minima, sama seperti apa yang kita boleh lihat pada kenderaan-kenderaan Mazda.

Dinamakan Mazda x Mizuno, kasut ini bukan untuk rupa semata-mata. Menurut kenyataan Mazda, kasut ini direka untuk memberikan “kawalan pedal ringan, stabil dan selesa.”

Terdapat juga ciri penting lain seperti sokongan dorsiflexion yang menambahbaik kebolehkawalan dan ketepatan pedal.

Selain itu, mempunyai tapak melengkung yang meningkatkan sentuhan pada lantai, sambil membolehkan kaki digerak semasa memandu. Jaring berstruktu pada tendon Achilles pula menyerap gerakan dan mengekalkan keselesaan kaki.

Walaupun kebanyakan kasut memandu mempunyai tapak nipis dan keras, lantas menjadikannya kurang selesa di luar kereta, Mizuno menampilkan teknologi Cob untuk ‘kusyen’. Ini membolehkan rasa dan tindakbalas menerus dari pedal, tetapi masih selesa untuk berjalan.

Kasut Mazda x Mizuno ini baru permulaan untuk pengeluar kereta itu membabitkan diri dalam barangan gaya hidup.

Kasut memandu ini boleh didapati untuk pra-tempahan di Makuake dengan harga 39,600 Yen (RM1,502). Penghantaran dijangka bermula pada Mac 2022. Tetapi penghantaran ke luar Jepun tidak dinyatakan.

Korang pemilik Mazda minat dengan kasut ini? Patutkah Mazda Malaysia bawa masuk sebagai pilihan aksesori?