Arkib Tag: g class

Mercedes-Benz ‘Little G’ sedang dibangunkan, akan diperkenalkan dalam masa beberapa tahun

MERCEDES-Benz mempunyai banyak model ikonik dalam rangkaiannya dan salah satu daripadanya adalah G-Class atau lebih dikenali sebagai G-Wagen.

Tidak lama lagi, SUV itu bakal mempunyai varian baharu yang diberi jolokan ‘Little G’. Perkara ini disahkan oleh Mercedes-Benz ketika acara pelancaran Concept CLA Class di Munich Motor Show.

Bercakap kepada CNBC, Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz, Ola Källenius berkata Little G sedang dalam pembangunan dan akan tiba dalam masa beberapa tahun lagi namun tidak menyatakan tarikh sebenar pendedahan model berkenaan.

Imej teaser yang disiarkan oleh Auto Express menunjukkan model itu mempunyai profil yang sama dengan G-Class, cuma dalam saiz yang lebih kecil. Imej tersebut turut memaparkan tulisan ‘g-Class’ yang besar kemungkinan akan menjadi nama rasmi Little G.

Sementara itu, akhbar Jerman, Handelsblatt sebelum ini melaporkan bahawa model itu akan dilancarkan pada 2026. Ia akan ditawarkan dengan trenkuasa elektrik dan akan menggunakan platform MMA dengan senibina 800 volt.

Dari segi saiz, laporan mengatakan yang ia tidak sekecil Suzuki Jimny, sebaliknya lebih hampir kepada saiz Jeep Wrangler. Sama ada ia mempunyai dua atau empat pintu juga masih belum diketahui.

Budak 5 tahun dapat hadiah hari jadi Mercedes-Benz G-Wagon

SEMASA anda berumur lima tahun, hadiah apa yang anda dapat untuk hari jadi? Apa pun jawapan anda, penulis pasti ia tidak setanding dengan apa yang diterima oleh kanak-kanak bertuah bernama Fatima ini.

Manakan tidak, sempena sambutan hari lahirnya yang kelima baru-baru ini, Fatima menerima hadiah idamannya yang berupa sebuah Mercedes-Benz G-Class!

SUV yang lebih dikenali sebagai G-Wagon itu dihadiahkan oleh ibunya sendiri, Farhana Zahra yang merupakan seorang usahawan kosmetik tempatan.

@farhanazahra91 Hari tu alasan dia xnak g school sbb belom birthday dia so xcukup lagi 5 tahun , sekarang dia mintak cikna BMW dengan G wagon plak baru nak g school, bmw cikna tahu la , g wagon menatang hape weyh??? 😭😭😭#farhanazahra91 #fypシ #fyp ♬ original sound – Farhana Zahra

Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 31 Mac lalu, Farhana bertanyakan Fatima, apa yang anaknya itu mahu sebagai hadiah hari jadinya yang kelima.

Dengan bersahaja, Fatima berkata yang dia mahukan sebuah G-Wagon dan sebuah BMW berwarna hijau. Apabila ditanya apa yang hendak dilakukan dengan kereta itu, si anak berkata ingin membawanya ke sekolah.

Pada 10 April, Farhana memuat naik satu lagi video TikTok yang menunjukkan reaksi Fatima apabila melihat SUV mewah bernilai jutaan ringgit itu dipersembahkan di dalam ‘kotak hadiah’ lutsinar gergasi.

@farhanazahra91Happy birthday Nur Fatima Az zahra yang ke 5 ❤️❤️❤️ happy dia dapat G Wagon yang dia nak, sampai dia asyik mintak nak pegang kunci je hahaha♬ original sound – Farhana Zahra

Kanak-kanak perempuan itu ternyata gembira dan tersenyum lebar sampai ke telinga apabila menyedari permintaannya ditunaikan oleh ibunya.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Farhana berkata anaknya itu sangat teruja sehinggakan dia tidak berhenti meminta untuk memegang kunci kereta itu.

Usahawan itu juga berkongsi harapannya agar hadiah itu dapat mendorong anaknya agar terus rajin ke sekolah dan mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

Mercedes-Benz G500 Grand Edition versi pikap ini mungkin ada satu saja di dunia, untuk dilelong

LAMAN lelongan Bring A Trailer terkenal sebagai ‘lubuk’ bagi mereka yang ingin membeli kereta yang berstatus rare atau lagenda. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik, anda akan menemui sesuatu yang benar-benar unik dan lain daripada yang lain seperti trak pikap Mercedes-Benz G-Class ini.

Ia unik kerana selain G63 6X6 yang dibangunkan oleh AMG, G-Class atau G-Wagen tidak ditawarkan dalam bentuk trak pikap. Oleh itu, seorang individu dari California mengambil keputusan untuk menghasilkannya sendiri. Beliau membeli sebuah G500 Grand Edition tahun 2005 terpakai pada 2014 dan kemudiannya menghantar SUV tersebut ke syarikat kustom ikWILeenG di Belanda.

Projek tersebut mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan dan akhirnya pada 2015, trak tersebut dihantar semula kepada pemiliknya di Amerika Syarikat. Antara modifikasi utama yang dilakukan adalah memanjangkan rangka bagi membolehkan gandar belakang dialihkan lebih jauh ke belakang.

Untuk bed, ikWILeeng menggunakan unit yang diambil daripada G-Wagen yang dihasilkan khusus oleh Mercedes-Benz untuk syarikat penerbangan Scandinavian Airlines antara 70an hingga 80an. Difahamkan, trak pikap berkenaan didatangkan dalam konfigurasi single cab dan digunakan bagi tujuan mengangkut kargo.

Perubahan bentuk badan ini secara tidak langsung menyebabkan pintu belakang terpaksa direka semula. Bukan itu sahaja, trak pikap G500 Grand Edition ini juga menggunakan aci pemacu (driveshaft) kustom yang lebih panjang daripada biasa. Turut disertakan bersama modifikasi ini adalah penambat, pengikat kargo dan bedliner TuffCoat.

Selain itu, trak ini dilengkapi dengan rim Hutchinson berukuran 16-inci yang dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro berukuran 265/75, dengan sebiji tayar ganti jenis Trailcutter disediakan di dalam bed. Sistem suspensi pula merangkumi penyerap hentak Bilstein dan mounting Teflon berukuran 8cm.

Ruang dalaman kekal standard, dengan upholsteri kulit membaluti tempat duduk dan trim walnut pada stereng, papan pemuka, pintu serta konsol tengah. Ciri dan kelengkapan yang ada termasuklah fungsi pemanas dan pelarasan tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa automatik, Cruise Control, dan skrin sentuh Pioneer dengan kamera undur 360 darjah dan Apple CarPlay.

Enjin NA 5.0-liter V8-nya juga tidak disentuh. Di atas kertas, enjin petrol dengan kod M113 itu menghasilkan 292hp dan 455Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan yang digandingkan dengan dua transfer case dan tiga locking differential. Setakat ini, perbatuannya sudah mencecah 109,000 batu (kira-kira 175,400 km).

Trak pikap G500 Grand Edition ini kini dibuka untuk bidaan di Bring A Trailer. Setakat ini, bidaan tertinggi adalah $75,750 (RM314,780).