fbpx

Mercedes-Benz G500 Grand Edition versi pikap ini mungkin ada satu saja di dunia, untuk dilelong

mercedes g500 grand edition 03

LAMAN lelongan Bring A Trailer terkenal sebagai ‘lubuk’ bagi mereka yang ingin membeli kereta yang berstatus rare atau lagenda. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik, anda akan menemui sesuatu yang benar-benar unik dan lain daripada yang lain seperti trak pikap Mercedes-Benz G-Class ini.

Ia unik kerana selain G63 6X6 yang dibangunkan oleh AMG, G-Class atau G-Wagen tidak ditawarkan dalam bentuk trak pikap. Oleh itu, seorang individu dari California mengambil keputusan untuk menghasilkannya sendiri. Beliau membeli sebuah G500 Grand Edition tahun 2005 terpakai pada 2014 dan kemudiannya menghantar SUV tersebut ke syarikat kustom ikWILeenG di Belanda.

Projek tersebut mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan dan akhirnya pada 2015, trak tersebut dihantar semula kepada pemiliknya di Amerika Syarikat. Antara modifikasi utama yang dilakukan adalah memanjangkan rangka bagi membolehkan gandar belakang dialihkan lebih jauh ke belakang.

Untuk bed, ikWILeeng menggunakan unit yang diambil daripada G-Wagen yang dihasilkan khusus oleh Mercedes-Benz untuk syarikat penerbangan Scandinavian Airlines antara 70an hingga 80an. Difahamkan, trak pikap berkenaan didatangkan dalam konfigurasi single cab dan digunakan bagi tujuan mengangkut kargo.

Perubahan bentuk badan ini secara tidak langsung menyebabkan pintu belakang terpaksa direka semula. Bukan itu sahaja, trak pikap G500 Grand Edition ini juga menggunakan aci pemacu (driveshaft) kustom yang lebih panjang daripada biasa. Turut disertakan bersama modifikasi ini adalah penambat, pengikat kargo dan bedliner TuffCoat.

Selain itu, trak ini dilengkapi dengan rim Hutchinson berukuran 16-inci yang dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro berukuran 265/75, dengan sebiji tayar ganti jenis Trailcutter disediakan di dalam bed. Sistem suspensi pula merangkumi penyerap hentak Bilstein dan mounting Teflon berukuran 8cm.

Ruang dalaman kekal standard, dengan upholsteri kulit membaluti tempat duduk dan trim walnut pada stereng, papan pemuka, pintu serta konsol tengah. Ciri dan kelengkapan yang ada termasuklah fungsi pemanas dan pelarasan tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa automatik, Cruise Control, dan skrin sentuh Pioneer dengan kamera undur 360 darjah dan Apple CarPlay.

Enjin NA 5.0-liter V8-nya juga tidak disentuh. Di atas kertas, enjin petrol dengan kod M113 itu menghasilkan 292hp dan 455Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan yang digandingkan dengan dua transfer case dan tiga locking differential. Setakat ini, perbatuannya sudah mencecah 109,000 batu (kira-kira 175,400 km).

Trak pikap G500 Grand Edition ini kini dibuka untuk bidaan di Bring A Trailer. Setakat ini, bidaan tertinggi adalah $75,750 (RM314,780).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved