Arkib Tag: freed

Sentuhan Mugen buat Honda Freed nampak sedikit jahat

DALAM hidup ini, ada tiga perkara yang pasti iaitu kematian, cukai dan sentuhan Mugen untuk setiap model Honda.

Selepas memperkenalkan kit badan untuk Civic Type R FL5, syarikat penala Jepun itu kini menawarkan pula pakej naik taraf untuk Honda Freed yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Mugen, pakej tersebut dibangunkan berdasarkan konsep “Sports for Everyone” untuk pelanggan yang gemarkan gaya hidup aktif.

Tidak banyak maklumat yang diberikan namun seperti yang boleh dilihat, kit badan Mugen sedikit sebanyak membuatkan MPV itu kelihatan lebih sporty.

Mugen membangunkan kit badan yang berbeza untuk varian Air dan Crosstar. Varian Air yang tampil lebih ringkas dalam keadaan standard, kini nampak lebih agresif dengan gril Mugen dan penambahan liang udara dan splitter pada bampar depan.

Untuk bahagian sisi, ia diberikan jalur grafik berwarna hitam, visor tingkap dan skirt sisi. Ia juga kelihatan sedikit lebih rendah berbanding versi standard, bermakna ada kemungkinan yang pakej ini turut merangkumi sistem suspensi.

Di belakang, kehadiran spoiler bumbung, kemasan tailgate, liang udara bampar dan diffuser melengkapkan penampilan segar Freed Mugen.

Sementara itu, penampilan Freed Crosstar, yang sebenarnya sudah agak rugged dengan adanya elemen-elemen SUV, dipertingkatkan lagi menerusi tulisan ‘MUGEN’ berwarna hitam pada bonet, jalur grafik dengan corak camo, rim aloi aftermarket, cermin sisi hitam dan spoiler.

Seperti yang boleh dijangka, pakej naik taraf ini meliputi aspek kosmetik sahaja. Di pasaran Jepun, Freed boleh didapati dengan enjin 1.5-liter empat silinder dengan 117 hp dan 142 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda.

Ia juga ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV yang menampilkan gabungan enjin 1.5-liter berkuasa 105 hp dan 127 Nm, serta motor elektrik yang menjana 121 hp dan 253 Nm.

Inilah Honda Freed 2024 generasi ketiga – pilihan enjin NA dan hibrid, fabrik dalam kalis air!

SIAPA masih ingat Honda Freed yang pernah masuk ke pasaran Malaysia dulu? Generasi ketiga Freed baru dilancarkan di Jepun dengan pilihan enjin 1.5-liter NA dan hibrid, jom kita lihatkan perinciannya.

Enjin 1.5-liter petrol 4-silinder menawarkan 117hp dan 142Nm tork, dengan transmisi CVT menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat juga pilihan pacuan semua-roda.

Varian hibrid pula dibekalkan dengan sistem e:HEV yang terdiri enjin 1.5-liter berkuasa 105hp dan 127Nm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 121hp dan 253Nm. Sistem ini mirip dengan e:HEV pada City dan Civic.

Dari segi saiz, Honda Freed baharu ini mempunyai ukuran 4,310mm panjang, 1,720mm lebar, dan sehingga 1,780mm tinggi. Jarak roda dikekalkan, pada 2,740mm.

Reka bentuk Freed kali ini lebih bersegi dengan permukaan rata di sisi badan. Muka depan juga lebih menegak, dengan lampu trapezoidal dan DRL bertitik. Gril di tengah hanya mempunyai lubang kecil, manakala apron bawah lebih terbuka.

Dapat dilihat di bahagian sisi ialah pintu belakang jenis gelungsur, kemudian terdapat juga garisan sisi yang ditarik dari lampu depan melepasi pemegang pintu. Jika anda pilih varian Crosstar, ia dilengkapi rupa dan kemasan unik yang lebih rugged.

Rekaan dalam juga menegak dan dilihat seperti mengutamakan ruang dan praktikaliti. Paparan instrumen kini digital, dan papan pemuka dibaluti dengan kemasan fabrik. Menurut Honda, fabrik yang digunakan adalah kalis air dan minyak.

Bergantung kepada varian, anda boleh pilih konfigurasi tempat duduk 2+2+2 atau 2+3+2, tetapi Crosstar hanya mempunyai lima atau enam tempat duduk.

Honda Freed di Jepun dilengkapi dengan ciri keselamatan Honda Sensing yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan pelbagai lagi. Harga bermula 2.5 juta Yen (RM73,536).

Menarik jika masuk Malaysia? Kami rasa ia boleh jadi pilihan untuk peniaga kecil-kecilan dan hujung minggu.