Arkib Tag: fortuner

Toyota nombor satu untuk jenama bukan nasional bagi 2022, lebih 100,000 kenderaan terjual

UMW Toyota Motor menutup tirai 2022 dengan lebih 101,035 kenderaan terjual. Ini terdiri dari 100,042 kenderaan Toyota dan 993 unit Lexus, menjadikan mereka jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan 2021, UMW menjual 72,394 kenderaan Toyota dan Lexus, jadi 2022 mencatatkan peningkatan 40 peratus.

Penguasaan segmen

Jualan bagi SUV segmen-C cukup memberangsangkan dengan Corolla Cross, sebanyak 17,208 unit. Hilux pula mendominasi kategori trak pikap dengan 27,198 unit, menakala Hiace dan Fortuner masing-masing mencatatkan 390 dan 3,432 unit.

Hiace dan Fortuner dilaporkan menjadi model terlaris dalam kategori van satu tan dan wagon ringan.

Apa yang menanti untuk 2023?

Dalam satu siaran media, Toyota menggambarkan Corolla Cross Hybrid sebagai satu pengenalan signifikan kenderaan HEV (hybrid electric vehicle) di Malaysia yang juga dipasang secara CKD di negara ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata: “Kami akan terus menilai pilihan berbeza dan memperkenalkannya jika perlu. Buat masa ini, kami percaya HEV paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan memperkenalkan model HEV untuk 2023.”

Dalam pada masa yang sama, UMW juga telah menilai dan melihat dari sudut jangka masa panjang bagi kenderaan BEV (battery-electric vehicle). Malaysia dikatakan mempunyai potensi untuk menjadi pasaran kenderaan-kenderaan BEV Toyota dan Lexus.

Gazoo Racing untuk pengalaman memandu mengujakan

Di samping beralih ke arah elektrifikasi, UMW Toyota Motor akan terus menawarkan keseronokan memandu dengan aktiviti-aktiviti oleh Gazoo Racing Malaysia.

Selain aktiviti dan acara, jenama Gazoo Racing juga telah dikenali dengan penawaran produk-produk seperti Vios GR Sport hingga ke Supra.

Untuk 2023, beberapa lagi model GR akan tiba ke negara ini dan GR Garage akan menawarkan alat ganti serta barangan rasmi.

Pemandu backhoe ‘naik angin’, sodok Fortuner JPJ hingga terbalik

TIDAK puas hati akibat disaman, seorang lelaki nekad melanggar Toyota Fortuner milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jentera backhoe yang dipandunya.

Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota JPJ dikatakan melakukan operasi secara rondaan di Jalan Kepayan, dekat Kampung Magatang, Keningau, Sabah, menyebabkan kenderaan milik pasukan penguat kuasa itu remuk dan terbalik.

Berdasarkan maklumat, anggota terbabit dikatakan mengesyaki backhoe terbabit yang mencurigakan dan menahannya untuk tujuan pemeriksaan, sebelum pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu kelas F.

Selepas saman dikeluarkan, pemandu yang tidak berpuas hati itu tiba-tiba melanggar SUV milik JPJ sehingga terbalik.

Beberapa video mengenai insiden itu tular di media sosial memaparkan anggota JPJ cuba memujuk pemandu jengkaut terbabit, namun tidak diendahkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim mengesahkan kejadian itu dan kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Difahamkan, tiada anggota JPJ yang tercedera, namun Fortuner dilanggar lelaki terbabit rosak teruk.

Boleh tahan juga dia marah ya, mujurlah tiada sesiapa yang tercedera.

Toyota Fortuner, Hilux, Innova dikemaskini untuk 2021 dengan ciri dipertingkat

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan mula mengambil tempahan model kemaskini terbaru bagi Toyota Hilux, Fortuner dan Innova, bermula sejak 22 Oktober 2021.

Harga (tanpa insurans) bagi semua model baharu berkenaan adalah seperti berikut:

Toyota Hilux (5 varian) — dari RM92,880
Toyota Fortuner (3 varian) — dari RM169,167
Toyota Innova (3 varian) — dari RM115,553

Bagi Fortuner dan Innova, harga ditawarkan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dan jualannya akan bermula pada Januari 2022.

Ketiga-tiga model berkenaan telah diberikan kemaskini dan penambahbaikan dari aspek keselesaan dan kelengkapan, dengan enjin petrolnya ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat lebih awal sebelum pelaksanaan standard Euro4 pada 2022 nanti.

Toyota Hilux yang merupakan trak pikap paling laris di Malaysia ini didatangkan dalam lima varian dan dua pilihan enjin turbodiesel empat-silinder, 2.4-liter dan 2.8-liter.

Kini, untuk perjalanan yang lebih selesa dalam Hilux 2.8 Rogue dan 2.4 V, sistem pendingin hawa di depan telah dipertingkat menjadi jenis dua zon berbanding zon tunggal sebelum ini.

Dengan ciri terbabit, pemandu dan penumpang depan boleh menentukan suhu secara berasingan.

Fortuner pula yang merupakan SUV saiz sederhana dan lasak ini hadir dalam tiga varian — Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4.

Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ kini juga dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan.

Pad pengecas tanpa wayar untuk telefon yang serasi juga kini standard untuk semua varian. Slot USB belakang pada Fortuner 2.8 VRZ juga telah ditukar kepada jenis Type C, menjadikannya lebih mudah untuk mengecas telefon pintar generasi terbaru.

Akhir sekali untuk Innova yang kini dalam generasi kedua, ditawarkan dalam tiga varian — Innova 2.0X, 2.0G dan 2.0E.

Walaupun saiz kabin untuk semua varian ini sama, Innova 2.0X datang dengan kerusi kapten saiz besar di tengah. Dengan senarai kelengkapan standard yang banyak, penumpang Innova boleh duduk selesa di sepanjang perjalanan.

Bagi yang memiliki telefon pintar yang serasi, pad pengecasan tanpa wayar kini ada untuk semua varian.

Beberapa slot USB juga disediakan dalam kabin, memudahkan lagi keperluan pengecasan peranti elektronik penumpang.

Kesemua tiga model ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, dengan maksimum 150,000 km bagi Hilux (tertakluk terma dan syarat).

UMW Toyota Motor juga menawarkan pelbagai pelan pembiayaan, termasuk pelan langganan, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari toyota.com.my atau berkunjung ke mana-mana bilik pameran sah Toyota di seluruh negara.