Arkib Tag: formula e

Jentera lumba Formula E x Liberty Walk ini diinspirasikan daripada anime futuristik

Formula E 2024 yang berlangsung di Jepun baharu sahaja melabuhkan tirainya dua hari lepas (30 Mac), namun itu bukanlah perkara utama yang cuba disorotkan pada artikel ini.

Apa yang mencuri tumpuan di bandaraya metropolitan Tokyo ialah kehadiran sebuah jentera Formula E GEN3 yang telah diubahsuai penampilannya oleh syarikat penala terkenal, Liberty Walk.

 

 

Menurut Liberty Walk, kit badan kustom ini diinspirasikan daripada zaman keemasan perlumbaan jalanan Jepun, serta jentera futuristik yang pernah ditampilkan dalam siri animasi Future GPX Cyber Formula.

Disebabkan itu juga model konsep ini tampak lebih lebar berbanding jentera lumba standard GEN3 dan lebih menyerupai jentera Formula Satu yang sebenar.

Berbanding model standard, Liberty Walk telah mengubah semula rekaan sayap hadapan dengan menambah ciri seperti splitter berkembar, canard tambahan dan corong udara.

 

 

Profil tepi pula lebih garang dengan penampilan skirt sisi yang lebih dalam, sementara sirip belakang yang asal telah dilebarkan dan dalam masa yang sama mengekalkan struktur lampu LED berbentuk X di bahagian tersebut.

Akhir sekali, roda depan telah diberikan penutup berwarna merah, sebelum keseluruhan panel badan dilayangkan dengan liveri kustom mengikut tema bendera Jepun.

Pihak FIA dan Liberty Walk turut mengadakan kerjasama dengan pelakon Fast Furious terkenal, Sung Kang untuk mempromosikan binaan unik ini di laman Instagram.

 

Formula E x Liberty Walk

 

Formula E x Sung Kang

 

Formula E Gen3 Racer

Porsche Taycan Turbo S kereta keselamatan terbaharu Formula E 2022

KEJUARAAN Formula E akan membuka tirai musim kelapan pada 28 dan 29 Januari depan di Diriyah, Arab Saudi. Untuk musim kali ini, siri perlumbaan elektrik itu akan menampilkan kereta keselamatan baharu yang tidak lain tidak bukan iaitu Porsche Taycan Turbo S.

Pemilihan supercar elektrik dari Stuttgart itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia dilihat mempunyai segala kriteria yang diperlukan untuk menggalas tugas sebagai kereta keselamatan Formula E dengan sempurna.

Merupakan varian tertinggi dalam barisannya, Taycan Turbo S dikuasakan oleh sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 761PS.

Dengan adanya sistem pacuan semua roda dan Launch Control, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 2.8saat dan mencapai kelajuan maksimum 260km/j.

Penukaran Taycan Turbo S kepada sebuah kereta keselamatan yang diiktiraf FIA memerlukan beberapa modifikasi termasuk pemasangan roll cage dan tempat duduk bucket dengan tali pinggang keledar enam poin.

Tidak dilupakan juga adalah abah-abah pendawaian untuk sistem lampu, sistem pengelog Marelli, sistem komunikasi dan alat pemadam api.

Bukan itu sahaja, penampilan kereta elektrik ini juga diberi sentuhan segar menerusi livery unik yang menampilkan gabungan warna kesemua 11 pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu, serta warna rasmi FIA dan Formula E.

Menurut Porsche, livery ini ialah simbol komitmen semua pihak yang terlibat dalam Formula E dan juga hala tuju masa depan perlumbaan motor elektrik sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, ia turut melahirkan ekspresi visual nilai-nilai sosial seperti kepelbagaian dan komuniti. Nombor 22 yang digunakan pula merujuk kepada bilangan pelumba yang bertanding pada musim ini.

Selepas Diriyah, Formula E akan menuju ke Mexico City diikuti dengan Cape Town, yang bakal menjadi hos kepada Kejohanan Dunia FIA untuk kali pertama sejak Grand Prix Afrika Selatan 1993. China juga akan kembali ke kalendar Formula E pada Mac 2022, sebelum Rom dan Monaco.

Pada Mei, Formula E akan beraksi di Berlin, diikuti dengan Vancouver sebagai lokasi baharu yang kedua untuk musim ini. Seterusnya, New York akan menyaksikan saingan double header, begitu juga dengan London dan penutup tirai iaitu Seoul.