Arkib Tag: F1

Makin gah di persada sukan permotoran dunia, ini lima ‘hero’ Malaysia

SUKAN permotoran di Malaysia tidak dinafikan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negara lain seperti Jepun, Jerman, Itali, United Kingdom dan banyak lagi.

Masih terlalu banyak perlu dipelajari dan dibangunkan bermula daripada teknologi, infrastruktur, pengurusan serta pencarian bakat pelumba.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Malaysia boleh dipandang ‘sebelah mata’ oleh ‘gergasi’ sukan permotoran lain.

Sejak pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada tahun 1997, Malaysia kian mengatur langkah dalam sukan permotoran.

Buktinya, beberapa bakat pelumba dan jurutera tempatan mula menyinar di persada antarabangsa.

Siapakah mereka ini?

Berikut merupakan antara pelumba yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran:

Wazi Abdul Hamid

Nama Wazi Abdul Hamid bukan suatu yang asing dalam sukan permotoran negara ini.

Pelbagai kejayaan dilakar Wazi dengan memenangi beberapa perlumbaan bertaraf antarabangsa sepanjang kariernya.

Antara pencapaian terbaik Wazi apabila berjaya merangkul tempat kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 1995, 2003 dan 2005.

Selain itu, Wazi juga pernah menjadi naib juara keseluruhan bagi FIM Asia Road Racing Championship (Underbone 125cc).

Wazi bersara daripada dunia perlumbaan pada tahun 2006 dan kini banyak memberi fokus kepada program permotoran.

Alex Yoong

Nama sebenar Alex Yoong adalah Alexander Charles Yoong Loong.

Dilahir pada 1976, Alex merupakan bekas pelumba Formula Satu (F1).

Karier Alex sebagai pelumba F1 bermula apabila dirinya berjaya menyertai perlumbaan pertama di Grand Prix Itali pada tahun 2001.

Alex pernah mewakili dua pasukan dalam kejohanan F1 iaitu European Minardi F1 dan KL Minardi Asiatech.

Bagaimanapun, karier Alex sebagai pelumba F1 terhenti pada tahun 2002.

Adam Norrodin

Adam Norrodin merupakan pelumba Moto3 yang kini sedang mewakili pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pada 2014 dan 2015, Adam berlumba di kejohanan Piala Bakat Asia dan Kejohanan Dunia Junior FIM CEC Moto3.

Prestasi yang begitu memberansangkan menyaksikan Adam terus mengatur langkah dengan menyertai Moto3 pada tahun 2016.

Selain meminati sukan motosikal, anak kelahiran Johor ini juga menyukai permainan bola sepak.

Karamjit Singh

Karamjit Singh atau dikenali sebagai Flying Sikh merupakan pemandu Asia pertama memenangi Kejuaraan Kereta Pengeluaran Dunia Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

Mula berlumba sebagai pelumba rali profesional sejak tahun 1985, Karamjit juga pernah memenangi Kejuaraan Rali Asia Pasifik FIA pada 2002 dan 2004.

Untuk rekod, Karamjit pernah mewakili pasukan Petronas EON Racing Team dan Pasukan Proton Pert Malaysia.

Hafizh Syahrin Abdullah

Sebut nama Hafizh Syahrin Abdullah, siapa tidak mengenali pelumba asal Selangor ini.

Mencipta sejarah untuk Malaysia, Hafizh merupakan pelumba pertama negara menyertai perlumbaan MotoGP.

Pada musim pertama di MotoGP, Hafizh mengutip 46 mata keseluruhan.

Pungutan itu hanya kurang empat mata untuk mengatasi Franco Morbidelli bagi meraih gelaran Rookie of The Year 2018.

Nombor perlumbaan Hafizh adalah 55 bersempena tarikh lahirnya pada 5 Mei.

Kini, Hafizh menyertai semula perlumbaan Moto2 bersama pasukan RW Racing GP.

Demikian antara lima pelumba warga Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam persada sukan permotoran dunia.

Tidak dinafikan, ada banyak lagi pelumba yang telah mencurahkan bakti kepada negara dalam sukan ini.

Apa pun, terus memberi sokongan anda kepada sukan permotoran Malaysia!

#MalaysiaBoleh

McLaren susun strategi kekalkan Norris musim depan

PASUKAN Formula Satu (F1) McLaren Racing terus menyusun strategi bagi meningkatkan penguasaan dalam perlumbaan berprestij itu.

Terbaharu, McLaren memperbaharui kontrak bersama pelumba handalan mereka, Lando Norris.

Memetik laporan media, Norris begitu teruja dengan lanjutan kontrak tersebut selain tekad terus memberi saingan sengit pada setiap perlumbaan.

“Saya sangat gembira dapat mengukuhkan kerjsama dengan McLaren.

“Setelah bersama pasukan selama hampir lima tahun, saya berasa menjadi sebahagian daripada keluarga ini.

“Komitmen saya kepada McLaren jelas. Tujuan saya adalah memenangi perlumbaan dan menjadi juara dunia F1,” katanya.

Lando Norris merupakan antara pelumba Formula Satu (F1) kelahiran Britain yang berjaya menempa nama di peringkat dunia.

Pembaharuan kontrak itu secara tidak langsung menyaksikan Norris kekal bergandingan dengan rakan sepasukan, Daniel Ricciardo.

Ketika ini, Norris berada di kedudukan keempat keseluruhan perlumbaan dengan mengumpul 41 mata.

Sementara Ricciardo berada di kedudukan ketujuh pada perlumbaan musim ini.

Perlumbaan F1 seterusnya akan berlangsung di Monaco yang dijangka bakal memberi aksi kompetetif dalam kalangan pelumba.

Konsisten perangi perkauman, Hamilton terima anugerah Laureus

PELUMBA Formula Satu (F1) Lewis Hamilton berjaya merangkul Anugerah Laureus World Sportsman of the Year.

Atlet kelahiran United Kingdom (UK) itu menerima anugerah tersebut atas usaha berterusan memerangi perkauman dan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Hamilton merupakan atlet pertama menerima anugerah itu memandangkan ia merupakan anugerah baharu di bawah label Anugerah Sukan Dunia Laureus.

Sebelum ini, juara dunia tujuh kali itu sangat lantang dalam memperjuangkan kesamarataan antara kaum.

Antara usaha dilakukan Hamilton termasuk menubuhkan suruhanjaya bertujuan memastikan sukan sebagai platform untuk semua masyarakat tanpa mengira budaya dan latar belakang.

Suruhanjaya ini turut mengkaji faktor penghalang terhadap penglibatan individu kulit hitam dalam arena sukan permotoran di UK.

Pada masa sama, suruhanjaya ini turut mencari jalan penyelesaian agar tindakan perkauman dapat dihentikan dalam sukan terutama membabitkan bidang permotoran.

Walau apa pun, tahniah Hamilton atas keberanian dan keprihatinan terhadap isu perkauman!

Semoga lebih ramai atlet seperti Hamilton yang terus berminat untuk menyumbang usaha murni kepada masyarakat.

Jurutera AMG Petronas F1 suntik semangat pelajar Kolej Despark

USAHA mengembangkan ilmu kejuruteraan kepada pelajar diteruskan pasukan AMG Petronas Formula One (F1) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terbaharu, pasukan itu menampilkan jurutera bendalir En De Liow bagi berkongsi pengalaman bersama lebih 200 pelajar Kolej Despark, Petaling Jaya.

Menerusi program itu, pelajar didedahkan gambaran menyeluruh mengenai bidang automotif dari perspektif seorang jurutera bendalir.

De Liow merupakan antara sosok penting dalam memastikan aspek teknikal pasukan Mercedes AMG Petronas F1 berada dalam keadaan baik.

Antara peranan utama termasuk menganalisa bahan api Primax, minyak syntium dan bendalir fungsi Tutela yang digunakan dalam F1.

Terdahulu, Petronas Lubricants International berharap dapat terus melakukan program CSR bagi membantu pelajar menguasai bidang kejuruteraan automotif.

Pada masa sama, syarikat itu turut berharap lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan di masa hadapan dalam memastikan kemajuan bidang automotif terus berkembang.

F1: Perlumbaan GP Kanada batal susulan peningkatan kes Covid-19

KEJOHANAN Formula Satu (F1) bakal menyaksikan Grand Prix Kanada tercicir daripada jadual perlumbaan musim ini.

Keputusan dibuat selepas Kanada mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sekaligus memaksa perlumbaan dibatalkan.

Menerusi keputusan itu, venue perlumbaan terpaksa dirombak dengan Turki bakal menganjurkan perlumbaan itu pada 11 hingga 13 Jun nanti.

Memetik laporan media antarabangsa, terdapat juga perubahan tarikh bagi Grand Prix GP Azerbaijan.

Perlumbaan di Baku City Circuit akan dianjurkan seminggu lebih awal dari tarikh ditetapkan sebelum ini.