Arkib Tag: EV Connection

Gentari lancar pengecas 350 kW pertama di Asia Tenggara – RM1.20/kWj

Gentari Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Petronas telah melancarkan pengecas DC 350kW pertama di Asia Tenggara untuk kenderaan elektrik (EV) di X Park Sunway Serene yang terletak di Zon Perindustrian Dagangan Bebas Sungai Way, Selangor.

Dilancarkan dengen kerjasama EV Connection Sdn Bhd (EVC), pengecas berkenaan merupakan sebahagian daripada hab pengecasan EV yang terdiri daripada satu pengecas DC 350 kW, dua pengecas pantas DC 180 kW dan lima pengecas AC (dua 22 kW dan tiga 7 kW).

Untuk makluman, pengecas DC 350 kW tersebut disambungkan dengan dua stesen individu, masing-masing menawarkan kapasiti pengecasan sehingga 175 kW.

Apa yang menarik, hab pengecasan EV di X Park itu turut menjadi yang pertama di Malaysia yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (EC). Ini secara tidak langsung memberi jaminan dari segi keselamatan struktur dan operasi kemudahan itu.

Selain itu, satu lagi hab pengecasan milik Gentari dan EVC yang sedang dibina di Bangi Golf Resort juga mendapat lesen daripada EC.

Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razali berkata, “Hab pengecasan berkelajuan tinggi baharu milik Gentari di X Park Sunway Serene dijangka akan memberikan sumbangan besar ke arah menyokong ekosistem EV yang berdaya maju dengan meningkatkan lagi tahap keyakinan jarak pemanduan di kalangan pengguna EV dengan memberi tumpuan kepada pengalaman pengecasan di kawasan bandar.”

Pengarah Urusan EVC, Lee Yuen How menambah, “Kami berharap penyediaan pelbagai infrastruktur pengecasan pantas yang mampu milik dan mudah untuk diakses di X Park, Resort Golf Bangi dan hab-hab berlesen lain di seluruh negara pada masa hadapan dapat meningkatkan lagi kadar penggunaan EV di kalangan rakyat Malaysia.”

Apa yang menarik, hab pengecasan di X Park ini tidak mengenakan bayaran berasaskan masa, sebaliknya berapa banyak tenaga (kilowatt jam) yang digunakan. Berikut adalah senarai harga yang akan berkuat kuasa mulai 1 Disember 2022:

GoCar, EV Connection bekerjasama untuk luaskan jaringan stesen pengecasan di Malaysia

GOCAR Malaysia dan syarikat penyedia perkhidmatan pengecasan EV bersepadu iaitu EV Connection telah menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

Kerjasama itu akan membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam.

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecas DC ini bersifat universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV.

“Menerusi integrasi ini, kami percaya bahawa pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun.

GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. Baru-baru ini, syarikat telah menambah Hyundai Kona ke dalam rangkaian GoEV dan berhasrat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 100 unit EV menjelang akhir tahun ini.

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000km. Bagi lebih 90 peratus pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV.

EV Connection ialah satu-satunya penyedia perkhidmatan EV yang memiliki portfolio dari segi perkakasan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan, perkhidmatan awan dan sokongan kereta elektrik yang bersepadu.

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk ABB dan Hager, serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Tenaga National Berhad dan MyHijau. Ia juga pemasang pengecas EV yang diiktiraf TÜV SÜD.

GoCar dan EV Connection turut merancang untuk meneroka peluang-peluang lain seperti kitar semula bateri EV, penyelesaian pengecas EV, perkongsian data dan banyak lagi.