Arkib Tag: elva

McLaren Elva dapat sentuhan magis Novitec – 907 hp, 800 Nm

DENGAN 804 hp dan 800 Nm, McLaren Elva sebenarnya sebuah supercar yang sudah cukup mengujakan, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan bumbung dan cermin penghadang angin.

Bagaimanapun, ini tidak menghalang Novitec daripada menaik tarafnya menjadi jentera roadster yang lebih ekstrem.

Bagi pemilik Elva yang dahagakan lebih banyak kuasa, tuner terkemuka dari Jerman itu menawarkan pakej naik taraf yang berupaya menaikkan output enjin 4.0 liter twin-turbo V8 itu kepada 907 hp!

Ini dicapai menerusi penggunaan modul N-Tronic yang mengandungi pemetaan semula untuk suntikan bahan api, pencucuhan dan kawalan tekanaan boost elektronik. Turut disertakan adalah sistem ekzos yang dikatakan boleh mengurangkan back pressure.

Apa yang menarik, pelanggan juga boleh memilih opsyen saduran emas untuk sistem ekzos tersebut bagi tujuan penebatan haba.

Dengan penambahbaikan ini, Elva talaan Novitec boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.7 saat, 0 hingga 200 km/j dalam kurang dari 4.0 saat, serta mencapai kelajuan maksimum melebihi 330 km/j.

Untuk perbandingan, Elva versi standard melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 2.8 saat dan 0-200 km/j dalam 6.8 saat, manakala kelajuan tertinggi yang boleh dicapai adalah 326 km/j.

Pelanggan yang mendapatkan kit Novitec ini juga boleh memperkemaskan penampilan jentera mereka dengan rim tempaan jenama Vossen. Berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, rim tersebut boleh didapati dalam 72 warna dan kemasan.

Tidak cukup dengan itu, Novitec turut menawarkan set spring yang mengurangkan ketinggian sebanyak 20 mm. Menurut syarikat itu, ia bukan sahaja membuatkan Elva tampil lebih agresif, malah memberikan ia pemanduan yang lebih dinamik.

Elva diperkenalkan buat pertama kali pada 2019 dengan harga kira-kira $1.69 juta (RM7.49 juta). McLaren pada awalnya merancang untuk menghasilkan 399 unit, namun jumlah tersebut dikurangkan kepada 249 unit dan seterusnya kepada 149 unit bagi mengekalkan keeksklusifannya.

Pada Februari tahun lalu, ia dilancarkan di pasaran Malaysia pada harga RM8.1 juta.

McLaren Elva singgah di Malaysia, supercar terhad dengan harga RM8.1 juta, 149 unit sahaja

MCLAREN Kuala Lumpur 3S Centre hari ini menjadi tuan rumah atau destinasi persinggahan untuk McLaren Elva, sebuah supercar dalam Ultimate Series jenama itu.

McLaren Elva adalah versi moden untuk McLaren M1C yang mula dibina oleh Bruce McLaren pada 1967. Dan sama seperti versi asal M1C itu, McLaren Elva baharu ini juga secara standard tidak mempunyai bumbung dan cermin depan.

Tetapi unit yang membuat kemunculan di Malaysia ini adalah ‘Windscreen version’ iaitu versi dengan cermin depan. Secara keseluruhan, hanya 149 unit McLaren Elva akan dihasilkan untuk seluruh dunia, dengan harga permulaan 1.42 juta Pound (kira-kira RM8.1 juta).

Menariknya pada Elva standard, walaupun tidak mempunyai cermin depan, McLaren menggunakan solusi pintar iaitu Active Air Management System (AAMS) yang mempunyai deflektor khas untuk mengalirkan dan membentuk ‘buih udara’ bagi melindungi pemandu dan penumpang.

Betul-betul di belakang kokpit McLaren Elva ini ialah enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang berupaya menghasilkan 815PS (804hp) dan 800Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Ini membolehkan Elva memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 2.8 saat dan lebih mengagumkan, pecutan ke 200km/j dicapai dalam hanya 6.8 saat!

McLaren Elva merupakan model kelima dalam siri Ultimate selepas model F1, P1, Senna dan Speedtail.