Arkib Tag: DBKL

DBKL akan kenal pasti lokasi hot spot banjir kilat

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenal pasti lokasi hot spot banjir kilat secara terperinci, mengenal pasti sistem saliran sedia ada yang tidak dapat menampung kapasiti air hujan serta merangka penyelesaian mitigasi konseptual.

Tindakan ini adalah sebahagian dari pelan jangka pendek dan jangka panjang termasuk Kajian serta Konsep Mitigasi untuk Banjir Kilat di Kuala Lumpur.

Gambar oleh: Malay Mail

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, bagi menjalankan kajian ini, DBKL telah melantik IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) selaku perunding. Kajian ini mengambil masa 12 bulan dan membabitkan lima fasa.

Beliau berkata, “Antara langkah jangka pendek termasuk menempatkan pasukan pemantau di lokasi hotspot dan menempatkan pam mudah alih di kawasan hotspot banjir yang berfungsi memindahkan lebihan air bertakung ke kawasan bersesuaian seperti kolam takungan banjir.”

Shahidan berkata, antara pelan jangka pendek lain ialah pembelian lebih banyak pam mudah alih yang akan dilaksanakan serta-merta dan penggunaan beg pasir sebagai langkah mitigasi selain menempatkan 25 pasukan di lapangan bagi proses pembersihan kawasan hotspot banjir bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terdahulu mengarahkan DBKL segera menggunakan sumber sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan jumlah dana yang diperlukan, Shahidan berkata Perdana Menteri antara lain mahu dana kecemasan DBKL bagi tujuan itu dioptimumkan.

“Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan supaya membelanjakan serta-merta peruntukan daripada sumber DBKL dan kerajaan akan membayar balik nanti bagi menyelesaikan masalah banjir kilat,” katanya.

Demi keselamatan, had laju sekitar KL mungkin turun sehingga 30 km/j

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal membentangkan cadangan penurunan had laju di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, bulan depan.

Cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan penurunan had laju sehingga 30 km/j dan 50 km/j.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, jika segala cadangan mendapat reaksi positif maka ia dijangka akan dilaksana pada bulan September.

“Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini.

“Kawasan terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60 km/j dan 40 km/j.

“Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70 km/j dan 80 km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sebelum ini, cadangan penurunan had laju sekitar ibu negara mendapat perhatian di parlimen.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya bertanyakan mengenai pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS melaksanakan had laju kenderaan 30 km/j hingga 50 km/j di kawasan terpilih.

Antara negara yang mengamalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j adalah Perancis.

Pelaksanaan pada Ogos tahun lalu itu melibatkan kawasan sekitar Paris.

Terdahulu, Jalaluddin memaklumkan DBKL menyambut baik cadangan awal MIROS demi keselamatan pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki.

DBKL dan MIROS bakal perkenal had laju 30, 50km/j di sekitar KL

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang bekerjasama memperkenalkan had laju 30 dan 50km/j di kawasan terpilih di Kuala Lumpur.

Ini lanjutan dari kunjungan hormat Pengerusi MIROS Suret Singh dan Ketua Pengarahnya Khairil Anwar Abu Kassim ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.

Kerjasama dua badan itu melibatkan mengenal pasti jalan raya di mana had laju berkenaan boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan.

Suret dalam satu ciapan di Twitter mengumumkan institusi berkenaan akan bekerjasama dengan DBKL untuk menjadikan perancangan itu satu realiti.

Ini termasuk rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) bagi kesalahan trafik yang dilakukan di ibu negara.

MIROS kini dalam peringkat akhir merangka cadangan untuk had laju standard 30km/j bagi kawasan kediaman dan penduduk, bandar serta kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-2023.

Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm berhubung keselamatan jalan raya, dalam persidangan menteri global yang diadakan pada Feb 2020.

80 menteri yang menghadiri persidangan itu berikrar mengurangkan sehingga separuh bilangan kematian jalan raya menjelang 2030.

Turut dicadangkan, had laju 30km/j sebagai “norma baharu” di kawasan lazim digunakan bersama oleh penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.

DBKL maklum Jalan Johar, Bangsar ditutup sehingga Mac 2022

PENGGUNA jalan raya perlu merancang perjalanan jika ingin ke lokasi yang terpaksa melalui Jalan Johar menggunakan Lebuhraya SPRINT dari arah Kuala Lumpur.

Ini kerana laluan trafik dari Kuala Lumpur menghala ke Jalan Johar akan ditutup sepenuhnya mulai 28 Ogos hingga Mac 2022.

Memetik kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penutupan bagi membolehkan kerja-kerja membina jalan raya bertingkat.

Ia melibatkan persimpangan Lebuhraya SPRINT/Jalan Maarof ke persimpangan Lebuhraya Sprint/Jalan Semantan.

Susulan itu, laluan trafik lorong kanan dari Lebuhraya SPRINT KM 7.0 ke Jalan Johar juga ditutup sepenuhnya mulai tarikh tersebut.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelak sebarang kesulitan.

DBKL: Lencongan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup jalan di persimpangan lampu isyarat dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Penutupan bermula mulai hari ini hingga 11 April 2022.

Susulan itu, DBKL mengadakan lencongan trafik di jalan terlibat bagi melancarkan aliran trafik.

Penutupan bagi melaksanakan kerja menaik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail dan Jalan Ipoh.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar akan dilencongkan ke Jalan Rahmat.

Lencongan turut melibatkan Jalan Sentul-Jalan Sentul Manis-Jalan Tun Razak untuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah dilencongkan ke kiri Jalan Tun Razak dan membuat pusingan U sebelum Bulatan Pahang.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

Parkir percuma di KL, rakyat ucap “terima kasih”

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran parkir sekitar ibu kota.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Jelas Annuar, ia berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti.

“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata usaha dijalankan pihaknya diharap dapat mengurangkan beban orang ramai.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan PKPD.

PKPD itu berkuatkuasa bermula 3 hingga 16 Julai 2021.

Orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah jika tiada urusan mustahak.

Kerajaan menetapkan hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan barangan keperluan.

Terdahulu di media sosial, pelbagai reaksi diberi orang ramai terhadap usaha kerajaan tidak mengenakan caj parkir di Kuala Lumpur.

Mohd Nizam misalnya mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang peka terhadap masalah dihadapi rakyat.

“Terima kasih Tan Sri. Sampai mengenai parkir pun Tan Sri fikirkan.

“Itu masalah saya selalu hadapi bila ke Kuala Lumpur,” katanya.

Situasi semasa ketika ini menyaksikan ramai kalangan rakyat berdepan kesusahan.

Justeru, parkir percuma diberikan ini diharap dapat meringankan beban rakyat.