Arkib Tag: d-cvt

4,303 tempahan dalam 9 hari, Perodua Myvi facelift 2022 akan terus kekalkan takhta King?

PERODUA mencatatkan 4,303 tempahan untuk Myvi baharu (setakat 18 November 2021) hanya dalam masa sembilan hari selepas tempahan dibuka.

Menurut Perodua, Myvi facelift 2022 itu menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan. Ia menampilkan rekaan yang diperbaharui, perubahan teknikal pada transmisi, dan panambahan ciri keselamatan terkini.

Hasilnya, Perodua Myvi facelfit 2022 ini lebih canggih, lebih praktikal, mempunyai prestasi pecutan lebih baik, tetapi pada masa yang sama lebih menjimatkan bahan api.

Perkara ini banyak disumbangkan oleh transmisi D-CVT baharu, yang sama digunakan pada Ativa. Ini kali pertama Myvi menggunakan kotak gear CVT, manakala kotak gear manual tidak lagi ditawarkan.

D-CVT di sini bermaksud Dual Mode CVT, kerana ia mempunyai dua cara menyampaikan kuasa. Tidak seperti CVT konvensional dengan tali sawat (belt) atau rantai (chain), D-CVT ini menggunakan kombinasi rantai besi dan set planetary gear.

Dalam satu mod, ia akan menghantar kuasa menggunakan sistem CVT seperti biasa. Tetapi dalam satu mod lagi, ia membolehkan kuasa dihantar melalui gear fizikal.

Set planetary gear ini digunakan untuk ‘membantu’ memberikan rasa lebih telus kepada CVT. Ini juga secara teori pasti mengurangkan rasa ‘lemau’ CVT konvensional, terutamanya dalam halaju tinggi atau mula memecut.

Perodua Myvi 2022 ditawarkan dalam lima varian dengan harga jualan bermula RM45,700 untuk 1.3 G hingga RM58,800 untuk 1.5 AV.

Dari segi keselamatan, Myvi baharu menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambilkira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Untuk maklumat lebih terperinci mengenai spesifikasi Myvi facelift 2022, anda boleh baca laporan pelancaran di sini.

Perodua Myvi facelift 2022 dibuka untuk tempahan! Dari RM46k, lebih jimat minyak, 5 pilihan varian

IA semakin hampir, Perodua Myvi facelift 2022 kini dibuka untuk tempahan! Perodua hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hatchback popular kegemaran rakyat Malaysia itu sudah boleh ditempah, berserta beberapa perincian.

Ia akan hadir dalam lima varian dan dua pilihan enjin, iaitu: 1.5 AV, 1.5 H, 1.5 X, dan dua varian 1.3 G. Kesemua varian hanya akan ditawarkan dengan pilihan automatik, tiada lagi manual.

Walaubagaiamanpun, Perodua tidak memperincikan jenis kotak automatik walaupun maklumat kami sebelum ini mengatakan Myvi D51A itu akan mendapat unit D-CVT sama seperti Ativa.

Turut dimaklumkan bahawa Myvi 2022 ini mempunyai kecekapan bahan api lebih baik. “Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal.

Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Myvi facelift 2022 ini juga turut memperkenalkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV.

Warna lain adalah Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Julat harga bagi Myvi 2022 ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans) dan akan turut serta dengan jaminan 5-tahun.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai Perodua Myvi facelift 2022 di sini sehingga pelancarannya nanti.

Untuk tempahan, terus ke pautan sini atau lawati mana-mana wakil jualan sah Perodua seluruh negara.