Arkib Tag: countach

Nak beli Lamborghini Countach 2022? Maaf, dah habis!

LAMBORGHINI menghidupkan semula nama Countach selepas kira-kira 30 tahun. Dengan pelancarannya di Monterey Car Week, Lamborghini hanya akan membina 112 unit Countach.

Dan seperti dijangka, semua unit telah habis dijual dan ditempah. Jadi kalau anda berminat nak beli satu, dah terlambat.

Kesemua 112 pembeli bertuah itu akan memiliki cebisan warisan antara model paling ikonik Lamborghini. Di bawah ‘kulit’ penampilan retro itu ialah Lamborghini Aventador.

Tetapi ia tetap mempunyai banyak perubahan khas untuk Countach, seperti janaan kuasa hibrid dari Sián FKP 37 yang menggandingkan enjin V12 dengan motor elektrik.

Gambar oleh: Lamborghini

Konfigurasi ini cukup untuk membekalkan 803hp dan 719Nm tork, yang membolehkan Countach melonjak ke 100km/j dalam 2.8 saat dan terus mencapai 200km/j hanya 8.6 saat.

Kotak gear automatik 7-kelajuan membantu menyalurkan kuasa ke semua roda, yang semestinya membantuk pecutan.

Antara ciri rekaan unik adalah lampu belakang, ekzos quad, dan rim 20-inci depan dan 21-inci belakang dengan tema retro.

Pemilik akan mula menerima Countach mereka hujung tahun. Harga tidak didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia melebihi USD1 juta (lebih RM4.24 juta), dan ada juga berkata ia sehingga USD3.5 juta (RM14.8 juta).

Lamborghini Countach 2022 ini supercar hibrid 800hp yang akan jadi ‘poster’ telefon pintar anda

INI dia, Lamborghini betul-betul menghasilkan semula Countach baharu sepenuhnya. Buat kali pertama, pengeluar dari Sant’Agata itu menghidupkan nama lama mereka selepas 30 tahun.

Countach dikatakan menjadi pencetus kepada segmen supercar dan terus menjadi poster bilik tidur budak lelaki pada masa itu. Mungkin Lamborghini Countach 2022 ini akan menjadi wallpaper telefon pintar pula?

Apalah sebuah Lamborghini jika kita tidak menceritakan bab enjinnya. Nadi kepada Countach baharu ini masih V12 seperti dulu, tetapi versi moden mengambil unit 6.5-liter dari Aventador. Malah, Countach LPI 800-4 ini memang berasaskan Aventador.

Gambar oleh: Lamborghini

Tetapi Lamborghini Countach ini menerima penambahan sistem hibrid pada enjinnya. V12 6.5-liter itu sahaja menjana 769hp ditambah oleh motor elektrik berkuasa 25kW (34hp), menjadikan jumlah outputnya sebanyak 803hp.

Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 7-kelajuan, membolehkan Countach ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.8 saat, 200km/j dalam 8.6 saat dan mencapai kelajuan maksima 356km/j.

Sudah tentu rekaannya perlu mengambil elemen dari kereta asal. Jadi Countach LPI 800-4 ini mendapat muncung depan yang rata dan lampu dengan posisi hampir sama (walaupun tiada lagi pop-up).

Ruang kemasukan udara sisi mempunyai rekaan segi tiga mirip corong NACA pada Countach asal, dan rekaan belakang mendapat ‘ekor’ yang leper berserta empat ekzos. Oh ya, tidak dilupakan pintu scissor untuk pelengkap gaya dramatik.

Rim Countach baharu ini mengambil bentuk dail telefon lama dan bersaiz 20-inci di depan, 21-inci di belakang.

Baik, untuk harga, Lamborghini tidak mengumumkan sebarang angka, tapi ada yang berkata ia sekitar USD1 juta (RM4.24 juta). Apa yang pasti, hanya 112 unit akan dibina. Penghantaran akan bermula pada suku pertama 2022.

Gambar Lamborghini Countach 2022 bocor! Gaya klasik sebuah ikon, tiada lampu ‘pop up’

HANYA beberapa hari selepas Lamborghini menyiarkan teaser mengenai Countach baharu, kini bocor pula beberapa gambar yang menunjukkan rupa sebenar supercar V12 itu. Countach LPI 800-4 sepatutnya dilancarkan hujung minggu ini di Monterey Car Week.

Gambar-gambar yang diperoleh daripada laman Instagram @varryx_ itu mendedahkan rupa sebenar Countach yang menunjukkan ia mendapat banyak elemen rekaan dari ‘atuknya’ yang ikonik.

Gambar oleh: Instagram – varryx_

Sayang sekali tiada lampu depan pop-up walaupun posisi lampunya mirip model asal. Di bahagian tepi pula dapat dilihat ruang kemasukan udara di belakang tingkap dan di pintu dengan bentuk seperti Countach terdahulu.

Lamborghini Countach LPI 800-4 ini berasaskan Aventador, tetapi akan menerima sumber kuasa hibrid, seperti boleh dilihat pada designasi “LPI” padanya. Enjin V12 6.5-liter itu akan menjana 789hp dengan bantuan mild-hybrid 48-volt, dan mendapat pacuan semua-roda.

Model Aventador kian sampai ke penghujung hayatnya, jadi pengenalan supercar baharu ini bersesuaian pula dengan Lamborghini yang akan menyambut ulangtahun ke-50 model Countach itu. Difahamkan hanya 112 unit akan dibina, dan pastinya sekejap sahaja habis.

Tiada maklumat pilihan warna badan, dan tiada gambar dalaman yang bocor buat masa ini.

Kami akan kongsikan lebih maklumat terperinci apabila ia dilancarkan secara rasmi nanti.