Arkib Tag: charger

Pengecaj pantas DC 180kW di R&R Gambang kini beroperasi semula

BERITA baik untuk pemandu kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang menghala ke Kuantan atau Pantai Timur. Pengecaj pantas DC Fast Charger 180kW di Petronas hentian Gambang arah Timur kini kembali beroperasi.

Stesen pengecaj itu sebelum ini tidak boleh digunakan kerana menjalani kerja-kerja pembinaan sehingga 19 April. Jadi, ia kini beroperasi semula lebih awal dari tarikh jangkaan. Semasa dalam tempoh pembinaan, pengecaj mudah-alih DC Kempower 22kW digunakan buat sementara.

Pengecaj DC itu adalah di bawah rangkaian Gentari dan mempunyai dua nozel berkapasiti 90kW setiap satu dengan kos penggunaan RM2.20 seminit. Pengecaj-pengecaj ini boleh diaktifkan dengan aplikasi Setel atau JomCharge (kedua-duanya boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store).

Sementara itu, untuk mereka yang memandu pulang ke Kuala Lumpur, Petronas hentian Gambang arah Barat juga mempunyai pengecaj DC 50kW. Pengecaj ini mempunyai kadar RM1.20 seminit dan hadir dengan nozel jenis AC (Type 2) dan DC (CCS dan CHAdeMO).

Pakej ‘jailbreak’ tambah kuasa Dodge Charger dan Challenger SRT Hellcat

BILA sebut sahaja perkataan ‘jailbreak’, perkara pertama yang terlintas di fikiran anda pastinya telefon pintar yang telah digodam.

Namun bagi Dodge, Jailbreak adalah nama yang diberikan kepada pakej terbarunya yang dibangunkan khas untuk Charger dan Challenger SRT Hellcat Widebody.

Apa yang menarik tentang pakej ini, ia bukan sahaja meningkatkan kuasa dari 797hp kepada 807hp, malah memberikan pemilik kebebasan untuk memilih kombinasi warna yang tidak pernah ditawarkan oleh Dodge sebelum ini.

Pakej ini ditawarkan pada harga yang agak murah iaitu $995 (RM4,162).

Untuk Challenger, pakej Jailbreak menawarkan kombinasi warna yang merangkumi lebih 20 kategori, termasuk tujuh untuk tempat duduk, jalur dan rim, enam untuk angkup brek, lima untuk kemasan lencana luaran, empat untuk stereng, tali pinggang keledar dan karpet lantai, serta banyak lagi.

Begitu juga dengan Charger, yang mana jentera ini boleh dipersonalisasikan mengikut citarasa pemilik masing-masing dengan tujuh pilihan warna untuk rim, enam untuk jalur badan dan angkup brek, lima untuk tempat duduk dan lencana luaran, serta empat untuk stereng, tali pinggang keledar dan karpet.

Bukan itu sahaja, kedua-dua jentera muscle ini juga boleh ditempah dengan pelbagai kelengkapan eksklusif Jailbreak.

Antaranya adalah upholsteri kulit dan aksen karpet dalam warna Hammerhead Grey, balutan Alcantara dan kulit dengan logo SRT putih pada stereng, kemasan krom pada penutup tangki minyak, jalur vinyl, kemasan gentian karbon Copper Weave, dan rim berukuran 20-inci dalam Warp Speed Satin Carbon atau Low Glass Granite.

Bagi mereka yang sukar membuat pilihan, Dodge ada menawarkan pakej-pakej yang direka oleh mereka sendiri iaitu Old School, Brass Funky, Red Dawn, The Classic, Yin Yang dan pelbagai lagi.

Sebagai contoh, Old School menampilkan warna F8 Green, kemasan Warp Speed Satin Carbon untuk rim, angkup brek berwarna Gunmetal Grey, karpet dan tali pinggang keledar Hammerhead Grey serta stereng kulit lengkap dengan logo SRT.

Sementara itu, Brass Funky pula menggabungkan warna Hellraisin dengan upholsteri kulit Sepia Laguna, rim dan gril Brass Monkey, karpet Sepia, bezel gentian karbon, pelapik bumbung baldu dan balutan Alcantara pada stereng.