BYD kini secara rasmi menjadi jenama kenderaan elektrik (EV) paling dominan di United Kingdom (UK) setakat April 2026.
Berdasarkan data terbaharu daripada SMMT, pengeluar dari China ini berjaya memintas nama-nama besar seperti Tesla, BMW, dan Volkswagen.
Di antara Januari hingga April 2026, BYD mencatatkan jualan sebanyak 12,754 unit kenderaan elektrik.
Prestasi luar biasa ini memberikan BYD penguasaan pasaran melebihi 7% dalam segmen EV di negara tersebut.
Dominasi Pembeli Persendirian
Satu pencapaian yang paling signifikan adalah populariti BYD dalam kalangan pembeli persendirian.
Walaupun tidak lagi menerima bantuan Geran Kereta Elektrik kerajaan UK, pengguna tetap memilih BYD sebagai pilihan utama berbanding jenama pesaing.
Selain kenderaan BEV, BYD turut mencatatkan jualan yang bagi model hibrid plug-in melalui teknologi DM-i.
Gabungan jualan BEV dan hibrid mencatatkan jualan 26,396 unit setakat April dan menyumbang 9.5% penguasaan pasaran UK.
BYD kini menjual tiga model DM-i iaitu SEAL U, SEAL 6, dan SEALION 5.
ATTO 2 bakal tiba tidak lama lagi, diikuti oleh beberapa model tambahan lain.
Secara keseluruhan, pasaran EV di UK menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 22% tahun-ke-tahun.
Kehadiran BYD yang hanya bermula sekitar tiga tahun lalu di UK kini telah mengubah landskap automotif negara tersebut.
Visi Teknologi: Pengecasan 9 Minit
Pengurus Negara BYD UK, Bono Ge, menyatakan peralihan pengguna kepada EV disebabkan oleh kos bahan api tinggi dan kesedaran terhadap mobiliti mampan.
Beliau turut mendedahkan perancangan masa depan jenama itu yang agresif.
BYD bakal memperkenalkan teknologi FLASH Charging yang mampu mengecas bateri kenderaan dari 10% ke 97% dalam masa sembilan minit sahaja.
DENZA Z9GT dan Blade Battery 2.0
Denza Z9GT akan menerajui pelancaran teknologi ini di Eropah.
Model shooting-brake daripada jenama premium BYD ini merupakan kenderaan pertama yang dilengkapi FLASH Charging dan Blade Battery 2.0 untuk pasaran tersebut.
Selain itu, mereka sedang mempergiat penyelesaian Vehicle-to-Grid (V2G) untuk membantu pemilik mengoptimumkan penggunaan tenaga rumah.
Blade Battery 2.0 menampilkan lapisan Solid Electrolyte Interphase (SEI) yang menggunakan kejuruteraan peringkat molekul.
Hasilnya, bateri ini lebih nipis untuk pengecasan pantas namun tetap padat dengan teknologi pemulihan kendiri (self-repairing).
Walaupun lebih berkuasa, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan:
- Lulus Ujian Paku: Tiada kebakaran atau asap dikesan walaupun semasa pengecasan FLASH dan ujian tusukan paku dijalankan serentak.
- Tahan Suhu Ekstrem: Tiada letupan berlaku walaupun suhu mencecah 700°C semasa ujian litar pintas paksaan ke atas empat sel serentak.
- Ketahanan Tinggi: Berbanding versi asal, kadar degradasi kapasiti Blade Battery 2.0 dikurangkan sebanyak 2.5%.
