BYD Sime Motors mengumumkan BYD Atto 3 2026 telah menerima lebih 1,000 tempahan dalam tempoh 10 hari selepas pelancaran rasmi.
Pencapaian ini mengulangi sejarah tahun 2022 ketika model Atto 3 pertama kali masuk pasaran Malaysia dan mencapai angka tempahan yang sama dalam tempoh yang serupa.
Untuk meraikan pencapaian tersebut, BYD Sime Motors mengadakan satu majlis ringkas di pusat pameran BYD Bandar Utama baru-baru ini dan dalam masa yang sama meraikan pelanggan yang ke-1,000.
Dengan pencapaian terbaharu ini, ia terus mengukuhkan rekod Atto 3 sebagai EV yang paling laris dengan 12,000 unit telah diserahkan setakat ini.
BYD Atto 3 2026 diperkenalkan di Sime Motors MotorExpo tempoh hari.
Antara yang mencuri tumpuan ialah pengenalan varian baharu Premium dengan motor elektrik pacuan roda belakang.
Varian tersebut boleh memecut sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220 kW dan mampu mencapai jarak gerak sehingga 600 km.
BYD Sime Motors hari ini secara rasmi melancarkan BYD Atto 3 2026 untuk pasaran Malaysia.
Terdapat dua varian yang ditawarkan, harga jualan adalah seperti berikut:
BYD Atto 3 Ultra – RM125,800
BYD Atto 3 Premium – RM138,800
Sempena dengan pelancaran, BYD Sime Motors menawarkan pakej pelancaran eksklusif bernilai sehingga RM14,000, merangkumi:
Early Bird Overtrade RM10,000 (untuk 500 orang pelanggan pertama)
Pilihan pemasangan pengecas dinding standard, atau pakej servis 6-tahun
Model baharu ini boleh dilihat dengan lebih dekat di Sime Motors MotorExpo 2026 di The Arch Galeries Kuala Lumpur, dari 5 hingga 7 Jun 2026.
Spesifikasi
Berikut merupakan perincian ringkas bagi dua varian Atto 3 yang diperkenalkan di Malaysia:
Atto 3 Ultra
motor elektrik tunggal, pacuan roda depan
kuasa 201 hp dan 310 Nm
pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
pek bateri 60.48 kWh
pengecasan pantas DC sehingga 110 kW
jarak pandu 480 km (data NEDC)
tetapan suspensi topang MacPherson/Multi-Link
Atto 3 Premium
motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
kuasa 308 hp dan 380 Nm
pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat
pek bateri 74.88 kWh
pengecasan pantas DC sehingga 220 kW
jarak pandu 600 km
tetapan suspensi MacPherson dengan Dual-ball Joint/Multi-Link dengan Five-Link
Dimensi & luaran
Dari segi dimensi, BYD Atto 3 membawakan ukuran sepanjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.
Kedua-dua varian didatangkan dengan rim saiz 18 inci dengan balutan tayar 235/50 R18.
Varian Ultra menyediakan kargo sebesar 1,340 liter, manakala varian Premium menawarkan ruang sebesar 1,360 liter ditambah dengan frunk 101 liter.
Untuk model tahun 2026, ia diberikan sedikit perubahan terutama pada bahagian bampar depan dan rekaan rim baharu.
Kabin
Secara standard, Atto 3 dilengkapi dengan skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah sebesar 15.6 inci, bumbung kaca panorama dan fungsi ventilasi tempat duduk depan.
Atto 3 Ultra hadir dengan tempat duduk pemandu larasan kuasa 6-tahap, diikuti larasan kuasa 4-tahap untuk penumpang depan.
Atto 3 Premium pula diberikan tetapan larasan kuasa 6-tahap dan larasan tulang belakang 4-tahap untuk tempat duduk pemandu, diikuti larasan kuasa 6-tahap untuk penumpang depan.
Warna
BYD Atto 3 2026 hadir dengan pilihan warna menarik termasuklah Ski White, Atlantis Grey, Harbour Grey dan Cosmos Black.
Jaminan
Setiap pembelian didatangkan dengan pakej jaminan menyeluruh merangkumi:
jaminan kenderaan 6-tahun atau 150,000 km
jaminan bateri voltan tinggi 8-tahun atau 160,000 km
BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.
Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.
BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.
BYD tembus beberapa lokasi strategik
Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.
Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.
Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.
Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.
Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.
Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang
BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.
Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.
Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.
Prestasi cemerlang BYD tahun 2025
Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:
Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia
Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.
BYD Malaysia bersama-sama BYD Sime Motors melancarkan siri jelajah teknologi EV yang digelar sebagai BYD Tech Discovery, bermula di Kuala Lumpur pada 14-16 November ini.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk para pengunjung.
Antaranya ialah Zon Pandu Uji & Pandu Percubaan yang menyediakan cabaran Camel Bridge & Cross-Axle yang digerakkan oleh teknologi DMO, serta aksi pusingan 360 darjah & Crabwalk menggunakan Denza Z9GT.
Selain itu, pengunjung berpeluang untuk menimba ilmu tentang teknologi teras Bateri Blade, sistem pengecasan pintar dan ciri keselamatan canggih sambil menikmati hidangan kopi percuma dan mendapatkan barangan eksklusif BYD.
Turut disediakan promosi istimewa untuk model-model terpilih seperti:
Penjimatan sehingga RM20,000 dan peluang cabutan bertuah sehingga RM38,888 untuk tempahan model BYD M6, BYD Atto 3 Ultra atau BYD Sealion 7
Tawaran trade-in termasuk rebat sehingga RM11,000 untuk BYD Atto 2 dan BYD Seal
Rebat RM15,000 atau pembiayaan tanpa faedah untuk Denza D9
Bertempat di Car Park 3 Plaza Arkadia, Desa ParkCity, BYD Tech Discovery ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam.
Hanya dalam masa seminggu selepas pelancaran rasmi, BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia telah menyerahkan lebih 100 unit sedan elektrik Seal 6.
Selain penghantaran ke bilik pameran di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur, kumpulan pertama pelanggan juga telah mula menerima kenderaan masing-masing.
Untuk makluman, Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menyambut kehadiran BYD Seal 6.
Dengan selesainya penghantaran di seluruh negara, rakyat Malaysia berpeluang untuk melihat, memandu dan merasai sendiri pengalaman pemanduan sedan elektrik segmen C ini.
Menurut Adeline Lew selaku Pengarah Urusan BYD Sime Motors, “Kami menghargai penyelarasan lancar oleh pasukan kami yang memastikan BYD SEAL 6 berjaya dihantar ke seluruh negara tanpa sebarang kelewatan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina kepercayaan pelanggan sambil memperluaskan akses terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Dengan harga jualan bermula dari RM100,000 hingga RM115,800, BYD Seal 6 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dengan kuasa mencecah 215 hp/330 Nm dan jarak gerak sejauh 485 km untuk sekali cas penuh.
Menjelang tahun 2026, BYD Sime Motors akan memperluas rangkaiannya dari 37 kepada 50 cawangan untuk meningkatkan akses terhadap kemudahan jualan, servis dan pengecasan di Malaysia.
BYD Sime Motors mengumumkan pelancaran model Seal 2025 yang dinaik taraf untuk pasaran tempatan.
Sedan elektrik Seal versi naik taraf ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian Premium dan Performance.
Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik pacuan belakang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, serta pek bateri 82.56 kWh untuk jarak pandu sejauh 650 km (data NEDC).
Sementara varian Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik menghasilkan output 530 PS/670 Nm, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.
Pek bateri berkapasiti serupa membenarkan jarak pandu sejauh 580 km.
Secara standard, BYD Seal dilengkapi tetapan suspensi jenis double wishbone di depan, dibantu dengan multi-link di belakang.
Untuk varian Premium, ia menampilkan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) untuk keseimbangan kawalan dan keselesaan, sementara varian Performance pula mendapat sistem kawalan pintar DiSus-C.
Kedua-dua varian mendapat rim aloi rekaan baharu saiz 19 inci, diikuti dengan akses tanpa kunci, tirai bumbung suria berkuasa elektrik, dan pemegang kaca mata hitam.
Sementara varian Performance pula mendapat angkup brek berwarna merah untuk penampilan yang lebih sporti.
Untuk pasaran Malaysia, BYD Seal 2025 ini ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Atlantis Grey, Cosmos Black dan warna baharu Shark Grey.
Harga jualan bermula dari RM171,800 untuk varian Premium, dan RM191,800 untuk varian Performance.
300 orang pemilik terawal BYD Seal akan mendapat pakej promosi bernilai RM10,888 merangkumi pengecas dinding percuma, pakej servis dan rebat khas.
Pengumuman program CKD dan pelancaran pusat 3S terbesar
Dalam acara yang sama, BYD Malaysia mengumumkan program CKD serta perancangan untuk mendirikan kilang pemasangan baharu di Tanjung Malim.
Fasiliti seluas 600,000 meter persegi itu akan mula beroperasi pada tahun 2026.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik berkata, “Malaysia telah menjadi salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Tenggara.
“Dengan sokongan kuat daripada Sime Motors, kami yakin untuk mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan membawa bersama teknologi EV bertaraf dunia untuk pelanggan tempatan.
BYD Sime Motors turut merasmikan pembukaan pusat 3S BYD Balakong yang dikendalikan oleh Wing Hin Ventures Sdn Bhd.
Dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD Malaysia kini mempunyai sebanyak 36 outlet di seluruh Malaysia.
Pusat 3S BYD yang terbesar di Malaysia ini mempunyai keluasan sekitar 3,360 meter persegi dengan dua tingkat untuk ruang pameran, 10 ruang servis, dan 1,514 meter persegi yang dikhususkan untuk perkhidmatan selepas jualan.