Arkib Tag: Avanza

Toyota Veloz rasmi dilancar – CKD, satu varian, TSS, RM95k

TOYOTA Veloz dilancar secara rasmi hari ini selepas dibuka tempahannya sejak Jun lepas. Ia ditawarkan dalam satu varian tunggal di Malaysia, dengan harga RM95,000.

Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan Road Assist 24SEVEN untuk bantuan kecemasan tepi jalan.

Baik, jadi apa yang anda dapat untuk tambahan RM20k dari Perodua Alza AV yang berharga RM75,500?

Seperti yang anda semua mungkin sudah ketahui, Toyota Veloz merupakan ‘kembar’ Perodua Alza (dan Daihatsu Xenia di Indonesia), kesemua model ini dibangunkan pada pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Veloz juga berkongsi enjin yang sama, iaitu unit 2NR-VE 1.5-liter 4-silinder DOHC dengan kuasa 105hp dan 138Nm tork. Enjin ini menghantar outputnya ke roda depan melalui kotak gear CVT. Terdapat juga mod pemanduan Normal, Eco dan Power.

MPV segmen-B ini dipasang secara CKD di Malaysia, dan hadir dengan lima pilihan warna: White, Metallic Bluish Black, Red Metallic, Silver Metallic (with Black Roof), dan Blue Metallic (with Black Roof).

Dari segi rupa luaran, Toyota Veloz mendapat lampu LED sepenuhnya untuk depan dan belakang, serta lampu kabus. Lampu depan ini juga lengkap dengan fungsi auto-levelling, Follow Me dan Adaptive Driving Beam.

Veloz juga dilengkapi rim 17-inci dan jarak kelegaan tanah 205mm. Ini adalah lebih tinggi berbanding Alza yang hadir dengan pilihan rim 15- serta 16-inci, dan mempunyai kelegaan tanah 160mm.

Selain itu, Toyota Veloz dilengkapi rel bumbung yang mampu menampung sehingga 75kg.

Di bahagian dalam, ia menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat untuk pelbagai keperluan. Tempat duduknya mendapat balutan kulit, selain lampu ambient biru di panel pintu dan konsol tengah.

Di depan pemandu, Veloz dilengkapi dengan paparan digital 7-inci dimana anda boleh menukar mod paparan atau susunan meter kepada empat pilihan.

Unit infotainmen di konsol tengah pula ialah skrin sesentuh 9-inci yang menyokong Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah pengecaj tanpa-wayar Qi, tiga soket USB, satu soket 12 volt, dan 15 pemegang cawan di seluruh kabin.

Sistem pendingin hawa adalah jenis automatik, manakala terdapat satu lagi panel di tengah siling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

Untuk keselamatan, Toyota Veloz mendapat pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari empat sistem utama iaitu Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), dan Lane Keeping Control (LKC).

Ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, dan perakam digital (dashcam).

Pengeluaran Perodua Alza akan dilanjutkan hingga Mac-April 2022, pengganti baharu menyusul?

KAMI ada melaporkan sebelum ini bahawa pengeluaran Perodua Alza akan dihentikan bulan ini bagi memberi laluan kepada model pengganti serba baharu.

Namun dalam laporan terkini, Perodua mengumumkan mereka akan melanjutkan pengeluaran MPV popular itu sehingga hujung Mac atau April 2022.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media semalam (26 Januari 2022).

Menurutnya, hal ini disebabkan pengeluaran yang tertangguh disebabkan banjir, lockdown dan beberapa perkara lain dalam ekosistem. Selepas itu, penggantinya dengan kod nama D27A akan menyusul.

“Diharapkan peralihan dari model lama kepada baharu nanti akan berjalan lancar,” kata Zainal.

Walaupun sudah lebih 12 tahun dalam pasaran, Perodua Alza sedia ada ini terus popular dan mendapat permintaan tinggi.

“Kami masih mempunyai kira-kira 3,200 unit tempahan Alza dan dengan segala persediaaan di kilang pengeluaran, kami patut dapat menyerahkannya kepada semua pelanggan,” tambahnya.

Perodua menjual 14,828 unit Alza sepanjang 2021 dengan purata jualan 1,200 unit setiap bulan.

Lakaran Perodua Alza 2022. Imej oleh: Theophilus Chin

Selepas ini, kita boleh terus menantikan D27A iaitu kembar kepada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Ketiga-tiga MPV ini dibina berdasarkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga digunakan oleh Ativa.

Dijangkakan juga Perodua Alza 2022 ini akan menggunakan enjin 1.5-liter 2NR-FE dari Myvi 2022 dan dipadankan dengan kotak gear D-CVT.

Zainal turut menambah dengan kapasiti R&D dan pengeluaran sekarang, Perodua mampu menawarkan dua Minor Change (facelift) dan satu Full Model Change (baharu sepenuhnya) setiap tahun.

Lima kereta popular di Malaysia, Indonesia! Model mana paling laris?

MALAYSIA dan Indonesia tidak dinafikan berkongsi pelbagai persamaan sebagai dua negara serumpun.

Makanan, budaya, adat dan pelbagai lagi persamaan yang wujud menyebabkan dua negara ini kekal akrab dari masa ke masa.

Namun, bagaimana pula dengan industri automotif? Adakah wujud persamaan terutama melibatkan jenama kereta?

Artikel kali ini Engear kongsi bersama anda lima jenis kenderaan terpopular di Malaysia dan Indonesia!

Kesemua maklumat ini diperoleh daripada Kesatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Gabungan Industri Kendaraan Bermotor Indonesia (Gaikindo).

Bagaimanapun, semua data jualan kenderaan ini adalah bagi tahun 2019 memandangkan industri automotif agak perlahan pada 2020 ekoran pandemik Covid-19.

Nombor 5

Model Honda City merupakan kenderaan kelima paling popular di Malaysia dengan penjualan lebih 31,357 unit.

Harga bagi seunit Honda City bermula pada RM73,851 sehingga RM105,610.

Di Indonesia pula, kenderaan kelima paling laris adalah Toyota Calya dengan penjualan lebih 54,549 unit.

Model ini dijual sekitar 249 juta rupiah sehingga 167 juta rupiah.

Ruang dalaman Calya agak luas sekaligus beri keselesaan kepada pemandu dan penumpang. – Foto ihsan Toyota

Nombor 4

Kenderaan keempat paling laris di Malaysia pada 2019 adalah Proton Saga dengan penjualan lebih 38,144 unit.

Harga bagi seunit Proton Saga adalah RM32,800 sehingga RM42,800.

Sementara itu, Toyota Rush merupakan model keempat terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 61,596 unit.

Harganya pula adalah sekitar 249 juta rupiah sehingga 270 juta rupiah (RM71,000 sehingga RM77,000).

Model Saga antara kereta nasional kebanggaan Malaysia. – Foto ihsan Proton

Nombor tiga

Perodua Bezza berada di tempat ketiga dengan jualan lebih 45,656 unit pada 2019.

Harga bagi seunit Bezza bermula pada RM33,000 sehingga RM48,000.

Manakala di Indonesia, Mitsubishi Xpander berada di kedudukan ketiga dengan lebih 62,666 unit telah terjual.

Harganya pula bermula 221 juta rupiah (RM68,000) sehingga 281 juta rupiah (RM80,000).

Nombor dua

Masih lagi keluaran Perodua, Model Axia dinobatkan sebagai kenderaan kedua terlaris di Malaysia pada 2019.

Sebanyak 67,267 unit telah terjual dan harga bagi seunit model ini adalah RM23,367 sehingga RM41,427.

Honda Brio pula menjadi kereta kedua terlaris di Indonesia dengan penjualan lebih 70,344 unit.

Harga bagi Brio sekitar 151 juta rupiah sehingga 205 juta rupiah.

Jika ditukarkan kepada matawang Malaysia, seunit Brio adalah sekitar RM43,000 sehingga RM58,000.

Honda Brio antara kenderaan kompak yang terdapat di pasaran Indonesia. – Foto oleh Honda

Nombor Satu

Perodua Myvi atau “king of the road” merupakan kereta terlaris di Malaysia dengan penjualan lebih 81,966 unit pada 2019.

Pelbagai sebab mengapa Myvi begitu diminati selain faktor harga dan reka bentuk yang menawan.

Bagi Indonesia pula, kenderaan terlaris adalah Toyota Avanza.

Pada 2019, lebih 86,374 unit telah terjual.

Harga bagi seunit Avanza di Indonesia bermula 196 juta (RM55,000) sehingga 243 juta (RM69,000).

Secara keseluruhan, terdapat lebih 604,287 unit kereta terjual pada 2019 di Malaysia. Sementara itu, Indonesia menyaksikan lebih 1.03 juta unit terjual pada tahun sama.