Arkib Tag: Audi Sport

Audi RS 5 (2026) tampil dengan ‘nadi’ PHEV – 639 PS & 825 Nm, 0-100 dalam 3.6s

Audi RS 5 baharu telah diperkenalkan secara rasmi, kini ditawarkan dalam versi Sedan dan Avant. Ini merupakan model plug-in hybrid (PHEV) pertama daripada Audi Sport dan ia membuktikan elektrifikasi tidak mengorbankan DNA RS.

Luaran

RS 5 ialah varian paling garang dalam keluarga A5. Di hadapan, gril Singleframe honeycomb 3D, air curtain berfungsi dan lampu Matrix LED gelap dengan grafik DRL corak bendera menyerlahkan identitinya.

Badannya pula dilebarkan 40 mm setiap sisi di depan dan belakang, lengkap dengan fender berotot yang diinspirasikan daripada Ur-quattro.

Di belakang, terdapat diffuser dengan sirip menegak, sepasang paip ekzos berbentuk bujur matte di tengah serta lampu OLED digital generasi kedua dengan fungsi komunikasi keselamatan.

Ia didatangkan standard dengan rim 20 inci, namun pelanggan boleh juga mendapatkan rim tempaan 21 inci. Brek pula sama ada keluli atau seramik, dengan cakera depan berukuran sehingga 440 mm.

Kabin

Masuk ke dalam, ruang kabin RS 5 tampil digital sepenuhnya dengan paparan kokpit maya Audi berukuran 11.9 inci, skrin sentuh MMI 14.5 inci dan skrin penumpang 10.9 inci. Pemandu boleh mendapatkan data penting seperti masa pusingan, daya G, boost dan sudut drift dalam mod RS Torque Rear menerusi paparan khas RS yang disediakan.

Selain itu, terdapat juga tempat duduk sport plus lengkap dengan fungsi urut, bersama beberapa pilihan tema dalaman RS.

Trenkuasa dan sistem pacuan

Di bawah bonet ialah enjin 2.9 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan 510 PS dan 600 Nm, digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 177 PS (130 kW) dan 460 Nm. Output keseluruhan mencecah 639 PS dan 825 Nm, membolehkan RS 5 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.6 saat.

Bateri 25.9 kWh memberikan jarak elektrik sehingga 84 km (87 km dalam bandar). Ia menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, yang memerlukan sekitar 2.5 jam untuk pengecasan penuh.

Kuasa disalurkan melalui transmisi tiptronic lapan kelajuan dan sistem quattro baharu dengan differential tengah pra-beban serta pemvektoran torque elektro-mekanikal di gandar belakang.

Unit belakang ini mampu mengagihkan perbezaan tork sehingga 2,000 Nm dalam masa 15 milisaat, menghasilkan kawalan lebih tajam, cengkaman lebih kuat dan drift terkawal menerusi mod RS Torque Rear.

Harga

Tempahan untuk pasaran Eropah dibuka suku pertama 2026, dengan penghantaran bermula musim panas. Harga di Jerman bermula dari 106,200 euro (RM487,935).

Audi sertai Formula 1 bermula musim 2026

AUDI secara rasminya mengumumkan bahawa mereka akan menyertai Kejohanan Dunia Formula 1 mulai musim 2026 sebagai pembekal unit kuasa.

Keputusan ini adalah susulan kepada penerbitan peraturan teknikal baharu Formula 1 pada awal bulan ini. Ia dirangka khusus untuk membolehkan dan menarik pendatang baharu menyertai sukan itu pada tahap kompetitif.

Untuk 2026, F1 masih akan kekal dengan enjin 1.6-liter V6 namun ia akan dipadankan dengan unit kuasa elektrik yang mempunyai output yang lebih tinggi. Menurut Audi, motor elektrik pada masa itu akan menghasilkan kuasa yang hampir sama dengan enjin pembakaran dalaman iaitu sekitar 400 kW (544 hp).

Bukan itu sahaja, sebagai salah satu prasyarat penyertaan Audi ke dalam siri perlumbaan itu, enjin tersebut juga akan menggunakan bahan api lestari.

Unit kuasa baharu itu akan dibangunkan di fasiliti Audi Sport di Neuburg yang terletak tidak jauh daripada ibu pejabat Audi AG di Ingolstadt. Ini merupakan kali pertama dalam lebih sedekad trenkuasa F1 akan dihasilkan di Jerman.

Fasa ujian untuk enjin, motor elektrik serta bateri telah pun bermula, manakala persiapan dari segi kakitangan dan infrastruktur teknikal juga sedang dilakukan dan akan dilengkapkan menjelang akhir tahun ini. Audi juga telah membangunkan anak syarikat milik penuh Audi Sport untuk projek unit kuasa tersebut.

Selain itu, syarikat itu juga telah menyatakan sokongannya terhadap pelan Formula 1 untuk menjadi lebih mampan dan efisyen dari segi kos. Sukan itu akan mengehadkan kos untuk pengeluar unit kuasa pada 2023, selain menetapkan sasaran untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2030.

Mengenai pasukan mana yang mereka akan bekerjsama bagi musim 2026, Audi berkata pengumuman akan dibuat menjelang akhir tahun ini.