fbpx

Audi A5 2025 muncul sebagai pengganti model A4, bentuk sedan liftback atau wagon

Audi S5 Avant

Ucapkan selamat datang kepada model serba baharu Audi A5, pengganti kepada generasi sedan/wagon eksekutif A4 yang telah wujud di pasaran sejak tahun 1994.

Penggunaan nama baharu ini merupakan langkah Audi dalam menyeragamkan nama-nama yang digunakan untuk model masa kini.

Ini bermakna, model dengan angka genap merujuk kepada kenderaan berkuasa elektrik, manakala angka ganjil pula membawa maksud model tersebut akan ditawarkan dengan pilihan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Berikut merupakan perincian ringkas bagi model eksekutif mewah Audi A5 2024:

 

1. Pilihan bentuk badan sedan atau wagon

Untuk model A5, Audi masih lagi mengekalkan tradisi penawaran bentuk badan sedan (Limousine) dan station wagon (Avant).

Tidak seperti Audi A4 dengan bentuk badan sedan tiga kotak yang tradisional, Audi A5 Limousine secara asasnya merupakan sebuah model sedan coupe liftback lima pintu yang menawarkan rekaan yang lebih dinamik.

Seperti biasa, Audi turut menawarkan varian S5 Limousine dan S5 Avant dengan suspensi 20 mm lebih rendah, kemasan hitam dan rim 20 inci.

 

2. Ruang kargo

 

Secara standard, Audi A5 Limousine menyediakan ruang kargo sebesar 445 liter, lebih kecil berbanding ruang kargo Audi A4 (480 liter). Namun ia boleh dibesarkan sehingga 1,299 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Sementara model A5 Avant pula menawarkan ruang sebesar 476 liter, atau sehingga 1,424 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

3. Dimensi A5 lebih besar berbanding A4

 

Audi memposisikan model A5 lebih tinggi di atas model A4, dengan panjang keseluruhan telah bertambah sebanyak 67 mm, diikuti dengan penambahan dimensi 80 mm untuk jarak antara roda.

Dengan penambahan dimensi yang disebutkan itu tadi, ia membawa maksud Audi A5 menawarkan ruang kabin yang lebih besar berbanding Audi A4.

 

4. Rekaan luaran

 

Dari sudut luaran, Audi A5 membawakan gandingan elemen ‘modern sportiness‘ dan ‘premium proportions’, dengan unit lampu utama LED yang lebih nipis, struktur jeriji tunggal, titik graviti yang rendah, serta tip ekzos yang sebenar berdasarkan maklum balas daripada pelanggan.

Unit lampu belakang OLED pula terdiri daripada 364 segmen dengan lapan program pencahayaan yang boleh ditetapkan menerusi skrin infohibur tengah, dan dengan grafik boleh ubah mengikut situasi.

 

5. Ruang kabin

 

Secara standard, ruang kabin Audi A5 dilengkapi dengan skrin tengah MMI sebesar 14.5 inci, skrin kluster digital 11.9 inci, skrin paparan head-up, opsyen skrin kecil untuk penumpang hadapan, serta Smart Door Panel yang dipinjam daripada Audi Q6.

Mengikut trend semasa, Audi turut menekankan penggunaan bahan yang lestari pada ruang kabin, iaitu fabrik ‘Softwrap’ yang boleh didapati pada papan pemuka dan panel pintu.

 

6. Kuasa

 

Audi A5 dibina berdasarkan pelantar Premium Platform Combustion (PPC), menawarkan sokongan untuk pelbagai enjin diesel dan petrol, serta enjin plug-in hybrid (PHEV).

Versi asas Audi A5 dilengkapi dengan enjin 2.0 liter TFSI berkuasa 148 hp, atau sehingga 201 hp dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda quattro.

Terdapat juga versi diesel hibrid ringan 2.0 liter TDI berkuasa 201 hp, dengan sistem MHEV yang mampu menawarkan kuasa tambahan 24 hp untuk tempoh masa singkat.

Akhir sekali, enjin paling berkuasa bentangan V6 3.0 liter TFSI hibrid ringan (362 hp) yang dipadankan dengan pembeza elektronik dan fungsi torque vectoring yang dikhususkan untuk model S5 Limousine/S5 Avant.

Pelanggan Audi yang mahukan versi PHEV boleh menantikan kemunculan model tersebut pada tahun 2025 dengan pilihan kuasa 295 hp atau 362 hp, sistem pacuan semua roda quattro dan jarak gerak sifar emisi melebihi 100 km.

 

Audi A5/S5 Limousine 2025

 

Audi A5/S5 Avant 2025

Lihatkan Ulasan (4)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved