Audi RS 5 (2026) tampil dengan ‘nadi’ PHEV – 639 PS & 825 Nm, 0-100 dalam 3.6s
Audi RS 5 baharu telah diperkenalkan secara rasmi, kini ditawarkan dalam versi Sedan dan Avant. Ini merupakan model plug-in hybrid (PHEV) pertama daripada Audi Sport dan ia membuktikan elektrifikasi tidak mengorbankan DNA RS.
Luaran
RS 5 ialah varian paling garang dalam keluarga A5. Di hadapan, gril Singleframe honeycomb 3D, air curtain berfungsi dan lampu Matrix LED gelap dengan grafik DRL corak bendera menyerlahkan identitinya.

Di belakang, terdapat diffuser dengan sirip menegak, sepasang paip ekzos berbentuk bujur matte di tengah serta lampu OLED digital generasi kedua dengan fungsi komunikasi keselamatan.

Kabin
Masuk ke dalam, ruang kabin RS 5 tampil digital sepenuhnya dengan paparan kokpit maya Audi berukuran 11.9 inci, skrin sentuh MMI 14.5 inci dan skrin penumpang 10.9 inci. Pemandu boleh mendapatkan data penting seperti masa pusingan, daya G, boost dan sudut drift dalam mod RS Torque Rear menerusi paparan khas RS yang disediakan.

Trenkuasa dan sistem pacuan
Di bawah bonet ialah enjin 2.9 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan 510 PS dan 600 Nm, digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 177 PS (130 kW) dan 460 Nm. Output keseluruhan mencecah 639 PS dan 825 Nm, membolehkan RS 5 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.6 saat.

Kuasa disalurkan melalui transmisi tiptronic lapan kelajuan dan sistem quattro baharu dengan differential tengah pra-beban serta pemvektoran torque elektro-mekanikal di gandar belakang.

Harga
Tempahan untuk pasaran Eropah dibuka suku pertama 2026, dengan penghantaran bermula musim panas. Harga di Jerman bermula dari 106,200 euro (RM487,935).
Peminat segala jenis kenderaan