Arkib Tag: Aston Martin Vantage

Aston Martin Vantage F1 rai kembalinya dalam Grand Prix – RM978k

SEBAGAI meraikan kembalinya Aston Martin ke dalam Formula 1, jenama British itu mendedahkan Vantage F1 Edition. Mereka kembali ke grid Grand Prix selepas kira-kira enam dekad.

Difahamkan model ini mendapat input terus dari CEOnya, Tobias Moers dan diasaskan dari Safety Car rasmi F1 musim ini. Jadi, segala naik taraf adalah mengikut Safety Car itu.

Pertamanya, nadi kepada jentera ini ialah enjin AMG 4.0-liter V8 twin-turbo dengan lebih kuasa, kini 535hp pada 6,000rpm, menjadikannya model Vantage paling berkuasa setakat ini.

Tork kekal 685Nm pada 2,000 hingga 5,000rpm, dan boleh dikekalkan lebih lama. Kotak gear ZF 8-kelajuan dinaik taraf agar pertukaran gear lebih tepat dan pantas.

Dari segi prestasi, Vantage F1 mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.6 saat, manakala kelajuan maksima ialah 314km/j. Pecutan dan kelajuan maksima bagi model roadster adalah 3.7saat dan 305km/j.

Untuk menampung segala prestasi yang lebih tinggi, casis Vantage F1 telah diperkukuhkan, lantas memberikan respon stereng lebih baik. Bahagian dalam penyerap hentak telah dinaik taraf, dan keseluruhannya Aston Martin berkata kawalan badan Vantage F1 telah ditambah baik.

Selain itu, kekerasan spring belakang ditambah, memberikan belokan lebih tajam dan cengkaman lebih tinggi. Vantage F1 Edition mendapat rim 21-inci untuk pertama kali, yang dibaluti tayar Pirelli P Zero. Ia juga mendapat kit aero yang memberikan downforce 200kg lebih banyak dari Vantage biasa.

Aston Martin Vantage F1 boleh dipilih dengan tiga warna iaitu Jet Black, Lunar White dan Aston Martin Racing Green. Warna ketiga ini mirip dengan livery perlumbaan pasukan itu.

Bahagian dalam pula boleh dipilih dengan trim kulit Obsidian Black dan Phantom Grey Alcantara, dengan kombinasi Lime Green, Obsidian Black, Wolf Grey, atau Spicy Red.

Aston Martin Vantage F1 coupe dan roadster dijual pada harga bermula RM978,000 sebelum cukai dan duti.

Viper Niza Racing kini sertai perlumbaan GT3 dan GT4 dengan Aston Martin Vantage

SELEPAS tujuh tahun berentap dan mengukir nama dalam perlumbaan kelas Touring Car dan Prototype, Viper Niza Racing kali ini akan meneroka kelas Sports Car iaitu GT3 dan GT4.

Untuk itu, mereka telah bekerjasama dengan Aston Martin Racing Asia yang akan menyaksikan pasukan Malaysia sepenuhnya itu menggunakan jentera Vantage GT3 dan GT4 untuk bersaing dalam siri-siri perlumbaan GT Sports Car di peringkat rantau dan antarabangsa.

Viper Niza Racing diketuai oleh pemilik yang juga pemandu, Douglas Khoo dan rakan kongsinya, Dominic Ang.

Pasukan ini akan menggunakan jentera Aston Martin Vantage terkini yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang menggantikan enjin V12 pada versi sebelumnya. Output dan spesifikasi untuk kedua-dua kereta adalah berbeza disebabkan piawaian kelas perlumbaan.

Vantage GT3 merupakan jentera lumba sepenuhnya yang mendapat teknologi perlumbaan terkini. Enjinnya menjana 530hp dan 700Nm tork, serta menghantar kuasa ke roda belakang melalui kotak gear sequential 6-kelajuan.

Sementara itu, Vantage GT4 pula ‘lebih dekat’ dengan kereta standard jalanan. Ia direka untuk pemandu gentlemen, atau pelanggan dan peminat yang mahu merasai pangalaman perlumbaan kompetitif dengan ciri dan pakej dunia perlumbaan sebenar.

Enjin pada Vantage GT4 ini menghasilkan sekitar 470hp dan 550Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear 8-kelajuan serta LSD mekanikal.

“Perlumbaan endurance (ketahanan) telah menjadi minat kami dan kami akan terus fokus kepada perlumbaan sebegini seperti yang kami lakukan dengan TCR dan Asian Le Mans Series,” kata Khoo.

“Pengalaman kami dengan LMP3 telah memberikan banyak pengetahuan, dan selepas banyak bersaing dalam kelas ini, kami rasakan ini masa paling sesuai untuk mara ke kelas GT3 dan GT4 yang juga semakin popular dalam kalangan pengeluar.”

Aston Martin Vantage GT3 oleh Viper Niza Racing ini akan membuat kemunculan pertama pada Singapore F1 Grand Prix pada 1 dan 2 Oktober depan.

Untuk pengetahuan, Viper Niza Racing bukanlah satu nama yang asing dalam dunia perlumbaan di peringkat anatrabangsa.

Sebelum ini, mereka pernah memenangi kelas TCR SPA500 di dalam perlumbaan ketahanan 24 jam di Litar Spa-Francorchamps, Belgium dengan memandu Seat Leon Cupra.

Viper Niza Racing juga merupakan pasukan Malaysia sepenuhnya yang pertama mengambil bahagian dalam Road To Le Mans pada 2019. Mereka bersaing di perlumbaan berprestij itu dengan jentera Ligier JS P3 LMP3.

Aston Martin V12 Vantage baharu didedahkan, tiada pilihan manual, hanya 333 unit

ASTON Martin telah mendedahkan V12 Vantage terbaharu mereka semalam. Ianya dikatakan bakal menjadi jentera V12 terakhir pengeluar itu.

Berita menyedihkan? Sekurang-kurangnya enjin V12 5.2-liter twin-turbo ini menghasilkan lambakan kuasa sebagai ucapan ‘selamat tinggal’. 690hp dan 735Nm tork merupakan outputnya, dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac dari ZF, tiada pilihan manual kali ini.

Dari segi prestasi, Aston Martin V12 Vantage ini mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat, manakala kelajuan maksima ialah 321km/j.

Ia telah melalui ‘diet’ dengan penggunaan bahan gentian karbon di bampar, hud, fender depan dan deck lid, menjadikannya seberat sekitar 1,795kg sahaja.

Selain itu, V12 Vantage ini menggunakan unit bateri jenis ringan, serta sistem ekzos keluli tahan karat yang lebih ringan 7.2kg berbanding kereta standard.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor karbon seramik bersaiz 410mm dengan penggunaan kaliper brek enam piston di depan dan diikuti dengan rotor 360mm dengan kaliper brek empat piston di belakang.

Penggunaan karbon seramik menyumbang kepada penjimatan berat sekitar 23kg berbanding menggunakan bahan jenis keluli biasa dan ianya mampu bertahan pada suhu operasi setinggi 800 darjah Celcius.

Aston Martin memberikan rim bersaiz 21-inci untuk supercar ini dengan pilihan standard atau lightweight untuk lebih ringan lagi. Tayar pula adalah Michelin Pilot 4S bersaiz 275/35 di depan dan 315/30 untuk belakang.

Hanya 333 unit seumpamanya bakal dibina tetapi jika anda mampu beli, sekali lagi berita menyedihkan. Semuanya dilaporkan telah pun habis ditempah.