Arkib Tag: Almera

Nissan Almera Kuro Edition dengan rupa lebih garang, dari RM83,888

UNTUK 2024, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Almera Kuro Edition yang membawakan kelengkapan lebih garang dan sporti, standard untuk semua varian. Ia juga hadir dengan warna baharu Glacier Grey.

Pakej asas bagi Almera Kuro Edition akan dilengkapi dengan gril depan hitam baharu dan rim hitam (15- dan 16-inci bergantung kepada varian). Kemudian, anda boleh pilih untuk menambah Kuro Package atau Kuro GT Package.

Kuro Package berharga RM8,000, merangkumi kit badan Tomei (bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang) berwarna hitam, pelindung pembuka pintu, plat pemijak kaki, visor pintu, pedal sports, dan filem tinting ICE Cool.

Kuro GT Package pula berharga tambahan RM3,200, dan didatangkan dengan spoiler GT Tomei serta rim aloi Impul 16-inci. Pakej ini terhad kepada 300 kenderaan sahaja.

“Dengan adanya penambahbaikan Kuro Edition, Nissan Almera kini menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya dan kami yakin ia akan menjadi sedan yang paling lengkap dalam segmen-B,” kata Christopher Tan, Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd.

Spesifikasi lain adalah serupa pada Almera sebelum ini. Ia dipacu enjin 1.0-liter turbo berkuasa 100hp dan 152Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ciri keselamatan terdiri dari Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB) sebagai standard. Varian tertinggi VLT pula dilengkapi dengan Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (IAVM) dengan Moving Object Detection.

Nissan Almera Kuro Edition 2024 baharu ditawarkan pada harga bermula RM83,888, dan ETCM menawarkan harga promosi Kuro Package hanya RM1,000 (harga asal RM8,000), dan Kuro GT Package pada RM500 sahaja.

Nissan Almera terima facelift di AS, Malaysia bila pula?

SEDAR tak sedar, Nissan Almera generasi ketiga sudah berusia lebih tiga tahun dan ini bermakna sudah tiba masa untuk sedan kompak itu menerima facelift.

Buat pengetahuan anda, facelift ini diberikan untuk model pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu. Di sana, Almera dikenali dengan nama Versa.

Untuk model tahun 2023, Almera akan tampil dengan gril V-motion baharu yang lebih besar dan lebar. Bahagian ini tampil segar dengan susunan bar melintang yang disudahi dengan kemasan krom pada bahagian hujung dan logo Nissan baharu.

Bahagian bawah bampar depan turut direka semula dengan bukaan udara yang lebih lebar untuk penampilan lebih sporty. Sesetengah varian boleh didapati dengan rim aloi 17 inci baharu dan warna badan Gray Sky Pearl.

Rekaan ruang dalaman tidak berubah namun Nissan kini menawarkan kelengkapan tambahan untuk lebih nilai. Sebagai contoh, pelanggan boleh mendapatkan pakej S Plus yang merangkumi Apple CarPlay dan Android Auto dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60/40.

Sementara itu, varian SV didatangkan dengan paparan Advanced Drive-Assist tujuh inci dan pad pengecas wayarless, manakala varian SR dengan skrin sentuh lapan inci, sistem audio lapan pembesar suara, hotspot Wi-Fi, Nissan Connect dan penghidup enjin kawalan jauh.

Dari segi keselamatan, setiap varian dilengkapi dengan Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Lane Departure Warning, Rear Automatic Braking dan High Beam Assist. Ciri-ciri seperti Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert disertakan pada varian-varian tertentu.

Tidak seperti pasaran Malaysia, Almera (Versa) dikuasakan oleh enjin NA 1.6-liter empat silinder yang menjana 122 hp dan 154 Nm, dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau Xtronic CVT.

Di Malaysia, Almera dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober 2020 dengan harga bawah RM80,000. Anda rasa bila model facelift ini akan tiba di sini?

Beli Nissan Almera Turbo anda dapat percuma Tomei Aero Package bernilai RM8,000, stok terhad

BERITA baik buat anda yang mahu membeli Nissan Almera Turbo, kerana setiap pembelian akan hadir dengan Tomei Aero Package secara percuma! Kit badan ini bernilai RM8,000 dan dibangunkan khas oleh Tomei Jepun, iaitu syarikat penala terkemuka yang bekerjasama dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Tomei Aero Package ini boleh didapati untuk semua varian Almera – VLT, VLP, dan VL – dan pastinya memberikan imej lebih sporti kepada sedan ini.

Pakej ini merangkumi lima komponen iaitu spoiler bampar depan, spoiler bampar belakang (dua keeping), dan skirt sisi. Semua bahagian ini juga hadir dengan skema warna dwi-tona.

Khas untuk Almera varian VLT, Tomei Aero Package ditambah dengan pedal sport dengan perehat kaki, pelindung pemegang pintu, plat sisi pintu, visor sisi, dan filem tint ICE Cool.

Semua komponen adalah dipasang dari kilang bagi memastikan kualitinya sama dengan keseluruhan kereta. Setiap barangan juga datang dengan jaminan tiga tahun/100,000km (yang mana dahulu).

Untuk mereka yang mahukan gaya lebih sporti lagi, ETCM menawarkan Tomei GT Wing yang direka khas untuk Almera. Ianya berharga RM1,400 termasuk pemasangan dan boleh dimasukkan sekali dalam pembiayaan pinjaman anda.

Nissan Almera dikuasakan oleh enjin 1.0-liter turbo 3-silinder yang menjana 99hp dan 152Nm tork, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ia dilengkapi ciri seperti Advanced Around View Monitor, Intelligent Moving Object Detection, tempat duduk Zero Gravity, Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB).

Tomei Aero Package ini walaubagaimanapun hanya ditawarkan untuk masa terhad dan stok juga terhad. Jadi jika anda berminat, bolehlah lawati mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara atau layari www.nissan.com.my.

Nissan Almera 1.0 Turbo paling berani dalam kelasnya – Pandu uji

PASARAN sedan segmen-B dengan julat harga RM80,000 hingga RM110,000 adalah antara yang paling kompetitif di Malaysia, setiap pelancaran produk pastinya menarik minat pembaca dan rakyat negara ini.

Tiga pengeluar utama segmen ini pastinya Toyota, Honda dan Nissan, dengan masing-masing mempunyai daya penarik tersendiri.

Uniknya untuk Nissan dengan Almera baharu ini, ia satu-satunya model dengan enjin turbo! Tetapi ia bukan yang pertama, kerana beberapa tahun dulu Volkswagen pernah menawarkan Polo sedan atau Vento dengan enjin 1.2 TSI turbo.

Enjin kecil, moden, prestasi mantap

Hadir dengan tiga varian dan harga bermula betul-betul bawah RM80,000, enjin 1.0-liter turbo 3-silinder merupakan satu-satunya pilihan janaan kuasa, termasuklah varian tertinggi VLT yang kami pandu uji ini.

Kita pada hari ini tidak boleh lagi melihat kemampuan enjin sesebuah kenderaan berdasarkan cc, sebaliknya lihat kepada outputnya. Walaupun bersesaran 999cc atau 1.0-liter, enjin Almera ini menjana 99hp dan 152Nm tork.

Nilai kuasanya adalah hampir sama enjin 1.5-liter naturally-aspirated seperti pada Perodua Myvi atau Toyota Vios, tetapi nilai torknya pada 152Nm adalah jauh lebih tinggi.

Ditambah pula dengan beratnya yang hanya sekitar 1,114kg, Nissan Almera ini sangat seronok dipandu dan pecutannya terasa mudah dan bersahaja. Sedar-sedar dah sampai kelajuan lebuhraya.

Malah Almera juga mampu membantu kelancaran trafik kerana ia mampu memecut susur masuk ke lebuhraya dengan cepat menyamai trafik lorong utama, jadi kenderaan di lorong-lorong utama tidak perlu membrek.

Tidak seperti kereta lain yang lembap atau sesetengah pemandu Malaysia yang malas menekan minyak seolah-olah risau enjin bekerja keras, sanggup mengganggu kelancaran trafik. Tetapi bila di taman perumahan atau bila diacah, pandai pula tunjuk hebat tidak bertempat. Eh maaf penulis ‘terluah perasaan’ pula.

Oh ya, dengan kuasa dan pecutan agak mantap, paling mengagumkan penulis ialah tahap penjimatan yang diberikan, jimat seperti Perodua Bezza!

Rupa jauh lebih segak dan dinamik

Kita tidak boleh abaikan rupa dan rekaan luar Nissan Almera baharu ini, kerana cukup berbeza berbanding generasi dahulu. Beza 180 darjah, ibarat langit dan bumi.

 

Almera generasi terkini tampak cukup segak, dinamik, tengok rupa pun sudah dapat rasakan ia seronok dipandu. Berbeza sekali dengan Almera sebelumnya yang nampak bulat-bulat dan comel.

Standard tinggi untuk keselamatan

Selain berani membawa masuk enjin turbo untuk pasaran segmen ini, pujian juga harus diberikan kepada Edaran Tan Chong Motor kerana menawarkan Autonomous Emergency Braking sebagai standard untuk semua varian.

Ini pastinya meletakkan penanda aras yang tinggi untuk segmen ini, diharapkan pengeluar lain juga boleh ikut selepas ini.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji Nissan Almera 1.0 Turbo? Jemput tonton video di bawah ini, penat kami buat!

Spesifikasi Nissan Almera 1.0 Turbo VLP

Harga: RM91,310.00
Enjin: 1.0-liter 3-silinder turbo
Kotak gear: CVT Xtronic
Kuasa: 99hp @ 5,000rpm
Tork: 152Nm @ 2,600rpm

Beli Nissan bulan Mac, rebut peluang menangi Boost Stars

ORANG ramai berpeluang memenangi jutaan Boost Stars melalui kempen “March Deal Boosters” apabila membeli kenderaan Nissan pada bulan ini.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berkata, Boost Stars boleh dikumpulkan melalui transaksi menggunakan aplikasi Boost.

Foto oleh Nissan

Pelanggan kemudian boleh menebus ganjaran daripada katalog BoostUP dalam tempoh kempen bermula 1 hingga 31 Mac ini.

“Sehingga 20 juta Boost Stars akan diberikan semasa tempoh kempen mulai 1 hingga 31 Mac 2022.

“Pelanggan yang menang akan dapat menggunakan bintang-bintang ini untuk memilih ganjaran pilihan mereka dari katalog BoostUP.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang ini untuk membeli kenderaan Nissan yang baharu sementara masih terdapat pengecualian cukai jualan,” kata ETCM.

Antara model Nissan yang boleh mendapat Boost Stars adalah Nissan Almera 1.0L Turbo, Nissan Navara 2.5L Turbo 4WD, Nissan X-Trail dan Nissan Serena S-Hybrid.

Pakej aksesori dan perkhidmatan penyelenggaraan percuma juga ditawarkan kepada pelanggan untuk nilai wang lebih baik.

ETCM merupakan anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Bhd.

Syarikat itu memberi fokus kepada bahagian jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia.

Nissan kini di Lazada, tempah kenderaan serendah RM250

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan Nissan Flagship Store di platform e-dagang terkemuka Lazada.

Orang ramai kini boleh menempah kenderaan Nissan di aplikasi itu dengan harga serendah RM250.

Sebagai langkah promosi, 55 pelanggan pertama membuat tempahan bakal menerima mesin kopi Nescafe bernilai RM598 secara percuma.

Pengarah Penjualan dan Pemasaran ETCM Christopher Tan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan tren semasa selain memahami perkembangan teknologi digital.

“Kami sangat gembira untuk mengembangkan model Nissan kami di Lazada, menjadikannya tersedia untuk semua orang yang lebih senang membeli-belah.

“Dalam wabak Covid-19 yang mencabar ini, digitalisasi bergerak dengan pantas dan kami yakin langkah dapat meningkatkan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Antara model kenderaan dijual di Lazada termasuk Almera 1.0L, Navara, X-Trail dan Serena S-Hybrid.

Terdahulu, ETCM mengumumkan terdapat tawaran hebat bagi model Nissan Almera 1.0L Turbo baharu.

Model itu kini dilengkapi dengan pakej aksesori bernilai RM5,500 selain tawaran pembiayaan flexi serendah RM540 sebulan.

Terdapat juga promosi bagi Nissan Almera 1.0L Turbo VL untuk penjawat awam yang dijual pada harga RM 71,906.

Selain itu, Nissan Navara 4×4 2.5L Turbo Double-Cab Pick-up turut ditawarkan dengan harga serendah RM950 sebulan.

Pelanggan meminati model X-Trail juga boleh mendapatkan kenderaan itu dengan pakej aksesori Impul atau Aero Edition bernilai sehingga RM5,600.

Tidak terkecuali, model Serena S-Hybrid juga mempunyai tawaran hebat iaitu perkhidmatan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.