Arkib Tag: airbus helicopters

Ini spesifikasi AS555 Fennec dan AW-139 milik TLDM yang terlibat dalam nahas raptai lintas hormat

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam tragedi semasa raptai lintas hormat sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 semalam adalah jenis AS555 SN Fennec dan AW-139.

Menurut laman web Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), helikopter Fennec dan AW-139 itu merupakan antara aset udara angkatan itu, selain Super Lynx dan pesawat UAV (tanpa pemandu).

AS555 SN Fennec

AS555 Fennec. Imej oleh: Pinterest

Helikopter AS555 Fennec yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M502-6. Ia dilancarkan pada 9 Ogos 2004 oleh Menteri Pertahanan waktu itu, Dato’ Seri Najib bin Tun Razak.

TLDM mempunyai enam unit Fennec, berpangkalan di Skuadron 502, Lumut, Perak dan digunakan bagi misi dan tugas-tugas latihan.

Imej oleh: Flickr

AS555 Fennec ini dikeluarkan oleh firma Eurocopter yang kini dikenali sebagai Airbus Helicopters, dari Perancis.

Helikopter ini merupakan versi ketenteraan bagi pesawat AS355 untuk kegunaan awam. Ia mempunyai dua enjin turboshaf Turbomeca Arrius 1A dengan kapasiti 404hp setiap satu.

AS555 Fennec terbang pada kelajuan meluncur 117 knot (217km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 150 knot (277km/j) dan boleh terbang selama dua jam 20 minit.

Helikopter ini dioperasikan oleh tiga kru, tetapi boleh memuatkan sehingga enam kru termasuk juruterbang.

Ia juga boleh dilengkapkan dengan persenjataan seperti mesingan, roket, misil anti-kapal selam, dan torpedo, selain radar digital 360-darjah yang dipasang pada ‘dagunya’.

HOM AW-139

Sementara itu, helikopter AW-139 digunakan bagi memperkukuhkan kekuatan maritim Armada Timur dalam mempertahankan kedaulatan wilayah maritim negara dan bagi menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta penculikan yang berlaku di perairan Sabah.

Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW-139 yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M503-3, dan mula dioperasikan oleh TLDM sejak 2022.

AW-139 ini dikeluarkan oleh firma Agusta-Westland yang kini dikenali sebagai Leonardo Helicopter, dari Perancis.

Helikopter ini mempunyai ukuran 13.53 meter panjang, 4.95 meter tinggi, dan mempunyai berat maksima 7,000kg. Ia dikuasakan dua enjin turboshaf Pratt & Whitney Canada PT6C-67C dengan output 1,531hp setiap satu.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Ini membolehkan AW-139 terbang pada kelajuan meluncur 130 knot (240km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 167 knot (309km/j) dan boleh terbang selama empat jam.

Helikopter ini dioperasikan oleh empat kru, tetapi bergantung kepada konfigurasi, boleh memuatkan sehingga 15 penumpang termasuk juruterbang.

AW-139 milik TLDM dibekalkan dengan dua set peralatan misi bagi melaksanakan tugas-tugas maritim. Selain TLDM, pesawat AW-139 turut dioperasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Airbus teroka teknologi hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan dengan DisruptiveLab

AIRBUS semasa persidangan tahunan mereka telah mendedahkan DisruptiveLab, sebuah pelantar dan makmal terbang baharu. Ianya direka bagi menguji teknologi untuk menambahbaik prestasi pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon dari helikopter.

DisruptiveLab juga sebenarnya sebuah prototaip helikopter. Ia akan menilai binaan aerodinamik baharu untuk mengurangkan penggunaan bahan api selain menuju ke arah pacuan hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan.

Demonstrator ini akan memulakan penerbangan sebelum hujung 2022 untuk ujian dan membangunan teknologi-teknologi baharu tersebut.

“DisruptiveLab pergi lebih jauh dalam strategi Airbus Helicopters untuk mengurangkan kesan helikopter terhadap alam sekitar dan untuk mempelopori industri penerbangan yang mapan,” kata Bruno Even, CEO Airbus Helicopters.

“Binaan inovatif dan jana kuasa hibrid baharu ini hanya boleh diuji dengan demonstrator baharu bagi mengesahkan impak keseluruhan dalam pengurangan pelepasan karbon, iaitu sehingga 50 peratus,” tambahnya.

Pesawat demonstrator itu dibina dengan badan aliminium dan komposit yang aerodinamik, direka khas untuk mengurangkan seretan (drag) lantas mengurangkan penggunaan bahan api.

Bilahnya disepadukan dengan rotor agar keseluruhan struktur ini lebih kompak, mengurangkan seretan udara, dan menambahbaik kecekapan tenaga di samping mengurangkan tahap bunyi. Bahagian ekornya lebih ringan, menampilkan rekaan rotor Fenestron yang lebih senyap dan mempunyai prestasi lebih baik.

Demonstrator FlightLab yang diuji bermula 2020.

Syarikat penerbangan Perancis ini telah mula menggunakan demonstrator terbang mereka sejak 2020 dengan Flightlab. Ia menggunakan platform H130 sedia ada untuk menguji teknologi berkenaan autonomi. DisruptiveLab yang baharu ini lebih memfokus kepada prestasi dan alam sekitar.

Gambar oleh: Airbus

Sistem EBS pada Airbus Helicopters petanda hibrid untuk enjin pesawat?

AIRBUS Helicopters baru-baru ini berjaya membuat penerbangan ujian untuk Engine Back-up System (EBS) pada pesawat Flightlab miliknya.

Airbus H130 Flightlab. Imej oleh: Rotorhub

Ujian dengan kerjasama French Civil Aviation Authority DGAC itu mungkin akan membuka jalan ke arah sistem janaan kuasa hibrid bagi helikopter. Dalam pada masa yang sama, sistem EBS ini akan menambah baik keselamatan penerbangan dalam jangka masa pendek.

Sasaran utama kempen ini bertujuan meningkatkan keselamatan bagi pesawat satu enjin dengan memberikan bantuan elektrik kecemasan jika berlaku kegagalan turbin.

Flightlab atau pesawat Airbus H130 ini telah dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 100kW yang dipasang pada kotak gear, dan ia mampu membekalkan kuasa elektrik selama 30 saat jika berlaku kegagalan enjin.

Ini membolehkan juruterbang mendapat lebih masa untuk bertindak balas serta mengekalkan kelajuan rotor, EBS akan memberikan pendaratan lebih selamat dan lancar ke darat.

Di samping untuk keselamatan, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan prestasi enjin. Berat maksima semasa berlepas akan dapat ditambah, melebihi berat sistem EBS itu sendiri. Jadi ini memberikan kapasiti kargo lebih banyak untuk pesawat.

“Penerbangan EBS ini merupakan satu langkah pertama yang penting ke arah sistem kuasa hibrid di masa depan dan kami sudah pun menantikan fasa kedua projek ini dengan lebih tenaga dan kuasa pada pesawat,” kata Tomasz Krysinski, Ketua Kajian dan Inovasi di Airbus Helicopters.

Sistem ini serupa untuk hibrid kereta dimana walaupun kereta akan mempunyai berat lebih tinggi, prestasi tambahan yang ditawarkan adalah lebih baik dan berbaloi dengan pertambahan itu.

Sebagai contoh, BMW 330e mempunyai prestasi lebih baik dari 320i, dan begitu juga Volvo S60 T8 PHEV yang lebih berkuasa dari varian T6.