Arkib Tag: agusta westland

Ini spesifikasi AS555 Fennec dan AW-139 milik TLDM yang terlibat dalam nahas raptai lintas hormat

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam tragedi semasa raptai lintas hormat sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 semalam adalah jenis AS555 SN Fennec dan AW-139.

Menurut laman web Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), helikopter Fennec dan AW-139 itu merupakan antara aset udara angkatan itu, selain Super Lynx dan pesawat UAV (tanpa pemandu).

AS555 SN Fennec

AS555 Fennec. Imej oleh: Pinterest

Helikopter AS555 Fennec yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M502-6. Ia dilancarkan pada 9 Ogos 2004 oleh Menteri Pertahanan waktu itu, Dato’ Seri Najib bin Tun Razak.

TLDM mempunyai enam unit Fennec, berpangkalan di Skuadron 502, Lumut, Perak dan digunakan bagi misi dan tugas-tugas latihan.

Imej oleh: Flickr

AS555 Fennec ini dikeluarkan oleh firma Eurocopter yang kini dikenali sebagai Airbus Helicopters, dari Perancis.

Helikopter ini merupakan versi ketenteraan bagi pesawat AS355 untuk kegunaan awam. Ia mempunyai dua enjin turboshaf Turbomeca Arrius 1A dengan kapasiti 404hp setiap satu.

AS555 Fennec terbang pada kelajuan meluncur 117 knot (217km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 150 knot (277km/j) dan boleh terbang selama dua jam 20 minit.

Helikopter ini dioperasikan oleh tiga kru, tetapi boleh memuatkan sehingga enam kru termasuk juruterbang.

Ia juga boleh dilengkapkan dengan persenjataan seperti mesingan, roket, misil anti-kapal selam, dan torpedo, selain radar digital 360-darjah yang dipasang pada ‘dagunya’.

HOM AW-139

Sementara itu, helikopter AW-139 digunakan bagi memperkukuhkan kekuatan maritim Armada Timur dalam mempertahankan kedaulatan wilayah maritim negara dan bagi menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta penculikan yang berlaku di perairan Sabah.

Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW-139 yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M503-3, dan mula dioperasikan oleh TLDM sejak 2022.

AW-139 ini dikeluarkan oleh firma Agusta-Westland yang kini dikenali sebagai Leonardo Helicopter, dari Perancis.

Helikopter ini mempunyai ukuran 13.53 meter panjang, 4.95 meter tinggi, dan mempunyai berat maksima 7,000kg. Ia dikuasakan dua enjin turboshaf Pratt & Whitney Canada PT6C-67C dengan output 1,531hp setiap satu.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Ini membolehkan AW-139 terbang pada kelajuan meluncur 130 knot (240km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 167 knot (309km/j) dan boleh terbang selama empat jam.

Helikopter ini dioperasikan oleh empat kru, tetapi bergantung kepada konfigurasi, boleh memuatkan sehingga 15 penumpang termasuk juruterbang.

AW-139 milik TLDM dibekalkan dengan dua set peralatan misi bagi melaksanakan tugas-tugas maritim. Selain TLDM, pesawat AW-139 turut dioperasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Helikopter AW139 TLDM terbang dari KK ke Lumut, pertama kali sertai lintas hormat

HELIKOPTER Operasi Maritim (HOM) jenis Agusta-Westland AW-139 yang terbabit dalam tragedi dua helikopter terhempas semalam, pertama kali digunakan bagi acara lintas hormat sempena perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Difahamkan helikopter itu terbang sejauh 2,500 batu nautika dari pangkalannya di Kota Kinabalu, Sabah ke Lumut, Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, helikopter dari Skuadron 503 itu mula digunakan sejak 2021.

“Kita terbangkan khas dari Kota Kinabalu untuk sertai raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM yang akan diadakan di sini (Lumut).

AS555 Fennec. Imej oleh: Pinterest

“Manakala sebuah lagi helikopter jenis AS-555 Fennec berpangkalan di sini, beroperasi sejak 2003 dan telah menyertai acara lintas hormat bagi acara sama sebanyak tiga kali,” katanya dalam sidang media.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata, helikopter HOM terbabit dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota.

“Helikopter HOM terhempas di kawasan Stadium TLDM manakala helikopter Fennec terhempas di kawasan kolam renang bersebelahan stadium,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian, sebanyak tujuh pesawat terlibat dalam raptai itu melibatkan empat helikopter Fennec, dua HOM AW-139 dan sebuah Super Lynx.

Tragedi membabitkan dua pesawat yang berlaku pada 9:32 pagi semalam mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

APMM bakal terima empat unit helikopter maritim AW189 baharu

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memutuskan untuk memperolehi empat buah helikopter AW189 yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters.

Majlis penyerahan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter AW189 milik APMM  itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi pada Selasa lepas.

Kontrak perolehan helikopter bersaiz sederhana itu telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, namun kenyataan di dalam akuan FB Kementerian Dalam Negeri itu tidak menyatakan kos perolehannya.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pada ketika ini, APMM mengoperasikan tiga unit AW139 yang merupakan model lebih kecil berbanding AW189, serta tiga unit AS365 Dauphin. Sementara itu, dua buah helikopter AW189 digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

AW189 milik JBPM.

Helikopter AW189 Leonardo Helicopters itu dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk melaksanakan misi-misi yang mencabar.

Dengan berat 8,300kg hingga 8,600kg serta dilengkapi dengan dua enjin Safran atau General Electric, helikopter medium-lift itu berkeupayaan terbang selaju 294km/j.

Dengan dua krew, helikopter AW189 itu boleh membawa sehingga 19 orang penumpang. AW189 juga boleh dilengkapi dengan keupayaan untuk melaksanakan misi-misi perubatan dan menyelamat yang mencabar.

Ia adalah helikopter paling baik di dalam kelasnya dari segi kelajuan, jarak operasi dan muatannya bagi membolehkan ia melaksanakan prestasi paling tinggi dalam misi-misi SAR (Search and Rescue) dan Medical Evacuation (MEDEVAC).

Jarak operasi dan ketahanan helikopter AW189 memberikan ia kelebihan besar dalam melaksanakan misi-misi yang penting dalam menyelamatkan nyawa.

Helikopter AW189 memastikan juruterbangnya dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini dalam aspek penerbangan helikopter dan juga ciri-ciri keselamatan.

Avionik moden milik helikopter itu dengan digital glass cockpit bersepadu memberikan ia kesedaran tentang situasi tertinggi dengan set sensor yang komprehensif.

Kabin helikopter AW189 adalah paling besar di dalam kelasnya, dengan kemampuan untuk menempatkan sembilan penumpang bersama-sama tiga buah stretcher dan kelengkapan-kelengkapan penting untuk misi menyelamatkan nyawa.