Arkib Tag: Afrika Selatan

Proton masuk semula ke pasaran Afrika Selatan, lancar X50 dan X70

PENGELUAR kereta nasional Proton kini secara rasmi kembali ke Afrika Selatan, kira-kira 10 tahun selepas ia keluar dari pasaran itu.

Pelancaran semula jenama itu berlaku pada acara yang dianjurkan oleh Combined Motor Holdings (CMH), pengedar rasmi Proton, serentak dengan pelancaran tempatan X70 dan X50.

Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati dalam versi CBU di negara itu dan kemudiannya akan disertai oleh Saga pada awal tahun 2023.

Semasa pelancaran, Jebb McIntosh, Ketua Pegawai Eksekutif CMH berkata, “Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya kerana kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa di sini.”

Tambah Jebb lagi, CMH merancang itu membuka 25 pusat pengedaran dalam tempoh enam bulan. Setakat ini, sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal.

Jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaan Proton. Di samping menuntut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif Malaysia, Proton juga ingin mengeksploitasi potensi yang terpendam dalam pasaran antarabangsa bagi menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini.

Bagi tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9 peratus berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, syarikat berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.

“Proton sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami. Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Mengenai matlamat syarikat, Roslan berkata Proton mensasarkan untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini di samping mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara.

Kontrak MotoGP: Bos KTM dedah sikap Binder

PELUMBA MotoGP Brad Binder kekal bersama pasukan Red Bull KTM Factory sehingga musim 2024.

Ia susulan keputusan pelumba kelahiran Afrika Selatan itu memperbaharui kontrak baharu selama tiga tahun.

Mengakui gembira dengan keputusan tersebut, Binder bertekad untuk terus memberikan aksi terbaik pada kejohanan akan datang.

“Saya sangat gembira dengan perjanjian kontrak selama tiga tahun lagi.

“Bersama KTM, banyak pengalaman menakjubkan telah dilalui. Ia adalah suatu yang menyeronokkan apabila mendapat kepercayaan daripada pasukan,” katanya.

Kontrak baharu ini secara tidak langsung menjadikan Binder bersama pasukan itu selama lebih 10 tahun.

Pada perlumbaan MotoGP di Mugello minggu lalu, Binder berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Ia merupakan keputusan terbaik pelumba itu musim ini dengan mengumpul 35 mata keseluruhan.

Pit Beirer akui teruja dengan sikap 'pantang mengalah' ditunjukkan Binder dalam setiap perlumbaan.

Sementara itu, Pengarah KTM Motorsports Pit Beirer berkata, pasukan itu amat menyenangi hasil kerja ditunjukkan Binder selama ini.

Katanya, pelumba itu memiliki mentaliti seorang juara selain tidak pernah berputus asa untuk memberikan keputusan terbaik untuk pasukan.

“Ini adalah kontrak yang mudah untuk diputuskan kerana pasukan amat senang dengan Binder.

“Sebagai pelumba, Binder tidak pernah menghampakan pasukan dengan sikapnya yang sentiasa berusaha memberikan terbaik.

“Kami amat berbangga untuk bersama Binder pada musim seterusnya,” katanya.

Brad Binder pernah mewakili pasukan Abrogio Racing pada 2013.

Lima fakta mengenai Binder

1. Binder merupakan pelumba yang dilatih di Akademi KTM GP

2. Binder memenangi lebih 15 perlumbaan di peringkat Moto3 dan Moto2

3. Pada tahun 2020, Binder pernah menerima status ‘Rookie of the Year

4. Mencipta rekod peribadi di Itali minggu lalu dengan kelajuan 362.5 km/j

5. Merupakan pelumba Afrika Selatan pertama memenangi perlumbaan Grand Prix Republik Czech pada tahun 2020