Arkib Tag: acara

IAM Kuala Lumpur, MIME, dan COTY 2024 bergabung untuk bawa pengalaman autoshow unik

INTERNATIONAL Automodified (IAM) dan Malaysia International Motor Expo (MIME) dilancarkan semalam, dan bakal diadakan pada 8-9 Jun depan di Kuala Lumpur Convention Centre.

Acara itu juga akan menyambut ulang tahun ke-20 bagi Malaysian Car of the Year Awards (COTY) yang mengiktiraf kenderaan terbaik 2024.

Gabungan ketiga-tiga acara ini bakal membawakan pengalaman autoshow unik bagi anda peminat kereta di Malaysia.

IAM

Kuala Lumpur akan menjadi lokasi pembukaan IAM yang dijadualkan mempunyai enam lokasi antarabangsa tahun ini.

Kemudian, IAM akan beralih ke Surabaya, Indonesia pada Julai, sebelum ke California, Amerika Syarikat, kemudian ke Singapura, Jakarta, dan Bangkok.

IAM yang dikatakan sebagai acara modifikasi dan gaya hidup terbesar di Asia Tenggara telah ke 38 bandaraya di Indonesia sejak 2001. Ia telah menarik ribuan peminat kereta dengan hampir 100 anugerah disampaikan untuk pelbagai kategori kenderaan.

Tahun lepas, IAM mencatatkan 70,000 pengunjung semasa diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

MIME

MIME pula merupakan acara yang mengetengahkan barangan OEM (original equipment manufacturers) terkini dalam industri automotif.

Acara ini juga akan menghimpunkan kenderaan terbaharu termasuk kereta elektrik (EV), dan seksyen khas untuk pemenang-pemenang Car of the Year 2023.

“Apa yang membezakan MIME dari motor show lain ialah acara kami dikhaskan lebih untuk bakal pembeli dan pemilik kenderaan,” kata Pengasas MIME, Yamin Vong.

“Ia bukan sekadar pameran kereta baharu dalam pasaran, tetapi membawakan pengunjung suatu lokasi untuk mereka membuat pembelian di samping mendapat pengetahuan tepat dari pelbagai pilihan.

“Ini akan termasuk juga kenderaan dari pengedar rasmi serta pengimport bebas yang menawarkan model-model unik yang tidak terdapat di bilik pameran,” tambahnya.

COTY 2024

2024 akan menandakan ulangtahun ke-20 bagi COTY yang mengiktiraf kereta-kereta baharu terbaik bagi segmen masing-masing.

Satu kategori baharu ialah berkenaan EV, iaitu bangunan, hartanah, atau pemaju yang mesra EV.

Panel juri COTY adalah terdiri dari wartawan permotoran berpengalaman serta golongan profesional. Mereka menilai model-model berdasarkan pelbagai kriteria seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang.

COTY 2024 akan menampilkan anugerah People’s Choice, yang akan ditentukan melalui undian secara online.

Tiket bagi acara ini kini dijual pada harga RM22 di sini: https://www.ticket2u.com.my/event/34477?r=r124.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.internationalautomodified.com dan www.malaysiamotorexpo.com.

Malaysia Hobby Expo 2023 kembali 2-3 Disember ini, lebih 50 aktiviti dan 250 pempamer

MALAYSIA Hobby Expo 2023 kembali lagi untuk edisi kelima, selepas berehat sejak 2019 disebabkan pandemik. Selepas mula dianjurkan pada 2016 setiap tahun hingga 2019, ia kini ‘bangkit’ menemui dan menghimpunkan peminat serta pengamal hobi-hobi di Malaysia.

Acara tahun ini akan diadakan pada 2 dan 3 Disember depan, menjanjikan lebih dari 50 aktiviti hobi dan 250 pempamer, antaranya kereta kawalan radio (RC), koleksi vintaj, sukan lasak, haiwan peliharaan, buku dan majalah, serta seni kraftangan.

Pengasas Malaysia Hobby Expo, Muhammed Fidzri Syafeeq menyatakan kewujudan ekspo ini adalah inspirasi dari acara antarabangsa dari Jepun, Beijing, Shizouka dan Moscow.

“Sasaran tahun ini adalah seramai 25,000 orang setiap hari, tambahan 35 peratus dari sasaran pada 2019,” katanya.

Acara ini merupakan anjuran Specta Group Venture dengan MAEPS Serdang sebagai lokasi rasmi dan Shopee sebagai penaja utama.

Setiap hobi akan dikumpulkan di beberapa zon yang telah ditetapkan seperti Hobby Bazaar, Hobby Group, Vintage Bazaar, zon sukan lasak, zon haiwan peliharaan, dan zon outdoor.

Bagi anda yang mahu hadir, tiket adalah RM20 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak untuk kedua-dua hari. Setiap pembelian tiket juga akan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah.

Hadiah cabutan bertuah termasuklah sebuah Perodua Myvi dimodifikasi, dua unit Yamaha LC V8, TV 55-inci, Sony PS5, dan 10 unit jam tangan G-Shock. Kesemua hadiah difahamkan bernilai RM50,000.

Malaysia Hobby Expo 2023 juga akan menampilkan konsert “Passion of Sound” pada hari pertama, 2 Disember 2023, yang akan menampilkan barisan penyanyi seperti Ruffedge, Gerhana Ska Cinta, Insomniacks, Saixe dan Hujan.

Acara tahun ini juga istimewa dengan penganjuran Tamiya Mini 4WD MHXCUP2023 yang difahamkan bakal menjadi perlumbaan terbesar bagi kereta skala 1:32 berkuasa bateri itu.

Perlumbaan ini menawarkan hadiah bernilai lebih RM30,000 dengan penyertaan 300 peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, dan Brunei.

Untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut, layari https://myhobbyexpo.com/ atau laman Facebook mereka.

Olskool Mega Gathering himpun peminat kereta, fesyen, dan barangan lama

SETELAH berehat beberapa tahun disebabkan pandemik yang melanda dunia, Olskool Mega Gathering (OMG) kini kembali, diadakan pada 4 November lepas.

Diadakan di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang, edisi 2023 itu membawakan tema Olskool Party. Ia telah menghimpunkan penggiat dan penggemar jentera retro, selain peminat fesyen dan barangan lama.

Acara bermula seawal jam 8 pagi dimana peserta dan pengunjung mula memasuki kawasan pameran. Sesi bergambar Red Carpet dibuat untuk peserta yang hadir masuk.

Penyertaan juga melihatkan gabungan antara peserta tempatan dan luar negara seperti Thailand, selain penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.

Pengisian acara agak unik. Untuk kali ini, OMG menyajikan kehadiran komuniti dua roda seperti motosikal scrambler retro dan Suzuki Panther, selain kemunculan beberapa individu berkumpulan mengenakan pakaian era 70an.

Terdapat meja jualan barangan seperti model Hot Wheels dan die cast, jualan baju dan cenderahati, pakai terpakai, dan makanan serta minuman.

Di sebelah petang, acara diteruskan dengan sesi cabutan bertuah, dimana hadiah utama sepasang tempat duduk Recaro berharga RM4,000. Uniknya, ia merupakan tempat duduk yang dibaik pulih khas oleh Rolla Resources & Retrofast Garage, dengan balutan fabrik dan Alcantara.

Hadiah lain termasuklah satu set rim Atara Racing, basikal BMX, dan minyak pelincir JTX.

Kemuncak OMG 2023 ialah pemilihan 10 kereta pemenang untuk pelbagai kategori, yang dipilih oleh barisan juri tempatan serta juri antarabangsa iaitu FakeWagon Art (Indonesia) dan Kuala Belait Squad (Brunei).

Secara keseluruhan, acara OMG 2023 mencatatkan penyertaan lebih 400 kenderaan dan 3,000 pengunjung. Nantikan edisi seterusnya tahun hadapan pula.