Proton – ‘Ku yang dulu bukanlah yang sekarang…’
Tertubuh lebih 37 tahun lalu, Proton kian berkembang bukan sahaja dengan menghasilkan produk berkualiti malah melahirkan ribuan tenaga kerja anak tempatan berkepakaran tinggi.
Bagaimanapun, kejayaan dikecapi Proton hari ini bukan semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi syarikat itu dalam usaha kekal kompetitif di sebalik saingan pesat industri automotif global.
Justeru, sebagai tanda ‘salute’ kepada Proton, kita imbas kembali sejarah dan kejayaan syarikat kereta nasional ini.
Langkah pertama Proton
Proton ditubuhkan pada 7 Mei 1983 hasil garapan idea Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu masih memegang jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1979.
Walaupun mengambil masa selama empat tahun bagi merealisasikan kelahiran Proton, syarikat itu tidak mengambil masa lama untuk mengeluarkan produk kereta nasional pertama negara.
Pada tanggal 9 Julai 1985 iaitu lebih dua tahun selepas penubuhan Proton, syarikat itu mencipta sejarah apabila berjaya melancarkan Proton Saga hasil kerjasama kepakaran Hicom Holdings Bhd dan Mitsubishi Motors.
Pengeluaran Proton Saga pada awalnya dikatakan agak terhad dengan hanya 700 unit dapat disiap dan dipasarkan.
Umpama pisang goreng panas, Proton Saga mendapat permintaan tinggi sehingga ada pelanggan terpaksa menunggu sedikit lama untuk mendapatkan kereta nasional itu.
Hari demi hari berlalu, Proton terus berkembang pesat. Kini, memilki kilang pengeluaran di Tanjung Malim menjadikan syarikat itu antara yang disegani di mata dunia.
Saga segah namanya!
Proton mula menembusi pasaran antarabangsa pada tahun 1986 dengan Bangladesh menjadi negara pengimpot pertama.
Pada 1987, Proton terus bergerak ke hadapan dengan memasarkan Proton Saga ke New Zealand, Brunei, Malta dan Sri Lanka.
Untuk rekod, penjualan Proton Saga sejak 1985 sehingga 2008 mencecah lebih 1.2 juta unit!
Tidak hairan jika Proton Saga terus sinonim dengan jenama syarikat itu sehingga ke hari ini.
Proton x Geely
Kejayaan Proton tidak dinafikan sedikit sebanyak berpunca daripada kerjasama serta perkongsian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama syarikat automotif dunia lain.
Pernah bekerjasama dengan syarikat Jepun Mitsubishi Motors, Proton kini meneruskan ikatan perniagaan dengan perusahaan milik China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
Beribu pejabat di Hangzhou, Geely memiliki lebih 49.9 peratus saham Proton.
Namun, mengapa Geely? Apakah kelebihan syarikat ini?
Selain Proton, terdapat pelbagai lagi syarikat yang bekerjasama dengan Geely termasuk Lotus, Lynk & Co, London EV Company dan Yuan Cheng Auto.
Selain itu, Geely juga memiliki 100 peratus pegangan saham syarikat asal Sweden, Volvo Cars daripada Ford pada 2010.
Namun, apakah Proton juga kini dimiliki Geely?
Jawapanya, tidak! Proton tidak dimiliki sepenuhnya oleh Geely.
Seperti yang diperkatakan sebelum ini, Geely tidak memiliki pegangan penuh saham Proton kerana lebih 50.1 peratus masih dimiliki DRB-Hicom.
Penjualan saham Proton kepada Geely dilihat sebagai strategi pemasaran bersama bagi meningkatkan jenama dan keyakinan pengguna.
Kerjasama ini bukan suatu yang asing dalam dunia automotif. Sebagai contoh, nama Proton lebih dikenali di pasaran luar sewaktu syarikat itu membeli pegangan saham Lotus yang akhirnya membolehkan produknya dijual di United Kingdom (UK).
Setakat ini, Geely mempunyai track record luar biasa dalam dunia automatif apabila berjaya menyelamatkan Volvo daripada berdepan musibah ekonomi.
Maka, kerjasama Proton – Geely secara tidak langsung bukan sahaja mewujudkan satu perkongsian strategi pemasaran malah membabitkan teknologi bertaraf dunia.
Sudah pasti, teknologi pada produk Proton juga setaraf Volvo!
Kerjasama Proton – Geely hanya retorik?
Dakwaan kerjasama Proton dan Geely hanya retorik adalah tidak adil.
Sejak berlaku kerjasama ini, Proton telah menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Buktinya, Proton X70 telah dihasilkan dengan begitu eksklusif dan memiliki kualiti bertaraf jenama antarabangsa.
Selain Proton X70, Proton terus menonjolkan wow factor dengan pelancaran kenderaan utility sukan (SUV) X50.
Kejayaan ini amat membanggakan jika dibandingkan dengan usia Proton.
Jika ada masih mempersoalkan mengenai kerjasama Proton dan Geely, harap pandangan negatif itu boleh dibuang jauh.
Mesti diingat, jika mahu terus kekal dan berdaya saing di persada dunia, maka satu langkah berani perlu diambil.
Jangan sampai kita diumpakan “hidup segan, mati tak mahu.”
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador