Kia Carnival tawar pakej lengkap dan selesa untuk seisi keluarga – pandu uji
Antara kenderaan yang mampu memberikan kesan yang mendalam dalam hati penulis ialah Kia Carnival.
Bukan sebab rupa paras atau harga yang lebih mampu beli berbanding MPV kotak premium lain di pasaran, akan tetapi pakej yang ditawarkan.
Mujur dua kali raya tahun ini, pihak Kia Sales Malaysia dengan murah hatinya membenarkan kami untuk menguji dua varian Kia Carnival yang ditawarkan di Malaysia.
Sebelum anda membaca ulasan panjang ini, sejujurnya kami dapat simpulkan yang Kia Carnival merupakan salah satu model MPV yang patut anda pertimbangkan demi keselesaan keluarga.
Rupa paras lebih moden
Ketika mula diperkenalkan empat tahun yang lalu, Kia Carnival sudah menjadi antara MPV yang segak penampilannya, bukan lagi tipikal MPV yang membosankan.
Versi facelift membawakan rekaan tersebut ke satu aras yang lebih tinggi, dan ia kini tidak malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak buatan Jepun.
Muka depan kini lebih tajam dan garang, ditambah dengan struktur jeriji yang lebih lebar untuk mewujudkan ilusi yang lebih besar.
Seperkara yang penulis amat hargai ialah lampu isyarat membelok belakang kini disatukan pada perumah lampu utama.
Kalau versi pra-facelift, lampu membelok diposisikan agak rendah dan mungkin menyebabkan pemandu lain tidak perasan niat kita untuk membelok atau menukar laluan.
Ruang kabin luas
Dimensi Carnival memang agak panjang disebabkan tiada keperluan untuk mengehadkan ukurannya berdasarkan keadaan kota metropolitan yang sempit.
Disebabkan itu juga, ia menyumbang kepada ruang kabin yang cukup luas sehingga boleh memuatkan 11 orang pada satu-sat masa.
Untuk sebuah keluarga moden, tetapan sehingga 11-tempat duduk itu mungkin akan kedengaran keterlaluan atau bak kata orang ‘membazir ruang’.
Namun usah risau kerana baris keempat tempat duduk Carnival ini boleh dilipat dan disimpan terus ke dalam lantai untuk ruang kargo yang lebih besar.
Ia boleh digunakan kembali sekiranya terdapat keperluan untuk membawa lebih ramai orang, terutama kanak-kanak atau dewasa yang kecil saiznya.
Jika 11-tempat duduk dirasakan terlalu banyak, pilih sahaja Carnival versi 7 atau 8-tempat duduk.
Berdasarkan pengalaman membawa penumpang sepanjang dua kali raya tahun ini, anda tidak perlu risau kerana Carnival sememangnya cukup selesa.
Cukup untuk membuatkan penumpang belakang tidur dengan lena, ditambah pula dengan ruang kabin yang kedap dan sistem pendingin hawa yang berfungsi cemerlang ketika panas terik.
Ruang kargo? Bukan satu masalah kerana Carnival ini memang luas.
Kokpit mesra pemandu
Selain keselesaan penumpang, pemandu juga menghargai apa yang ditawarkan pada Carnival facelift ini.
Biarpun tetapan meter analog telah digantikan dengan paparan digital 12.3 inci, tema meter analog masih lagi dikekalkan supaya pemandu tidak rasa kekok.
Skrin tengah 12.3 inci turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, selain menawarkan paparan yang mudah untuk digunakan.
Yang lebih penulis hargai ialah panel kawalan audio yang boleh diubah menjadi panel kawalan suhu kabin, di mana dua tombol tersebut berubah fungsinya berdasarkan apa yang anda pilih.
Tiada lagi keperluan untuk mengusik skrin tengah yang kemudian hari akan membuatkan anda lebih terleka sewaktu memandu.
Tempat duduk hadapan juga selesa untuk perjalanan jauh merentas negeri sepanjang tempoh perayaan.
Kehadiran sistem kamera keliling dengan paparan yang jelas ternyata memudahkan pemandu mengendalikan MPV yang agak besar dan panjang ini.
Pemanduan bertenaga
Antara faktor utama yang membuatkan Carnival ini sesuai untuk dijadikan sebagai mod pengangkutan keluarga ialah nadi diesel yang digunakan.
Ya, diesel. Seram bila dengar harga per liter pada masa kini, kan?
Namun, enjin Smartsteam 2.2 liter itu sememangnya terbukti mampu untuk menggerakkan badan anak gajah ini tanpa sebarang drama.
Nadi itu akan terus menyalurkan kuasa berkuasa 199 hp dan 440 Nm kepada roda depan (ya, tiada pilihan pacuan semua roda).
Gandingan enjin 2.2L dengan kotak gear automatik 8-kelajuan itu memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 6.5 liter untuk setiap 100 km.
Biarpun sarat dengan muatan penumpang dan barang, Kia Carnival boleh dipandu sejauh 900 km untuk setangki penuh.
Pengendalian dan keselesaan
Apa yang membuatkan penulis teruja ialah aspek pengendaliannya yang lebih mirip kepada sebuah kereta penumpang.
Stereng Carnival menawarkan respons yang cukup rasa ketika di selekoh, dan memberikan keyakinan sewaktu di jalan yang lurus.
Biarpun dengan badan seberat lebih 2 tan, sistem brek standard mempamerkan prestasi yang konsisten walaupun ada kalanya berdepan dengan situasi yang tidak diingini.
Lebih penting, enjin diesel tersebut tidak mengaum bila dikerah, dan patuh pada arahan pemandu ketika kuasa lebih diperlukan.
Tekan sikit pedal pendikit, Carnival ini akan mara mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa sebarang drama.
Disebabkan sistem penebat bunyi yang baik, anda mungkin tidak akan perasan bilakah enjin tersebut bekerja keras membakar bahan api daripada tempat duduk pemandu.
Kestabilan pemanduan pada kelajuan lebuh raya juga tidak mengecewakan.
Biarpun kualiti tar yang berbeza-beza, sistem suspensi standard Carnival (tanpa sebarang larasan) mampu menyerap segala hentakan dengan baik tanpa menjejaskan tahap keselesaan penumpang.
Sejujurnya, tiada perbezaan ketara dari segi pengalaman pemanduan antara Carnival 11-tempat duduk dengan versi 7-tempat duduk.
Cuma, varian yang lebih premium itu menawarkan ciri yang tiada pada varian rendah.
Kelebihan Carnival versi 7-tempat duduk
Ini merupakan versi yang anda boleh pertimbangkan sekiranya Carnival 11-tempat duduk dirasakan terlalu asas.
Antara ciri tambahan yang disertakan:
- rim 19 inci
- konfigurasi tempat duduk 2-2-3
- tempat duduk kapten baris kedua
- fungsi Premium Relaxation
Untuk memastikan penumpang VIP duduk dengan lebih selesa, tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan kedudukannya ke belakang, serta ke kanan atau ke kiri mengikut keperluan.
Selain itu, sistem audio standard pada Carnival 11-tempat duduk digantikan dengan sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara.
Pada pengamatan penulis yang memang bukan audiophile, sistem audio standard Carnival sudah cukup bagus.
Namun, pada Carnival 7-tempat duduk sistem Bose mampu membuatkan ruang kabin MPV ini seakan dewan konsert bergerak.
Jadi sepanjang perjalanan anda boleh melayan alunan muzik kegemaran yang jelas, rangup dan diiringi dengan dentuman bass yang mengasyikkan.
Keselamatan
Sayang sekali, Kia tidak menyertakan sistem keselamatan standard untuk kedua-dua varian.
Versi 11-tempat duduk hanya mendapat kelengkapan asas seperti 8-beg udara, cagak ISOFIX, ABS, EBD, Bantuan Brek, ESC dan Kawalan Cengkaman.
Untuk sebuah MPV yang agak besar, sayang sekali apabila ia tidak disertakan dengan sistem pemantauan titik buta (BSM).
Mujur juga Kia menyertakan fungsi Paparan Titik Buta (BVM) apabila lampu isyarat membelok diaktifkan untuk memastikan tiada kenderaan dari arah belakang.
Atau sekadar memantau supaya badan Carnival yang cantik ini tidak disagat oleh dinding.
Carnival 7-tempat duduk pula hadir dengan ciri ADAS yang lebih lengkap, termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan mengikut lorong (LFA) dan amaran tumpuan pemandu (DAW).
Kesimpulan
Dengan harga serendah RM188,000 anda sudah boleh mendapatkan sebuah MPV yang cukup besar dan selesa untuk seisi keluarga.
Sekiranya ruang dan keselamatan merupakan keutamaan, anda perlu sanggup melabur sehingga RM250 ribu.
Kerana di penghujung hari, senyuman ahli keluarga yang terukir setiap kali perjalanan akan membuatkan anda rasa setiap Ringgit yang dilaburkan itu berbaloi-baloi.
Kia Carnival 11-tempat duduk
Kia Carnival 7-tempat duduk
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






































