Arkib Kategori: DUNIA

Hyundai, TVS bangunkan konsep rickshaw elektrik futuristik

Syarikat automotif Hyundai mengumumkan kerjasama dengan TVS Motor Company bagi membangunkan penyelesaian mobiliti perbatuan akhir di pasaran India.

Dua buah model konsep diperlihatkan, iaitu konsep rickshaw tiga roda E3W dan sebuah konsep empat roda E4W yang lebih sesuai digunakan dalam perkhidmatan perkongsian kenderaan.

Kedua-dua kenderaan ini menampilkan rekaan yang minimalis dan mirip kepada bentuk tuk-tuk yang biasa didapati di atas jalan raya India yang terkenal dengan kesesakan trafik itu.


Untuk memastikan kos pembuatan yang lebih rendah, Hyundai akan menggunakan bahan plastik kitar semula serta panel badan yang lebih rata, sekaligus tidak membebankan pemilik untuk mengganti bahagian yang rosak.

Berbanding rickshaw tipikal, E3W membawakan dimensi 200 mm lebih panjang dan 35 mm lebih tinggi untuk memudahkan urusan keluar masuk.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah tempat pemegang botol dan peranti pintar, port pengecasan USB, serta ruang storan di bawah tempat duduk.

 

 

Sebuah lagi model konsep digelar sebagai E4W yang membawakan konfigurasi empat roda serta ruang kabin yang nampak lebih besar berbanding E3W.

Aspek pengendalian juga lebih mirip kepada sebuah kereta sebenar, di mana ia turut mendapat skrin digital minimalis serta roda stereng berbentuk bulat yang lengkap dengan gugusan butang kawalan.

Di bawah tempat duduk stail bangku di baris kedua, terdapat ruang storan untuk memuatkan barangan, serta papan khas yang boleh digunakan untuk menyangkut barangan seperti kipas atau payung.

 

 

Menurut Hyundai, jarak kelegaan bumi bagi kedua-dua model ini boleh dilaras mengikut keperluan, terutama apabila terpaksa menempuh laluan yang dinaiki air ketika musim monsun.

Tiada sebarang perincian spesifikasi trenkuasa dibekalkan buat masa ini.

Namun untuk makluman, pihak TVS ada melancarkan model rickshaw 3-roda King EV Max berharga INR295,000 (RM14,928), menawarkan jarak gerak sejauh 179 km dan kelajuan tertinggi 60 km/j.

Xiaomi YU7 tawar jarak gerak 760 km, bakal beri saingan sengit kepada Tesla Model Y

Beberapa minggu yang lepas, Xiaomi mendedahkan model EV kedua yang bakal dilancarkan pada tahun ini, dikenali sebagai YU7.

SUV elektrik Xiaomi ini dijangka mampu memberikan saingan sengit kepada EV popular Tesla Model Y.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada laman kementerian kerajaan China, Xiaomi YU7 membawakan ukuran sepanjang 4,999 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,600 mm dan jarak antara roda 3,000 mm – menjadikan SUV ini lebih besar berbanding Model Y.

Xiaomi YU7 versi pacuan semua roda (AWD) berkuasa 691 PS boleh didapati dalam versi jarak gerak 670 km, 750 km dan 760 km.

Buat masa ini, Xiaomi masih belum mendedahkan jarak gerak rasmi untuk varian RWD (320 PS), serta kapasiti pek bateri NMC (nickel manganese cobalt) yang bakal ditawarkan untuk setiap varian.

Harga jualan juga masih lagi belum ditentukan, namun media tempatan mencadangkan harga Xiaomi YU7 akan bermula sekitar RMB250,000 (RM151,958), menjadikannya jauh lebih murah berbanding Tesla Model Y yang bermula dari RMB263,500 (RM160,163).

Yamaha FZ versi hibrid ringan muncul di pasaran India

Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.

Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Bagaimana pula dengan Yamaha?

Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.

Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.

Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).

Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.

Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.

Ciri lain termasuklah:

  • fork teleskopik hadapan 41 mm
  • penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
  • rim aloi 17 inci
  • tinggi pelana 790 mm
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
  • sistem brek ABS saluran tunggal

Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).

Honda kini kuasai 40 peratus pasaran motosikal global

Jika pasaran kenderaan penumpang global dikuasai oleh abang besar Toyota, segmen motosikal global pula nampaknya didominasi oleh Honda.

Menurut laporan Japan Times, jualan motosikal global Honda diunjurkan mencapai 20.2 juta unit untuk tahun fiskal yang berakhir pada Mac tahun ini.

Ini bermakna, Honda kini menguasai sehingga 40 peratus pegangan di dalam pasaran motosikal global!

Perkembangan ini disokong oleh permintaan yang tinggi dari beberapa pasaran seperti India, Indonesia, Filipina, Brazil, serta beberapa negara di Amerika Tengah dan Selatan.

Honda juga berazam untuk meningkatkan sasaran penguasaan sehingga 50 peratus pasaran yang turut merangkumi motosikal elektrik, dengan jumlah jualan mencecah 60 juta unit menjelang 2030.

Untuk itu, sebuah kilang pemasangan baharu yang dikhususkan untuk motosikal berkuasa elektrik akan didirikan di India dan mula beroperasi pada tahun 2028.

Sebagai sebahagian daripada dorongan elektrifikasi yang serius, pengeluar itu juga merancang untuk melancarkan sehingga 30 buah model elektrik bagi mencapai sasaran jualan tahunan motosikal EV sebanyak empat juta unit menjelang 2030.

Antara inisiatif lain yang bakal dibuat termasuklah mengusahakan penggunaan dan kitar semula bateri, mengurangkan kos e-bike dan memastikan fasiliti sedia ada yang lebih mesra alam, selain meluaskan lagi jaringan stesen perkongsian dan penukaran bateri sedia ada.

Sehingga kini, Honda mempunyai sebanyak 37 buah fasiliti pemasangan di 23 buah negara.

Honda, Nissan mungkin tidak jadi bergabung

Laman Asahi Shimbun hari ini melaporkan rancangan gabungan antara dua syarikat besar automotif Jepun, Nissan dan Honda mungkin akan dibatalkan.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut, kedua-dua syarikat akan mengadakan satu perjumpaan untuk membincangkan pembatalan rundingan gabungan tersebut.

Difahamkan, Honda mahu menjadikan Nissan sebagai sebuah anak syarikat (subsidiari), namun rancangan tersebut ditentang keras kerana tidak selari dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini.

Apabila pelan gabungan diumumkan dalam satu sidang media bersama yang dibuat Disember lepas, sebuah syarikat induk akan terbentuk untuk menaungi kedua-dua buah jenama itu, dan bakal menjadi kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia selepas Toyota dan Volkswagen.

Lebih mengejutkan apabila perkembangan terbaharu ini timbul tidak sampai beberapa hari selepas laporan di mana Honda dan Nissan mahu menangguhkan pengumuman keputusan untuk bergabung hingga pertengahan Februari ini.

Nissan kini sedang bergelut dengan usaha penstrukturan semula termasuklah membuang sehingga 9,000 orang pekerja di seluruh dunia.

Namun begitu, syarikat tersebut tidak menjelaskan dengan terperinci perancangan tersebut kepada rakan perniagaan berpotensinya, dan pihak atasan Honda turut mengadu Nissan bergerak terlalu perlahan.

Dalam sidang akhbar pada Disember lepas, Presiden Nissan Makoto Uchida menekankan yang kedua-dua syarikat akan berada pada kedudukan yang sama.

 

BYD Atto 3 2025 dikesan di China – wajah baharu dan ADAS yang dinaik taraf

BYD Atto 3 model tahun 2025 telah dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di China, di mana ia dijual sebagai Yuan Plus.

Menurut CarNewsChina, Atto 3 akan tampil dengan bahagian luaran dan sistem bantuan pemandu yang dikemas kini. Ia dijangka dilancarkan ke pasaran negara itu sekitar suku kedua tahun ini.

Ini bukan kali pertama dunia melihat Atto 3 2025  – Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China sebelum ini telah pun mendedahkan sepenuhnya reka bentuk SUV elektrik itu dan sebab itulah hanya sebahagian kecil kereta itu masih dilindungi pelekat penyamaran.

 

Seperti yang boleh dilihat, Atto 3 kini mendapat ‘wajah’ yang lebih segar dengan rekaan bampar lebih sporty dan liang ambilan udara trapezoid yang lebih besar.

Bahagian sisinya menunjukkan kemasan krom baharu pada tiang C dan bahagian bawah badan. Di belakang, bampar  diberikan sentuhan semula namun apa yang lebih ketara di sini adalah spoiler bumbung baharu yang menempatkan sepasang lampu brek.

Untuk 2025, Atto 3 akan ditawarkan dalam satu warna baharu iaitu beige, manakala pilihan warna sedia ada iaitu putih, hitam, ungu, biru, hijau dan kelabu dijangka dikekalkan.

 

Selain itu, Atto 3 baharu dilihat mempunyai kamera baharu pada bampar depan, menunjukkan bahawa sistem ADAS-nya telah dipertingkatkan.

Tiada sebarang perubahan untuk trenkuasa. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam varian tunggal Extended Range yang dilengkapi dengan motor elektrik gandar depan dengan 204 PS/310 Nm, dan bateri Blade LFP berkapasiti 60.48 kWj yang menawarkan jarak sejauh 480 km (NEDC).

Dacia Sandero dinobatkan kereta paling laris di Eropah tahun 2024

Tahukah anda, kereta apakah yang paling laris terjual di Eropah untuk tahun 2024?

Ia bukanlah kereta buatan Jepun, bukan juga kereta rakyat jenama Jerman, tapi sebaliknya ia sebuah kereta daripada negara Romania.

Lebih tepat lagi, Dacia Sandero (good news! bak kata James May).

Menurut data daripada penganalisa industri Jato Dynamics, sebanyak 268,101 unit Dacia Sandero telah didaftarkan di Eropah sepanjang tahun lalu.

Tempat kedua pula disandang oleh Renault Clio, dengan perbezaan melebihi 50,000 unit berbanding Dacia Sandero, diikuti dengan Volkswagen Golf (215,715 unit).

Jualan model paling popular tahun 2023, iaitu Tesla Model Y turun sebanyak 17 peratus kepada 209,214, namun ia masih lagi kekal juara di dalam kategori kenderaan elektrik yang paling popular.

Sebut pasal EV, pegangan pasaran bagi kenderaan sifar emisi tersebut menurun daripada 15.7 peratus (2023) kepada 15.4 peratus untuk tahun lepas, manakala peratusan model berenjin petrol pula meningkat daripada 47.8 peratus kepada 48.4 peratus.

Punca kemerosotan EV adalah disebabkan oleh penarikan insentif serta harga jualan purata yang masih lagi tinggi dan diluar kemampuan, menurut analisis Jato Dynamics.

Sementara itu, permintaan terhadap kenderaan hibrid meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.8 peratus, manakala kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pula sekadar menguasai 7.3 peratus (turun daripada 7.7 peratus).

Baru dilancarkan di Jepun, tempoh menunggu Jimny Nomade kini cecah 3.5 tahun!

Suzuki Jimny Nomade, atau lebih tepat lagi Jimny 5-pintu yang lebih praktikal baru sahaja dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Jepun.

Namun dalam tempoh empat hari sahaja, permintaan yang diterima cukup menggalakkan di mana 50,000 tempahan telah pun dicatatkan.

Keadaan ini memaksa pihak Suzuki Jepun menutup sementara buku tempahan bagi model tersebut.

Dalam satu mesej yang disiarkan dalam laman web rasmi, Suzuki memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan yang mahu menempah Suzuki Jimny Nomade.

“(Suzuki) Jimny Nomade mendapat sambutan yang cukup baik, dan kami menerima tempahan yang jauh melebihi kapasiti produksi (yang ditetapkan).”

“Disebabkan itu, kami akan menutup sementara buku tempahan, dan akan mengemas kini bila tempahan akan dibuka semula dengan mengambil kira situasi produksi akan datang.”

Populariti tinggi di kalangan pembeli Jepun adalah disebabkan oleh penawaran Jimny 5-pintu itu sendiri yang jauh lebih praktikal.

Ini kerana penambahan dua pintu penumpang ekstra dan jarak antara roda yang lebih panjang membuatkan ruang kabin yang lebih besar dan bermanfaat untuk aktiviti seisi keluarga berbanding Jimny (kei car) dan Jimny Sierra tanpa mengorbankan kelebihan pemanduan off-road yang sudah sinonim dengan nama Jimny.

Untuk makluman, tidak seperti Suzuki Jimny 3-pintu yang dipasang di Jepun, Suzuki Jimny 5-pintu (termasuk unit yang sudah mendarat di Malaysia) dibina di kilang Gurugram yang terletak di India.

Dengan produksi yang dihadkan sebanyak 1,200 unit untuk pasaran Jepun, tempoh menunggu kini mencecah sehingga tiga tahun setengah!

Penghantaran pertama Suzuki Jimny Nomade di Jepun akan dibuat pada 3 April ini.

Disebabkan permintaan yang terlampau memberangsangkan, Suzuki juga terpaksa membatalkan kesemua acara pameran yang telah dirancang untuk Suzuki Nomade di Jepun.

Honda, Nissan tangguh umum pelan gabungan hingga pertengahan bulan ini

Laman berita Japan Today semalam (2 Februari) melaporkan Honda dan Nissan akan mengumumkan pelan gabungan kedua-dua syarikat itu pada pertengahan bulan ini.

Mengikut perancangan asal, syarikat pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar itu mahu berbuat demikian pada penghujung bulan Januari.

Dalam sidang media yang dianjurkan pada bulan lepas, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan untuk membentuk syarikat baharu pada tahun 2026.

Ketua eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata, pihaknya mahukan Nissan untuk membuat tindakan yang sewajarnya di dalam penstrukturan semula sebagai pra-syarat untuk penggabungan.

Pada bulan November, Nissan mengumumkan pengurangan sehingga 9,000 pekerjaan di seluruh dunia serta mengurangkan kapasiti produksi global sebanyak 20 peratus selepas syarikat itu dilapor mengalami penurunan keuntungan lebih 90 peratus untuk tempoh April hingga September.

Sebagai sebahagian daripada langkah pembaikpulihan, Nissan turut merancang untuk menawarkan program persaraan awal untuk pekerja di tiga kilang di Amerika Syarikat dan membuang sebilangan pekerja di Thailand.

Honda nampaknya tidak begitu yakin dan menyeru langkah yang lebih drastik diambil untuk memastikan pemulihan Nissan berjaya.

Menurut satu sumber lagi, rakan sepakatan Nissan, Mitsubishi lebih cenderung untuk tidak menyertai syarikat gabungan baharu itu.

 

Tiga kit badan DAMD untuk Suzuki Jimny Nomade, inspirasi daripada Defender, G-wagen

Bersempena dengan pelancaran Suzuki Jimny Nomade (5-pintu) untuk pasaran Jepun, syarikat penala DAMD menyediakan sehingga tiga pakej kit badan untuk dipadankan pada SUV off-road tersebut.

Pemilik Suzuki Jimny 5-pintu di Jepun boleh memilih untuk memadankan kit badan “little D”, “little G. ADVANCE” dan “little G. TRADITIONAL”.

“little D” membawakan bampar hadapan dan belakang baharu, serta unit lampu yang sememangnya mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender klasik.

Bagi mereka yang inginkan imej G-wagen, terdapat dua pilihan kit badan.

“little G. TRADITIONAL” membawakan imej luaran seakan sebuah Mercedes-Benz G-Wagen generasi terawal, lengkap dengan struktur jeriji hadapan baharu dan plastik fender yang lebih lebar.

Pemilik yang mahukan imej G-wagen moden dan lebih sporti pula boleh mendapatkan “little G. ADVANCED”, dengan padanan tayar yang lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, muka depan mirip G63 AMG, lampu membelok yang bertenggek atas hud enjin, dan penutup tayar simpanan belakang yang lebih kemas.

Menurut laporan Response.jp, pihak DAMD sudah pun memulakan projek pembangunan bagi ketiga-tiga kit badan Suzuki Jimny Nomade dan menyasarkan pelancarannya dalam tahun ini.


SUZUKI JIMNY NOMADE 2025 (Jepun)

 

Alfa Romeo batal hasrat jual EV sahaja menjelang 2027

Nampaknya semakin lama semakin banyak pengeluar mula menyedari yang pendekatan EV sahaja mungkin bukan strategi terbaik untuk jangka masa panjang.

Terbaru, Alfa Romeo dilaporkan telah membuat pusingan U berhubung hasratnya untuk menjual EV sahaja menjelang 2027.

Pengeluar dari Itali itu menyertai jenama-jenama seperti Audi, Lotus, Mercedes-Benz, Porsche dan Volvo dalam membuat keputusan berkenaan berikutan penurunan permintaan dan saingan hebat daripada jenama-jenama China.

Bercakap kepada Automotive News, ketua Alfa Romeo Amerika Utara, Chris Feuell mengakui sukar untuk rangkaian pengedar Alfa Romeo di Amerika Syarikat untuk bertahan dengan portfolio yang terdiri daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) sahaja.

Sebagai ganti, Alfa Romeo akan mengamalkan strategi “berbilang tenaga” yang dimuktamadkan baru-baru ini. Strategi ini merangkumi gabungan trenkuasa petrol, hibrid dan elektrik.

“Perkara terbesar dalam peta jalan produk dan teknologi kami ialah beralih daripada strategi BEV sahaja kepada strategi berbilang tenaga,” kata Feuell.

Toyota kekal pengeluar nombor satu dunia untuk lima tahun berturut-turut

Sepanjang tahun 2024, Toyota Motor Corp telah menjual sebanyak 10.82 juta unit kenderaan, menyaksikan pengeluar itu kekal menjuarai takhta global untuk tahun kelima berturut-turut.

Biarpun angka tersebut turun 3.7 peratus berbanding tahun 2023, Toyota menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi terhadap kenderaan hibrid jenama itu.

Tempat kedua disandang oleh kumpulan Volkswagen, dengan jumlah jualan 9.03 juta unit manakala kumpulan Hyundai pula mencatatkan angka 7.23 juta unit.

BYD buat kali pertama berjaya memintas Honda, Nissan dan Suzuki dengan jumlah jualan sebanyak 4.27 juta unit pada tahun lepas.

Sebagai perbandingan, Honda menjual sebanyak 3.81 juta unit, diikuti Nissan sebanyak 3.35 juta unit dan Suzuki sebanyak 3.25 juta unit.

Tidak termasuk jenama-jenama di bawah naungan seperti Hino dan Daihatsu, angka jualan kenderaan jenama Toyota sahaja sudah mencecah angka 10.16 juta unit, turun 1.4 peratus selepas terbabit dalam isu skandal pensijilan kenderaan, diikuti produksi sesetengah model yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Di pasaran utama, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit kenderaan di Amerika Utara, diikuti peningkatan 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit kenderaan di Eropah.

Angka jualan Toyota di China menyaksikan penurunan 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit kenderaan disebabkan oleh perang harga berterusan oleh pengeluar utama domestik.

Sangat penting untuk terus kekalkan transmisi manual – bos GT Porsche

Porsche merupakan salah satu daripada sebilangan pengeluar kereta sports yang masih lagi setia menawarkan model bertransmisi manual.

Di sesetengah pasaran, anda masih lagi boleh mendapatkan 718 manual, namun untuk keluarga 911 pilihan tersebut kini terhad kepada varian GT3 dan Carrera T sahaja.

Biarpun disifatkan sebagai transmisi yang hampir pupus, pengarah GT Model Line Porsche Andreas Preuninger berpendapat adalah penting untuk beliau terus berjuang bagi mempertahankan transmisi manual di Porsche.

Memetik laporan Motor1, Preuninger berkata, “Dari sudut pandangan peribadi, adalah sangat penting untuk mempunyai sebuah model manual.

“Saya lebih gemar manual, dan tidak kisah untuk menukar gear sendiri terutama di dalam litar, walaupun sebetulnya saya tahu (kotak gear) PDK lebih pantas,” ujarnya lagi.

Preuninger juga tidak berpendapat undang-undang emisi yang lebih ketat bakal membunuh kotak gear manual.

“(Manual) lebih ringan, jadi ia menyumbang kepada pengurangan emisi dan penggunaan bahan bakar yang lebih cekap, dan anda juga mempunyai lebih banyak kuasa pada roda disebabkan rintangan kuasa pada kotak gear manual lebih rendah berbanding PDK,” ujarnya.

“Dalam dunia sebenar, kereta manual kurang menggunakan gasolin, dan kurang menghasilkan emisi berbanding PDK. Itu adalah fakta.”

Suzuki Jimny Nomade mendarat di Jepun, import dari India, harga dari RM76k

Suzuki akhirnya melancarkan varian SUV off-road Jimny 5-pintu yang lebih praktikal untuk pasaran Jepun, dikenali sebagai Jimny Nomade.

Berbanding Jimny Sierra 3-pintu yang masih dijual di sana, Jimny Nomade membawakan ukuran sepanjang 3,890 mm atau 340 mm lebih panjang, menjadikan jarak antara roda kini menjadi 2,590 mm.

Manfaatnya? Ruang untuk penumpang belakang yang lebih luas, serta kapasiti kargo menjadi lebih praktikal.

Jimny Nomade ini boleh dibezakan penampilannya seperti struktur jeriji dengan kemasan Gun Metallic, serta pilihan warna baharu termasuklah Sizzling Red Metallic dan Celestial Blue Pearl Metallic.

Dari segi kuasa, Suzuki Jimny Nomade kekal dengan enjin 1.5 liter menghasilkan kuasa 103 hp dan 134 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Selain itu, Jimny Nomade juga didatangkan standard dengan sistem pacuan empat roda (4WD) separuh masa, serta mengekalkan sudut pendekatan 36 darjah dan sudut pelepasan 47 darjah.

Di Jepun, Suzuki menjual Jimny Nomade dengan harga bermula dari ¥2,651,000 (RM75,643).

Untuk makluman, Suzuki Jimny Nomade merupakan unit import sepenuhnya dari kilang pemasangan Gurugram, India berbanding Jimny Sierra (versi 3-pintu) yang dipasang di Jepun.

BMW M3 CS Touring – wagon jahat untuk geng ‘ayah ayah’

Pada pertengahan 2022, BMW M memperkenalkan M3 Touring, iaitu M3 berbadan wagon yang pertama dalam sejarah jenama itu. Ini disusuli dengan varian M3 yang paling hardcore dalam barisannya iaitu M3 CS sedan.

Kini, divisyen itu membawakan pula M3 CS Touring, yang secara asasnya adalah gabungan kedua-dua model berkenaan.

Dalam erti kata lain, ia menawarkan prestasi tinggi yang mengghairahkan seperti M3 CS sedan (dan M4 CS) tetapi dalam bentuk yang lebih praktikal.

Ini bermakna, seperti dua model yang disebutkan itu, M3 CS Touring juga dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 550 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm dari 2,750 rpm hingga 5,950 rpm.

Jika dibandingkan dengan M3 Touring versi facelift (BMW panggil Life Cycle Impulse atau LCI), model ini mempunyai 20 PS kuasa tambahan.

Gabungan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan semua roda M xDrive membolehkan jentera seberat 1,850 kg ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 11.7 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 300 km/j dengan M Driver’s Package yang disertakan secara standard.

Bercakap tentang berat, BMW berjaya menyingkirkan kira-kira 15 kg menerusi penggunaan komponen-komponen yang diperbuat daripada gentian karbon (CFRP) seperti bonet, splitter, liang ambilan udara, cermin sisi, diffuser, kerusi bucket dan stereng.

Walaupun mempunyai bentuk badan yang sama dengan M3 Touring, versi CS tampil lebih menyerlah dengan kit badan yang lebih agresif, lampu nyalaan siang berwarna kuning, perincian merah pada gril dan spoiler, serta rim double spoke berukuran 19 inci di depan dan 20 inci di belakang.

Pilihan warna terhad kepada empat sahaja iaitu British Racing Green, Laguna Seca Blue, Sapphire Black, dan Frozen Solid White. Tak kira warna apa yang dipilih, bumbung dan spoiler didatangkan dalam kemasan hitam berkilat.

Di dalam, selain kerusi bucket tadi, ia juga boleh dibezakan dengan stereng flat bottom dengan penanda jam 12 berwarna merah dan logo ‘CS’ pada konsol tengah.

BMW tidak memberitahu jumlah M3 CS Touring yang akan dihasilkan seperti versi sedan, pengeluarannya dijangka dihadkan kepada kurang 2,000 unit.

Audi Q6 e-tron Offroad Concept ini lengkap dengan gandar portal

Siapa sangka, SUV elektrik Audi Q6 Sportback e-tron yang nampak premium itu boleh bertukar rupa paras menjadi sebuah SUV off-road yang lebih serius.

Itulah yang cuba dipertontonkan oleh Audi menerusi model Q6 e-tron Offroad Concept dengan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi serta dimensi badan yang lebih lebar.

Audi turut memberikan bayangan model ini sedia untuk direalisasikan menjadi model produksi sebenar.

Dari segi kuasa, Q6 e-tron Offroad ini dijana dengan dua motor elektrik berkuasa 510 hp yang memacu keempat-empat roda.

Selain dimensi trek bertambah sebanyak 250 mm, jarak kelegaan tanah telah ditinggikan sebanyak 160 mm, terima kasih kepada penggunaan empat gandar portal yang disambungkan terus kepada hab roda.

Gandar portal yang direka serba baharu itu membolehkan SUV ini meningkatkan daya kilas roda sebanyak 50 peratus berbanding 20 hingga 30 peratus menggunakan rekaan konvensional.

Disebabkan itu juga, daya kilas pada keempat-empat roda mampu mencecah angka 13,400 Nm, namun kelajuan tertinggi dihadkan kepada 175 km/j sahaja.

Secara keseluruhannya, naik taraf ini membolehkan SUV off-road ini berkeupayaan untuk mendaki curam bersudut sehingga 45 darjah.

Reka bentuk asal Q6 Sportback e-tron masih lagi dikekalkan, cuma bampar hadapan telah diberikan unit pencahayaan LED dan gerbang roda yang lebih besar dan lebar untuk memuatkan tayar off-road.

Audi sebelum ini pernah mendedahkan beberapa model konsep off-road seperti Activesphere dan AI:Trail Quattro, selain menyertai acara perlumbaan Rali Dakar 2024 menggunakan jentera RS Q e-tron.

Kawasaki mahu hidupkan semula enjin dua lejang?

Kawasaki baru-baru ini menggemparkan dunia alam maya dengan memuat naik satu video acah di laman media sosial mereka.

Video berdurasi bawah 10 saat itu dilihat mengumpulkan beberapa komen pengikut media sosial Kawasaki yang menyeru pengeluar itu menghidupkan semula era kegemilangan enjin dua lejang.

Hantaran tersebut kemudian diakhiri dengan tiga perkataan “We Heard You“, memberikan petunjuk Kawasaki mendengar dan mahu merealisasikan permintaan daripada para peminatnya.

 

Tidak banyak informasi yang didedahkan buat masa ini.

Namun, merujuk kepada laman web Visordown, Kawasaki sebelum ini telah mendaftarkan dokumen paten yang diterbitkan pada Julai 2024 yang mendedahkan pengeluar itu sedang membangunkan enjin dua lejang serba baharu.

Selain mengembalikan semula teknologi yang telah lama ‘pupus’ itu, enjin dua lejang baharu Kawasaki akan dilengkapi dengan beberapa teknologi seperti sistem pancitan bahan api, unit pengecas turbo dan injap kemasukan yang dioperasikan oleh aci sesondol.

Dengan adanya penambahbaikan yang disebutkan itu tadi, ia secara jelas boleh meningkatkan tahap kecekapan enjin dan dalam masa yang sama mengekalkan kelebihan yang ada pada enjin dua lejang berbanding enjin empat lejang.

Buat masa ini, pihak Kawasaki belum menentukan sama ada enjin dua lejang baharu ini akan ditawarkan pada motosikal jalanan ataupun dikhaskan untuk kegunaan lain.

Yang pasti, perkembangan terbaharu ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan insan yang sebelum ini pernah berpengalaman memiliki motosikal 2T, seperti Yamaha 125Z, Yamaha RX-Z, Modenas Dinamik, serta Kawasaki Ninja 150RR (sekadar menyebut beberapa model terkenal).

Ferrari F40 Alte Prestazioni lebih mudah dijinakkan

Dengan rekaan yang tak lapuk dek zaman hasil sentuhan Pininfarina, ramai menganggap Ferrari F40 sebagai kereta Ferrari yang paling cantik pernah dihasilkan.

Bukan itu sahaja, dengan enjin 2.9-liter twin-turbo V8 yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, ia juga digelar sebagai supercar analog terhebat pada zamannya.

Walau bagaimanapun, gabungan enjin berkuasa tinggi, badan yang ringan serta kekurangan sistem elektronik menjadikan F40 begitu liar dan sukar untuk dijinakkan. Buktinya? Tahun ini sahaja sudah dua buah F40 ranap dalam insiden berasingan.

Bagi mengelak bilangan F40 daripada terus berkurangan, sebuah syarikat dari Turin, Itali iaitu Officine Fioravanti telah menghasilkan pakej istimewa bagi menjadikan kereta itu lebih mudah dipandu tanpa menjejaskan karakternya.

Pakej yang dikenali sebagai Alte Prestazioni itu merangkumi sistem suspensi Ohlins TTX 36 dengan pelarasan empat hala, di samping lengan, galas bebola dan hub carrier baharu.

Turut disertakan adalah cakera karbon seramik dan angkup Brembo (enam piston di depan, empat di belakang), serta ABS yang dipertingkatkan. Stereng juga ditambah baik menerusi bantuan kuasa hidraulik.

Oleh kerana F40 dianggap sebagai antara Ferrari paling lawa pernah dihasilkan, tidak banyak yang dibuat untuk meningkatkan penampilannya.

Namun untuk membuatkannya nampak lebih agresif, Officine Fioravanti menyertakan rim lebih besar berukuran 18 inci di depan dan 19 inci di belakang. Pelanggan boleh memilih sama ada untuk mendapatkan tayar Michelin Cup 2 atau Pirelli P Zero.

Harga pakej ini tidak dinyatakan namun bagi mereka yang memiliki F40, kos sudah tentu bukan satu isu.

Vanace ubah penampilan Toyota Hiace jadi seakan VW Transporter T3

Biarpun Toyota Hiace sudah pun memasuki generasi baharu sejak tahun 2019, generasi kelima Hiace versi cab-over masih lagi kekal popular dan terus ditawarkan di beberapa pasaran.

Jika anda sudah rasa bosan dengan penampilan standard Hiace, syarikat penala Auto Motive Japan (AMJ) kini menawarkan pakej kosmetik Vanace yang diinspirasikan daripada van enjin belakang Volkswagen Transporter T3 (1979-1992).

Terdapat tiga pilihan rekaan muka hadapan yang boleh dipadankan, iaitu Type 1 (unit lampu bulat) yang sama seperti spesifikasi T3 pasaran Eropah dan Jepun; Type 2 (lampu bulat berkembar) yang diinspirasikan daripada model pasaran Afrika Selatan; serta Type 3 (unit lampu petak) yang mirip spesifikasi pasaran Amerika Utara.

Selain daripada unit lampu utama halogen, kit Vanace turut merangkumi lampu membelok berwarna kuning, rekaan hud yang rata, unit fender hadapan yang direka semula serta penutup hab roda berwarna krom sekaligus memberikan imej retro pada Hiace.

Pembeli juga boleh memilih sehingga 10 opsyen cat yang disediakan termasuklah pilihan warna gunmetal, beige dan dua tona.

Untuk ruang kabin, pihak AMJ menyediakan pelindung tempat duduk retro (pilihan warna biru, hijau atau beige), roda stereng stail vintaj dan tombol gear yang diperbuat daripada kayu.

Kemasan kayu juga turut ditawarkan sebagai satu opsyen pada bahagian lantai dan siling kargo, diikuti dengan sistem pencahayaan LED yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu mengubah Hiace menjadi sebuah van pekhemah (campervan).

Berdasarkan semakan di laman web AMJ, harga jualan untuk kit Vanace bermula dari ¥3.75 juta hingga ¥4.64 juta (RM105k-RM130k), bergantung kepada unit van penderma dan juga tahap penyesuaian yang ditetapkan oleh pelanggan.

Selain AMJ, pemilik Hiace juga boleh mendapatkan kit badan retro yang diinspirasikan daripada Land Rover Defender, iaitu Deface yang dihasilkan oleh sebuah lagi penala Jepun – DAMD.

Mitsubishi tidak akan sertai pakatan Honda-Nissan – laporan

Laman berita Japan Today melaporkan Mitsubishi Motors Corp tidak akan menyertai syarikat gabungan yang terbentuk antara Nissan Motor Co dan Honda Motor Co.

Sebaliknya, syarikat itu akan memberikan fokus kepada memperkukuhkan kerjasama dengan dua syarikat tersebut, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu pada Jumaat lalu.

Perkembangan terbaharu ini dilihat mencerminkan kebimbangan Mitsubishi terhadap risiko kehilangan kawalan pengurusan sekiranya mereka menyertai gabungan Honda-Nissan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lepas, Mitsubishi sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dan belum memutuskan hala tuju yang spesifik.

CEO Mitsubishi, Takao Kata memberitahu wartawan di Tokyo, “Tiada apa-apa yang telah diputuskan.”

Honda dan Nissan, pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar di Jepun pada tahun lepas mengumumkan langkah penggabungan di bawah syarikat baharu yang akan membentuk kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia untuk melawan saingan yang diberikan oleh pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat dan China.

Pada ketika itu, Mitsubishi Motors belum bersedia dan hanya akan mengumumkan keputusan untuk menyertai pakata baharu itu akan dibuat pada akhir Januari 2025.

Sepanjang tahun 2023, jumlah jualan Honda, Nissan dan Mitsubishi mencecah lapan juta unit, itu pun masih belum dapat mengatasi angka jualan Toyota (11.23 juta unit) dan Volkswagen AG (9.24 juta unit).

Honda dan Nissan mahu memuktamadkan segala perbincangan penggabungan pada Jun 2025.