Stereng Tesla Model Y tercabut ketika memandu, padahal baru seminggu beli

TIDAK dinafikan, kenderaan elektrik (EV) keluaran Tesla adalah antara yang tercanggih di pasaran. Namun begitu, ia juga tidak asing dengan isu-isu kualiti seperti panel badan yang tidak sekata, cat terkopek, roda tidak sejajar dan macam-macam lagi.

Bagaimanapun, masalah yang dilaporkan oleh seorang pemilik Tesla baru-baru ini dilihat lebih serius dan boleh menyebabkan kemalangan jika tidak bernasib baik.

Dalam satu ciapan di Twitter pada 30 Januari lalu, @preneh24 mendedahkan bahawa stereng Tesla Model Y yang baru seminggu dibelinya tercabut ketika beliau sedang memandu di lebuh raya bersama keluarga.

“Keluarga teruja menerima penghantaran Tesla Y pada 24/1/2023. Sedang memandu di lebuh raya dan stereng tiba-tiba tercabut, nasib baik kerana tiada kereta di belakang dan saya dapat berhenti di tepi pembahagi jalan,” tulisnya.

Dalam ciapan seterusnya, pemilik itu berkata bahawa beliau sudah hilang kepercayaan terhadap Tesla dan mahu ganti rugi penuh. Ini kerana Tesla pada mulanya mengenakan bayaran sebanyak $103.96 (RM443) untuk kerosakan tersebut namun kemudian membatalkannya.

Apa yang membimbangkan, ini bukanlah kejadian yang pertama seumpamanya. Pada 2020, seorang pemilik Model 3 dengan perbatuan kira-kira 547 km mendapati stereng keretanya tercabut ketika ingin mengundur.

Ford dan Hyundai juga pernah mengeluarkan panggilan semula untuk menukar bolt yang mengikat stereng yang dikatakan boleh menjadi longgar, seterusnya mengakibatkan stereng tercabut.

Tunda lagi! Pengeluaran Tesla Cybertruck dijangka bermula hujung 2023 pula

TESLA dilaporkan merancang untuk memulakan pengeluaran besar-besaran Cybertruck pada penghujung 2023, dua tahun selepas sasaran awal mereka iaitu 2021.

Reuters mendakwa maklumat ini diperolehi dari dua orang yang mempunyai pengetahuan mengenai perancangan ini, tetapi tiada perincian lain didedahkan dan Tesla juga tidak memberi maklum balas.

Bulan lepas, Tesla berkata mereka sedang mempersiapkan kilang di Austin, Texas untuk membina model baharu, dengan “produksi awal” dijangka bermula pertengahan 2023.

Imej oleh: CNBC

Elon Musk berkata semasa persidangan itu bahawa syarikat itu “dalam proses akhir untuk Cybertruck”.

Ini juga selari dengan kenyataan bahawa IDRA Group, iaitu syarikat Itali yang menghasilkan Giga Press seberat 9,000 tan yang akan digunakan untuk acuan Cybertruck, bahawa mesin itu sudah sedia untuk dibungkus dan dihantar.

Sejak prototaip Cybertruck didedahkan di penghujung 2019, Tesla telah menganjak waktu pengeluaran tiga kali, dari akhir 2021 ke akhir 2022, kemudian ke awal 2023, dan kini ke pertengahan 2023.

Semasa pendedahan pada 2019, Tesla Cybertruck dikatakan dijangka dijual pada harga permulaan sekitar USD40,000 (RM189,760).

PM jemput Tesla labur dan buka kilang di Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka, iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan kereta elektrik.

“Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menemui Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) di sebuah hotel di Washington DC kelmarin.

Perdana Menteri sedang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Ismail Sabri berkata, beliau telah meminta AS-ABC untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke ASEAN, terutamanya Malaysia.

“Mereka menganggap Malaysia sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat yang penting,” katanya mengenai reaksi AS-ABC.

Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC

Tesla pada Disember 2021 lepas menyatakan hasrat untuk melabur di Indonesia bagi menjadikan negara itu hab bateri Li-ion terbesar di dunia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum itu berkata kepada Reuters, “Ianya penting kerana kami merancang menjadikan Indonesia pengeluar terbesar bateri lithium dan kami mempunyai simpanan nikel terbesar.”

Tesla hasilkan pengecas untuk semua jenis EV, harga mampu milik

SYARIKAT pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka dunia, Tesla terus berusaha menghasilkan produk terbaik kepada para pengguna.

Terbaharu, Tesla berjaya memasarkan alat pengecas kenderaan EV di rumah atau Wall Connector tahap kedua dengan palam J1772.

Foto ihsan Tesla

Apa yang menarik, alat pengecas ini bukan sahaja mampu milik malah, boleh digunakan untuk mengecas semua jenis kenderaan EV.

Jelas Tesla, palam J1772 ini mampu menjana kuasa sehingga 9.6 kW selain memiliki kabel sepanjang 7.3 meter.

Bagaimanapun, pemilik Tesla memerlukan alat penyesuai khusus jika ingin menggunakan alat pengecas ini untuk kenderaan mereka.

Setakat ini, harga bagi sebuah unit Wall Connector ini bermula dari $415 atau bersamaan dengan RM1,726.

Foto ihsan Tesla

Pengeluaran Tesla Cybertruck ditunda ke hujung 2022

ELON Musk telah mengesahkan bahawa pengeluaran Tesla Cybertruck akan ditunda, kini hingga ke hujung 2022.

Garis masa penyerahan trak EV itu menjadi perhatian ramai, bukan kerana popularitinya, tetapi juga disebabkan perlumbaan menghasilkan trak pikap elektrik terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Cybertruck sebelum ini dilihat sebagai yang pertama dalam pasaran, namun kini akan sedikit ketinggalan.

Bila Tesla mula mendedahkan Cybertruck pada 2019, mereka berkata akan mula memasarkannya pada penghujung 2021. Tetapi tahun lepas, sudah terdapat tanda-tanda ia akan ditunda.

Pertamanya, Tesla baru sahaja menyiapkan rekaan kejuruteraan trak pikap elektrik itu.

CEO Elon Musk juga menyatakan Tesla akan menghadapi beberapa cabaran dalam membawa Cybertruck ke produksi disebabkan beberapa ciri seperti badan exoskeleton besi yang memerlukan proses pembuatan baharu sepenuhnya.

Dalam satu laporan kewangan suku kedua 2021 Tesla, mereka melaporkan bahawa hanya akan memulakan pengeluaran Cybertruck selepas Model Y di Gigafactory Texas.

Produksi Model Y sepatutnya bermula hujung tahun ini, jadi ini bermakna Cybertruck hanya akan mula dikeluarkan paling cepat tahun depan.

Menurut laporan oleh Electrek, Musk mengesahkan pengeluaran Cybertruck tidak akan bermula hingga penghujung 2022.

Tambah Musk, terdapat begitu banyak teknologi baharu dalam pembangunan trak pikap elektrik itu yang akan menyukarkan proses pengeluarannya.

Tetapi beliau sempat berkata: “Ia akan menjadi satu projek istimewa. Seperti glitch dalam filem The Matrix. Seperti Neo mempunyai sebuah kereta.”