Tak sabar tunggu model sebenar, pelajar cipta Suzuki Jimny sendiri

KETIKA dunia menantikan sosok Suzuki Jimny lima pintu yang dikhabarkan dilancarkan pertengahan tahun ini, sekumpulan pelajar tampil menyerlahkan idea tersendiri.

Pelajar Nihon Automotive Technology School (NATS) berjaya mencipta versi Jimny mereka tersendiri yang dinamakan “Kimun Kamui”.

Foto ihsan Carscoops

“Kimun Kamui” membawa maksud “Tuhan Gunung” ciptaan pelajar terbabit dicipta dengan menggunakan model Suzuki Jimny Sierra 2019 sebagai platform asas.

Apa yang pelajar ini lakukan adalah dengan memanjangkan casis ‘ladder frame’ kenderaan berkenaan sebanyak 400mm. Selain itu, badan Jimny itu juga telah dipotong untuk memuatkan pintu belakang dan tingkap kecil.

Foto ihsan Carscoops

Namun, keadaan itu sekurang-kurangnya memberi akses lebih mudah kepada tempat duduk belakang.

Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda yang lebih panjang bermakna ruang kaki tempat duduk belakang kini lebih luas dan selesa.

Bagaimanapun, oleh kerana kedudukan tempat duduk belakang tidak diubah maka ruangan kapasiti but adalah sama dengan Jimny tiga pintu.

Fungsi off-road yang mantap

Di samping proses transformasi kepada SUV lima pintu, pelajar-pelajar NATS turut tidak lupa untuk melakukan pelbagai modifikasi melibatkan aspek off-road.

Komponen baharu disertakan termasuklah bampar off-road dengan takal terbina dalam, fender lebar, tiub pelindung sekeliling badan dan khemah bumbung.

Bagi memberikan jentera ini ‘stance’ agresif, terdapat penggunaan sistem
suspensi baharu dengan penambahan ketinggian enam inci dam rim Black Rhino Riot 17-inci.

Turut melengkapkan aspek agresif tersebut adalar penggunaan tayar Toyo Open Country A/T.

Foto ihsan Carscoops

Sebagai pelengkap kepada pakej naik taraf ini, enjin 1.5-liter yang asal turut diberi penambahbaikan dalam bentuk kit turbo GReddy, talaan ECU dan injap blow-off FV2.

Hasilnya, ia kini menjana 124PS dan 179Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 22PS dan 49Nm jika dibandingkan dengan versi standard.

Setakat ini, Jimny Kimun Kamui akan kekal sebagai rekaan one-off dan NATS tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjualnya.

Namun, ia boleh dijadikan sebagai contoh baik untuk menunjukkan potensi modifikasi yang dimiliki oleh SUV kegemaran ramai itu.

Harga RM44k, Suzuki GSX S750 ABS memang sangat berbaloi!

SUZUKI tidak dinafikan merupakan sebuah syarikat pengeluar motosikal amat disegani dalam industri permotoran.

Ini kerana kebanyakan jentera dihasilkan Suzuki bukan sahaja memiliki trademark tersendiri malah, mempunyai ketahanan luar biasa.

Memperkatakan mengenai produk Suzuki, salah sebuah jentera menarik perhatian Engear adalah model GSX S750 ABS.

Foto ihsan Suzuki

Pertama kali krew Engear menguji jentera ini ternyata segala kehebatan teknologi yang diperkatakan mengenai Suzuki adalah benar belaka.

Mempunyai enjin 4-stroke (liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dengan 749cc, motosikal ini mampu mencapai lebih 114 kuasa kuda pada 10,500 rpm dan 81 Nm torque pada 9,000 rpm.

Kuasa pick up dan pecutan tidak keterlaluan jika dikatakan setanding dengan kebanyakan jentera 1000cc lain yang berada di pasaran.

Ciri-Ciri GSX S750 ABS

Model GSX S750 ABS didatangkan dengan tayar depan 120mm dan belakang 180mm.

Ia mempunyai berat lebih 213 kilogram dan ketinggian (seat height) 820mm.

Apa yang menarik jentera ini mempunyai saiz radiator yang agak kecil namun, mampu melakukan ‘kerja’ penyejukkan yang sangat efisyen.

Bagaimana pula dengan saiz tank? Ya, saiz tank juga tidak begitu mengecewakan kerana ia mampu menampung lebih 16 liter petrol.

Selain itu, GSX S750 ABS ini mempunyai sistem Suzuki’s Advanced Traction Control System.

Foto ihsan Suzuki

Sistem ini menawarkan tiga mod tunggangan seperti berikut:

Mod 1

Mod ini sesuai kepada individu yang inginkan kepada tunggangan sport

Mod 2

Mod ini sesuai untuk permukaan jalan raya biasa seperti di jalan Persekutuan atau lebuhraya

Mod 3

Mod ini sesuai untuk permukaan jalan yang tidak sekata seperti menaiki bukit atau jalan berbatu

Setakat ini, terdapat empat warna pilihan bagi model GSX S750 ABS iaitu metallic Triton Blue, Metallic Matte Black, Pearl Glacier White and Pearl Glacier White/Glass
Sparkle Black.

Harga di pasaran pula bermula RM44,000 sahaja!

Foto ihsan Suzuki

Skor rating GSX S750 ABS

Berikut pula adalah skor rating Engear terhadap jentera GSX S750 ABS.

Hujung Minggu

Gaya 6.5/10

Pecutan 8.5/10

Pengendalian 7/10

Fun 7/10

Cool 6.5/10

Tunggangan Harian

Ciri 7.5/10

Keselesaan 7/10

Keselamatan 7/10

Praktikaliti 5/10

Saiz 5/10

Nak tahu lebih lanjut review  jentera GSX S750 ABS ini jangan lupa saksikan video bersama hos Mr. Rocket di platform YouTube EnGear!

Chiow!

Suzuki Jimny kini di Malaysia! Apa yang anda wajib tahu di sini

AKHIRNYA SUV yang dinanti-nanti telah tiba di Malaysia secara rasmi, iaitu Suzuki Jimny generasi keempat.

SUV 4×4 kecil dan unik ini menjadi model kedua untuk era baharu Suzuki di Malaysia di bawah naungan Naza Eastern Motors selepas mereka memperkenalkan Swift Sport beberapa bulan lepas.

Suzuki Jimny ini diimport sepenuhnya dari Jepun, dan dijual pada harga RM168,900 atas jalan tanpa insurans (harga tidak termasuk SST 50 peratus).

Mahal? Ya, harganya memang sedikit ‘keras’, tapi anda dapat sebuah kenderaan yang sangat stailo dan walaupun kecil, disebabkan badannya yang petak bersegi, ruang dalamannya tidaklah begitu sempit. Oh ya, dengan pembelian Jimny secara rasmi melalui Naza juga anda dapat jaminan rasmi tiga-tahun/100,000km.

Dari segi mekanikal, anda harus tahu bahawa Suzuki Jimny hanya ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik untuk pasaran Malaysia, tiada manual. Transmisi ini dipadankan dengan enjin 1.5-liter K15B VVT 4-silinder petrol yang menjana 100hp dan 130Nm tork.

Sistem pacuannya menggunakan pacuan empat-roda separuh-masa seperti 4×4 ‘old-skool’, berserta casis ladder-frame yang ditampung dengan suspensi live axle di depan dan belakang.

Sesuai dengan sifatnya iaitu sebuah off-road, kelengkapannya tidaklah begitu mewah. Tiada tempat duduk berkuasa atau brek parkir elektrik dan sebarang kamera. Ia mendapat tempat duduk fabrik, dan masih menggunakan kunci fizikal untuk menghidupkan enjinnya.

Paling penting ialah gayanya, dengan warna hero Kinetic Yellow berserta bumbung hitam, selain warna Bluish Black Pearl 3, Jungle Green dan Medium Grey.

Kelengkapan standard pada Jimny termasuklah lampu projektor LED, lampu kabus, rim aloi 15-inci, sistem pendingin hawa automatik, tempat duduk fabrik manual dan Cruise Control. Sistem infotainmennya menggunakan skrin sesentuh dan menyokong Apple CarPlay, serta disambungkan dengan dua pembesar suara.

Dari segi keselamatan? Suzuki Jimny hadir dengan dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, dan ISOFIX. Tiada sistem terlalu canggih seperti Autonomous Emergency Braking atau Lane Keep Assist yang merumitkan kenderaan. Less is more.

Adakah anda sanggup berbelanja lebih untuk ciri ‘cool’ pada Suzuki Jimny ini, atau anda rela mengambil SUV lebih besar seperti Honda CR-V dan Proton X70?