Suzuki ucap ‘sayonara’ kepada Swift Sport ZC33S dengan model Final Edition
Suzuki telah memperkenalkan Swift Sport Final Edition, yang merupakan variasi terakhir bagi model generasi ZC33S yang kini berusia tujuh tahun.
Menurut syarikat itu, model ini akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad dan akan dijual dalam pasaran Jepun sahaja. Namun penulis berpendapat ada kemungkinan yang ia akan mendarat di Malaysia menerusi grey importer.
Apa yang membezakan antara Swift Sport Final Edition dan versi standard? Untuk bahagian luaran, model edisi terhad ini tampil lebih menonjol dengan kemasan hitam berkilat pada gril, rim aloi 17 inci berwarna hitam, angkup brek merah, logo Sport hitam dan merah pada tailgate dan grafik istimewa pada tiang C.
Ruang dalamannya mungkin nampak sama sahaja dengan versi standard namun model ini sebenarnya mendapat beberapa sentuhan segar termasuk kemasan aluminium dengan efek heat gradation pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah.
Selain itu, anda juga akan menemui tulisan “Sport” pada sebelah penumpang dan “ZC33S Powered by Suzuki” berdekatan dengan tuil gear. Kerusi bucket, pedal aluminium dan jahitan merah dikekalkan.
Apa yang menarik, pelanggan boleh meningkatkan penampilan kereta menerusi pelbagai aksesori eksklusif dari Suzuki seperti elemen-elemen aerodinamik, pelekat tambahan, kemasan pada lampu dan pelbagai lagi.
Penampilan Swift Sport Final Edition mungkin lebih agresif namun sayangnya, tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal untuk model ini.
Tugas memacu hatchback ini masih lagi dipikul oleh enjin turbo Boosterjet 1.4-liter empat silinder yang menghasilkan 140 PS dan 230 Nm. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan transmisi automatik enam kelajuan atau manual enam kelajuan.
Menurut laporan, Swift Sport Final Edition akan dihasilkan dari Mac hingga November 2025, iaitu selepas produksi versi standard dihentikan pada Februari. Harga jualan bermula dari 2,329,800 yen (RM67,646) untuk versi manual dan 2,401,300 yen (RM69,707) untuk automatik.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.