Perodua Ativa juara SUV Ogos, Proton X50 di depan Traz!

Dinamik persaingan dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan terus bergejolak pada bulan Ogos 2026.

Selepas Perodua Traz menguasai pendaftaran bulanan pada Julai, giliran Perodua Ativa pula bangkit dan muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan pada bulan Ogos.

Berdasarkan data pendaftaran kenderaan terbaharu, persaingan tiga segi antara Ativa, Traz, dan Proton X50 semakin panas dengan pelbagai kejutan angka.

Ativa Juara Bulanan, X50 Pintas Traz

Memasuki bulan Ogos, pendaftaran Perodua Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo melonjak tajam.

Ativa mencatatkan angka bulanan tertinggi antara ketiga-tiga model ini dengan 2,288 unit.

Proton X50 turut menampilkan kebangkitan semula selepas kejatuhan pada bulan Julai dengan mencatatkan 2,229 unit, memintas Perodua Traz (1,522 unit).

Walau bagaimanapun, angka X50 masih belum cukup untuk menewaskan Ativa yang menerajui pendaftaran bulanan dengan kelebihan 59 unit.

Berikut adalah pendaftaran bulanan bagi Ogos 2026:

  • Perodua Ativa: 2,288 unit (Julai: 1,959 unit)
  • Proton X50: 2,229 unit (Julai: 1,953 unit)
  • Perodua Traz: 1,522 unit (Julai: 2,244 unit)

Ativa Rapatkan Jurang Dengan Traz, X50 Di Tangga Ke-8

Impak lonjakan 2,288 unit pada bulan Ogos memberikan kelebihan besar buat Ativa dalam perebutan kedudukan terkumpul (YTD).

Walaupun Ativa berada di luar kelompok 10 teratas YTD dengan jumlah 14,357 unit, ia kini rapat mengekori Perodua Traz (14,519 unit) di tangga ke-10 YTD.

Jualan Perodua Ativa, Perodua Traz dan Proton X50 pada Ogos 2026

Jurang antara dua SUV Perodua yang berada pada paras 928 unit pada Julai mengecil secara mendadak kepada 162 unit sahaja.

Jika momentum Ativa berterusan, tidak mustahil Ativa bakal merampas semula kedudukan Top 10 YTD daripada Traz menjelang penutup suku ketiga.

Berikut adalah pencapaian terkumpul YTD sehingga 31 Ogos 2026:

  • Proton X50 (No. 8 YTD): 17,828 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 14,519 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 14,357 unit

Duo Perodua Terus Kuasai Pasaran

Walaupun X50 masih mempertahankan gelaran SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi tahun 2026 (17,828 unit), strategi dua penjuru Perodua terbukti memberi cengkaman padu.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo Perodua (Traz + Ativa) kini sudah pun mencecah 28,876 unit (YTD).

Dengan baki empat bulan sebelum melabuhkan tirai 2026, mampukah Proton Saga Cross yang disebut-sebut menggugat penguasaan Perodua?

Sumber Data: data.gov.my

Proton S70 2026 kini dengan pilihan enjin 1.5L NA & CVT, harga anggaran bawah RM60 ribu

Proton mengumumkan penambahan dua varian baharu bagi sedan Proton S70 2026, iaitu varian Lite dan Prime.

Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi (NA) yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Tempahan bagi model ini sudah pun dibuka dengan harga jualan anggaran bawah RM60,000.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 layak menerima ganjaran eksklusif yang akan diumumkan kelak.

Ciri terunggul

Menurut Proton, S70 baharu ini menawarkan 10 ciri terunggul, antaranya ialah

  • ruang kabin terbesar dalam kelasnya
  • kemasan lembut untuk papan pemuka
  • fungsi automatik dan Anti Trap untuk semuya tingkap
  • brek parkir elektrik (EPB) dengan Auto Brake Hold
  • bantuan menghidup enjin jarak jauh
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar

Dari segi keselamatan, S70 menawarkan ciri seperti enam beg udara, penderia parkir depan dan belakang, kamera undur dan peringatan tempat duduk belakang.

Selain itu, ia turut hadir dengan sistem radar sisi belakang (RSRS) terdiri daripada:

  • pengesanan titik buta
  • bantuan penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran bukaan pintu
  • amaran pelanggaran belakang

Pro-Net bangunkan stesen pengecasan e.MAS menerusi kerjasama strategik dengan CPO utama

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan perancangan memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Menerusi kerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV, beberapa stesen pengecasan akan didirikan di lokasi strategik bermula suku ketiga 2026.

Pemilik e.MAS juga bakal menikmati kadar pengecasan istimewa apabila membuat bayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan

Sehingga kini, pemilik boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Ciri ini turut dilengkapi dengan peta pengecasan langsung yang tersedia di dalam kenderaan e.MAS.

Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS ke lebih banyak lokasi awam.

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan menjadi semakin penting.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan manfaat kepada pemilik e.MAS di lokasi utama,” ujarnya lagi.

Ahmad Munif Halim, Ketua Bahagian Pengecasan Pro-Net menambah, “Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” jelasnya lagi.

Perodua Traz Juara Julai 2026, Ativa atasi Proton X50 dengan 6 unit!

Persaingan tiga segi dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan menyajikan kejutan baharu bagi pendaftaran bulan Julai 2026.

Selepas terkeluar daripada kelompok 10 teratas pada separuh pertama tahun ini (1H 2026), Perodua Ativa kembali bangkit dengan penuh bergaya.

Bersama Perodua Traz, kedua-dua model kompak itu akhirnya berjaya memintas kedudukan bulanan Proton X50.

Berdasarkan data pendaftaran daripada portal data.gov.my setakat 31 Julai 2026, bulan Julai menyaksikan corak penguasaan baharu yang memihak kepada Perodua.

Pendaftaran Julai: Traz Juara Bulanan, Ativa Dipisahkan 6 Unit Dengan X50

Perodua Traz merekodkan angka pendaftaran tertinggi antara ketiga-tiga model ini, manakala Proton X50 yang biasanya mendominasi takhta bulanan mengalami sedikit penurunan.

Berikut adalah angka pendaftaran rasmi bagi bulan Julai 2026:

  • Perodua Traz: 2,244 unit (Jun: 1,904 unit)
  • Perodua Ativa: 1,959 unit (Jun: 1,834 unit)
  • Proton X50: 1,953 unit (Jun: 2,016 unit)

Peningkatan pendaftaran Traz kepada 2,244 unit membolehkannya muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi bulan Julai.

Lebih menarik, Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo turut membuktikan kejaguhannya apabila memintas X50 dengan perbezaan yang sangat tipis, iaitu 6 unit sahaja.

Kedudukan YTD: X50 Kekal Raja Individu, Duo Perodua Pegang Dominasi Keseluruhan

Meskipun tewas dalam persaingan bulanan Julai, Proton X50 masih lagi mempertahankan kelebihan dalam carta pendaftaran terkumpul (YTD) hasil momentum kukuh pada awal tahun.

Berikut adalah pencapaian terkumpul sehingga 31 Julai 2026:

  • Proton X50 (No. 6 YTD): 15,599 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 12,997 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 12,069 unit

 

Namun, dari sudut strategi perniagaan, gabungan pendaftaran duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 25,066 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini menyerlahkan cengkaman kukuh Perodua dalam menguasai pasaran SUV kompak secara keseluruhan.

Proton Bangkit Dengan Saga Cross?

Dengan baki lima bulan menuju penghujung tahun 2026, mampukah X50 bangkit semula memintas pendaftaran bulanan Traz dan Ativa, atau adakah duo Perodua bakal berterusan sehingga penutup suku ketiga?

Jawapannya terletak pada model baharu Proton yang kerap disebut sebagai Saga Cross. Persaingan pasaran SUV tempatan kini semakin hangat untuk disaksikan!

Sumber Data: data.gov.my

Proton e.MAS 5 mendarat di pasaran Nepal – 2 varian, harga dari RM80 ribu

Proton secara rasmi melancarkan SUV elektrik Proton e.MAS 5 di pasaran Nepal.

Ia merupakan pasaran luar negara kedua yang menerima kehadiran Proton e.MAS 5 selepas pengenalannya di Singapura.

Proton e.MAS 5 diperkenalkan oleh pengedar sah Proton di Nepal iaitu Jagdamba Motors dalam satu acara yang turut dihadiri wakil Kedutaan Malaysia di Nepal.

Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu Prime dan Premium.

Varian Prime dipacu motor elektrik berkuasa 78 hp dan 130 Nm, dipadankan dengan bateri LFP 30.12 kWh yang menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 285 km

Sementara varian Premium pula mampu menjana 114 hp dan 150 Nm, dengan bateri 40.16 kWh yang menawarkan jarak pandu sehingga 395 km.

Proton e.MAS 5 dijual pada harga Rs. 35 lakh (RM94 ribu) untuk varian Prime, dan Rs. 40 lakh (RM107 ribu) untuk varian Premium.

Sempena pelancaran, Jagdamba Motors turut memperkenalkan harga pengenalan khas untuk 100 pembeli terawal seperti berikut:

  • Prime – Rs 29,99,999 (RM80 ribu)
  • Premium – Rs 34,99,999 (RM94 ribu)

 

Proton e.MAS 7 PHEV 2026 kini merupakan unit CKD Tanjong Malim

Proton New Energy Technology (Pro-Net) secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Proton e.MAS 7 PHEV di Automotive High Tech Valley Tanjong Malim.

Peluncuran keluar e.MAS 7 PHEV telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta timbalannya YB Sim Tze Tzin.

Turut sama hadir ialah Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton; Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, serta Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Prestasi jualan & ciri baharu

Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai kenderaan plug-in hybrid (PHEV) yang paling laris di Malaysia dengan jumlah pendaftaran setakat ini mencecah 4,500 unit.

Jumlah tempahan secara keseluruhan melangkaui 11,000 unit.

Dalam pada itu, Proton mengumumkan penambahan ciri baharu untuk e.MAS 7 PHEV iaitu fungsi urut untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Ciri baharu ini dikhususkan untuk varian Premium dan Premium Plus.

Ia mencerminkan komitmen Pro-Net dalam menambah baik produknya berdasarkan maklum balas pelanggan serta perubahan jangkaan pengguna bagi memastikan produk kekal praktikal dan relevan untuk pemanduan harian.

Spesifikasi lanjut boleh dibaca pada pautan INI.

Langkah perkukuh ekosistem tempatan

Program CKD e.MAS 7 PHEV ini menandakan langkah seterusnya dalam usaha lokalisasi Pro-Net melibatkan pembekal tempatan merentasi rantaian nilai automotif.

Difahamkan 30% komponen kenderaan diperoleh daripada sumber tempatan.

Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, memperluaskan keupayaan pembuatan tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kilang EV baharu Proton itu kini mempunyai seramai 391 kakitangan.

Rancangan meningkatkan kandungan tempatan

Proton awal tahun ini mengumumkan perancangan untuk memperluaskan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) di AHTV Tanjong Malim.

Dengan nilai pelaburan sebanyak RM37 juta, Proton mahu meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 42,000 unit setahun.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam barisan produknya.

 

Perodua Ativa tersingkir daripada 10 model teratas 1H 2026, diganti Traz!

Prestasi Perodua Ativa yang hebat daripada Januari hingga Jun tahun 2025 (1H) nampaknya tidak berjaya diulangi pada tahun ini.

Bulan lalu, kami melaporkan bagaimana Ativa berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz pada bulan Mei.

Ativa kembali berada di tangga kesepuluh carta pendaftaran terkumpul (YTD) namun kedudukan itu tidak bertahan lama.

Memasuki data penutup H1 2026, Ativa terpaksa akur apabila terkeluar terus daripada kelompok 10 pendaftaran tertinggi di Malaysia.

Tempat Ativa kini digantikan oleh saudara baharu, Perodua Traz.

Penurunan Ketara Ativa: Perbandingan 1H 2025 vs 1H 2026

Jika menyingkap kembali prestasi separuh pertama tahun lalu, Ativa merupakan antara watak utama yang mendominasi carta dengan angka pendaftaran yang sangat kukuh.

Namun, dalam tempoh setahun sahaja, angka tersebut merosot dengan sangat ketara.

Berikut adalah perbandingan prestasi pendaftaran terkumpul (YTD) Ativa bagi tempoh Januari hingga Jun:

  • Januari – Jun 2025 (1H 2025): Ativa berada di tangga No. 6 keseluruhan dengan jumlah 16,740 unit.
  • Januari – Jun 2026 (1H 2026): Ativa jatuh ke tangga No. 11 keseluruhan dengan jumlah 10,110 unit.

Kehilangan sebanyak 6,630 unit (kemerosotan hampir 39.6%) dalam tempoh setahun ini memberi isyarat jelas bahawa perhatian pembeli sedang beralih arah.

Meskipun tidak berada dalam kelompok sepuluh teratas 1H 2026, Ativa sebenarnya berjaya menduduki tempat kesepuluh pendaftaran tertinggi bulan Jun 2026 dengan 1,834 unit.

Traz pula satu tangga di atas sebanyak 1,904 unit.

Perodua Traz Ambil Alih Tugas Sebagai Senjata Utama

Sebab utama di sebalik kemerosotan ini tidak lain tidak bukan adalah kehadiran Perodua Traz.

SUV kompak terbaharu Perodua yang dipacu enjin 1.5L aspirasi natural (NA) ternyata berjaya memikat pembeli yang mahukan praktikaliti mesra keluarga.

Setakat 1H 2026, Traz berjaya memintas Ativa untuk berada di dalam kelompok 10 teratas:

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 10,753 unit
  • Perodua Ativa (No. 11 YTD): 10,110 unit

Persaingan antara kedua-dua saudara ini sebenarnya masih sangat sengit apabila Traz berjaya memintas Ativa dengan jurang yang tipis, iaitu sebanyak 643 unit sahaja.

Ativa dilihat masih unggul dengan sesaran enjin kecil tetapi bertenaga, harga menarik dan pakej keselamatan yang lebih lengkap berbanding Traz.

Seteru utama mereka, Proton X50, pula kekal selesa menerajui segmen di tangga ke-6 keseluruhan dengan 13,646 unit.

Strategi Dua Penjuru Perodua Bakal Digugat SUV Baharu Proton?

Walaupun Ativa terkeluar daripada kedudukan 10 pendaftaran tertinggi, strategi dua penjuru Perodua sebenarnya masih berjalan lancar.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak ini (Traz + Ativa) telah mencecah 20,863 unit bagi separuh pertama 2026.

Pendaftaran Traz sebanyak 1,904 unit dan Ativa dengan 1,834 unit pada Jun begitu rapat mengikuti X50 sebanyak 2,016 unit.

Angka pendaftaran SUV Perodua jauh meninggalkan X50 dengan jumlah 13,646 unit sekali gus membantu Perodua mengekalkan cengkaman sebagai raja automotif tanah air.

Di sebalik gandingan tersebut, Proton sebenarnya sedang giat menyiapkan SUV baharu yang kerap disebut sebagai Saga Cross.

Mampukah Proton menyaingi Perodua selepas ini? Persaingan di antara gergasi pengeluar kebangsaan semakin menarik!

Sumber Data: data.gov.my

Proton S70 dipilih sebagai imej baharu teksi negara menerusi program Teksi Madani

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bertempat di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Pelancaran tersebut menandakan permulaan insiatif nasional bagi memperbaharui dan memperkukuh industri teksi negara.

Ia merupakan susulan kepada pengumuman pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan kepada pemilik teksi serta kereta sewa persendirian bagi pembelian kereta baharu buatan nasional.

Kurangkan beban pemilik teksi

Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos pemilikan kenderaan baharu dan mempercepatkan proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Selain itu, program ini memberi peluang kepada pemandu teksi beralih kepada kenderaan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta turut diumumkan bagi program geran padanan bagi menggantikan kereta lama kepada kereta baharu.

Proton S70 wajah baru teksi negara

Proton S70 dipilih kerana ciri-cirinya yang mampu memenuhi keperluan operasi mobiliti awam, seperti ruang kabin yang luas, enjin cekap bahan api dan teknologi keterhubungan pintar.

Selain itu, pemilik tidak perlu risau kerana terdapat rangkaian pusat servis Proton yang meluas di seluruh negara.

Di bawah program ini, pengendali yang layak akan ditawarkan Proton S70 Premium warna ekslusif Ruby Red, dan tidak lagi menggunakan kemasan dua tona merah putih.

Sedan tersebut turut dilengkapi dengan perkakasan tambahan yang diperlukan seperti:

  • panel LED tulisan hijau Teksi/E-Hailing
  • paparan meter tambahan untuk urusan transaksi dan paparan iklan
  • nombor pendaftaran khas GET (tulisan merah berlatarbelakang putih)
  • kemasan decal unik pada tiang C

Selain itu, teksi S70 baharu itu tidak lagi menggunakan struktur penanda atas bumbung (taxi topper) dan pelekat label operator pada pintu seperti kebiasaan.

Pro-Net perluas ekosistem pengecasan untuk kondominium dan kediaman bertingkat

Pro-Net memperluaskan ekosistem pengecasannya ke kondominium dan kediaman bertingkat tinggi terpilih di seluruh negara.

Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik Proton e.MAS menikmati kadar pengecasan kediaman eksklusif bermula daripada RM0.63/kWh.

Kadar khas untuk pemilik Proton e.MAS ini sah sehingga 31 Disember 2026.

Lebih 1,500 titik pengecasan

Rangkaian pengecasan Proton e.MAS kini merangkumi lebih 1,500 titik pengecasan di lebih 500 kondominium dan kediaman bertingkat di bandar utama termasuklah Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Tidak ketinggalan lokasi tambahan di Sabah, Sarawak serta bandar-bandar utama lain.

Ini menjadikannya antara ekosistem pengecasan EV paling meluas untuk kehidupan bandar di Malaysia.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net berkata, “Dengan kadar pengecasan bermula daripada RM0.63/kWh serta peluasan akses di seluruh negara, kami menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses, dan praktikal untuk kegunaan harian.

“Apabila lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti lestari, adalah penting untuk penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik memenuhi keperluan pelbagai jenis kediaman, termasuk kondominium dan kediaman bertingkat tinggi,” ujarnya lagi.

Daftar minat infrastruktur masa hadapan

Pemilik Proton e.MAS dan pengguna yang berminat untuk mendaftarkan kawasan kediaman mereka bagi pembangunan infrastruktur masa hadapan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://emas.proton.com/charging/

 

Proton kini tawarkan Saga dan e.MAS 5 dalam skala 1:64

Proton mengumumkan kerjasama dengan Sunway Tiny Toys yang menawarkan dua produk baharu berskala 1:64, iaitu Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5.

Koleksi model miniatur ini dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ditawarkan pada harga RM78, kedua-dua model Proton Saga dan Proton e.MAS 5 ini mula ditawarkan di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon.

Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh mendapatkannya menerusi penjual semula rasmi terpilih.

Berikut merupakan warna yang ditawarkan untuk Saga dan e.MAS 5:

  • Saga – Ruby Red & Marine Blue
  • e.MAS 5: Marble Cream & Quartz Rose

Menurut Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, “Proton Saga mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia.

“Manakala Proton e.MAS 5 pula melambangkan hala tuju baharu yang cukup mengujakan buat Proton serta landskap mobiliti negara.

“Dengan menjadikan kedua-dua kenderaan ini sebagai model skala untuk koleksi, kami berharap dapat membuka satu lagi ruang untuk rakyat Malaysia mendekati Proton.

“Ia bukan sekadar kereta miniatur, sebaliknya mewakili kenangan, aspirasi dan kemajuan yang membentuk perjalanan kami sebagai jenama automotif nasional.”


Proton sebelum ini bekerjasama dengan Mattel untuk menghasilkan model berskala HotWheels Proton Saga generasi pertama.

Perodua Ativa pintas Traz lagi pada Mei 2026, Proton X50 kekal raja SUV Malaysia!

Pasaran SUV kompak di Malaysia bagi bulan Mei 2026 terus menyajikan drama persaingan tiga segi di antara Perodua Ativa, Traz dan Proton X50.

Selepas pendaftaran terkumpul (YTD) Mac dan April memperlihatkan pergerakan agresif, kedudukan carta kini mula menunjukkan corak penguasaan yang semakin menarik untuk diteliti, terutamanya dalam kem Perodua.

Walau bagaimanapun, takhta kejuaraan secara individu masih lagi milik mutlak Proton X50 yang kekal kebal sebagai SUV paling laris di tanah air.

Proton X50 Kekal Mendominasi, Dekati Angka 12k Unit

Meskipun pasaran berdepan asakan hebat daripada lambakan SUV hibrid dan elektrik (EV) baharu dari China, keutamaan pengguna Malaysia terhadap Proton X50 nyata sukar digugat.

Bagi bulan Mei 2026, SUV segmen-B ini mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,073 unit (menurun berbanding 2,468 unit pada April akibat faktor selepas raya).

Prestasi bulanan Proton X50 setakat lima bulan pertama 2026:

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Mei: 2,073 unit

Jumlah Terkumpul (YTD Mei): 11,630 unit

Keupayaan enjin 1.5L Turbo yang digandingkan dengan transmisi DCT ini membuktikan pilihan rangkaian kuasa konvensional Proton masih memegang kepercayaan tertinggi dalam kalangan pembeli tempatan.

Seteru Seperjuangan: Ativa Pintas Bulanan, Traz Menang YTD!

Di kem Perodua, persaingan antara Perodua Traz dan Perodua Ativa menjadi semakin membara.

Di atas kertas, Ativa membuktikan ia masih bertaring apabila berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz buat kali kedua berturut-turut pada bulan Mei dengan kelebihan 223 unit.

Angka pendaftaran bulanan bagi bulan Mei 2026 sahaja:

  • Perodua Ativa: 1,762 unit (April: 2,230 unit)
  • Perodua Traz: 1,539 unit (April: 2,220 unit)

Namun begitu, dari segi pendaftaran keseluruhan (YTD), Traz yang dipacu enjin 1.5L NA kekal di hadapan hasil daripada momentum konsisten pada awal suku pertama yang lalu.

Prestasi pendaftaran terkumpul (YTD sehingga 31 Mei 2026):

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 8,849 unit
  • Perodua Ativa (No. 10 YTD): 8,276 unit

Strategi Dua Penjuru Perodua ‘Tapau’ Proton

Kewujudan serentak Traz dan Ativa dalam portfolio Perodua ternyata merupakan satu langkah taktikal yang sangat berbisa.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 17,125 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini bukan sahaja jauh meninggalkan pencapaian individu Proton X50 (11,630 unit), malah menjadi nadi dalam membantu mengukuhkan cengkaman apabila jumlah pendaftaran keseluruhan Perodua mencecah 130,778 unit setakat Mei 2026.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mei 2026)

Kejutan terbesar pada bulan ini menyaksikan Honda City terpaksa akur terkeluar daripada kelompok 10 kenderaan, sekali gus membolehkan Perodua Ativa kembali membuat kemunculan semula dan berada di tangga kesepuluh:

  1. Perodua Bezza: 39,465 unit
  2. Proton Saga: 37,234 unit
  3. Perodua Axia: 30,940 unit
  4. Perodua Myvi: 23,894 unit
  5. Perodua Alza: 15,677 unit
  6. Proton X50: 11,630 unit
  7. Proton S70: 10,525 unit
  8. Proton e.MAS 5: 9,356 unit
  9. Perodua Traz: 8,849 unit
  10. Perodua Ativa: 8,276 unit

Sumber Data: data.gov.my

KLIMS2026: Proton pamer enjin hibrid 1.5 liter, kuasa 110 hp/136 Nm

Bertempat di acara KLIMS 2026, Proton turut mengambil kesempatan mempamerkan teknologi HEV yang bakal muncul pada masa akan datang.

Sistem hibrid ini menggabungkan kecekapan enjin hibrid (DHE) dengan keupayaan responsif transmisi hibrid (DHT) untuk pemanduan bandar yang lebih senyap dan lancar.

Nadi 1.5 liter cekap tenaga

Sistem ini dipacu oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang mampu mencapai piawaian China 6b/Euro 6d, dengan kadar kecekapan terma puncak sehingga 46.5 peratus.

Enjin ini mampu menjana kuasa 110 hp dan daya kilas 136 Nm.

Ia serasi dengan bahan api RON95, selain turut hadir dengan teknologi sejukan cecair EGR, serta pam penyejukan elektrik pintar untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi.

Sistem transmisi DHT pula dilengkapi dengan dua motor elektrik:

  • P1 – menyokong proses menghidupkan enjin dan penjanaan kuasa
  • P3 – motor pacuan utama dan membantu pemulihan tenaga semasa nyahpecutan

Digabungkan dengan Modul Kawalan Kuasa (PCM), sistem ini direka untuk memberikan pengurusan kuasa yang responsif, cekap dan pintar untuk keperluan pemanduan harian.

Sistem HEV ini turut menawarkan mod pemanduan sifar emisi (EV Mode) membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik.

Selain EV Mode, sistem ini menawarkan pilihan seperti:

  • Series Mode
  • Parallel Mode
  • Direct Drive (ICE Mode)

Ke arah mobiliti pintar

Dato’ Ir. Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton menjelaskan teknologi ini mewakili satu langkah penting dalam perjalanan jenama tersebut ke arah mobiliti pintar.

“Di KLIMS 2026, kami mahu pengunjung merasai sendiri bagaimana teknologi kami bukan sahaja maju, tapi dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia.

Melengkapi pameran teknologi HEV ialah pameran zon mobiliti yang merangkumi:

  • sistem bantuan pemandu termaju (ADAS)
  • enjin i-GT
  • senibina elektrik & elektronik (EEA)
  • konsep kokpit kenderaan modular
  • kokpit pintar IHU
  • barisan model lengkap termasuk Saga, S70, X50, X70 dan X90

KLIMS2026: Proton e.MAS 7 Premium Plus rasmi, harga dari RM118,800

Pro-Net mengumumkan varian baharu bagi model SUV elektriknya, iaitu Proton e.MAS 7 Premium Plus di KLIMS 2026.

Ia dijual pada harga RM125,800, atau dari RM118,800 selepas Rebat Pelancaran Khas bernilai RM7,000 untuk tempoh terhad.

Varian Premium pula ditawarkan pada harga RM112,800 sementara varian Prime dari RM96,800.

Spesifikasi

e.MAS 7 Premium Plus kekal dengan unit pacuan motor elektrik tunggal 218 PS/320 Nm.

Namun, ia hadir dengan pek bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 450 km.

Ia menyokong pengecasan AC 11 kW (10-100% dalam 6.7 jam) dan pengecasan pantas DC sehingga 115 kW (30-80% dalam 20 minit).

Varian ini turut hadir dengan fungsi urut untuk tempat duduk baris hadapan, diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan kuasa 4-tahap lengkap dengan fungsi memori dan penyandar kaki tersedia.

Akhir sekali, Proton e.MAS 7 Premium Plus didatangkan dengan tonneau cover.

Kelengkapan lain bagi varian Premium Plus ini adalah mirip kepada varian Premium, boleh baca di SINI.

Pakej Power Pack Plus

Setiap pembelian akan disertakan dengan pakej Power Pack Plus merangkumi:

  • insentif tambahan RM5,000 untuk pemilik Proton sedia ada
  • pengecas dinding 7kW percuma (bernilai RM1,500)
  • penyesuai V2L percuma (bernilai RM500)
  • data internet 5-tahun tanpa had (bernilai RM1,800)
  • jaminan kenderaan 6-tahun tanpa had
  • jaminan bateri & komponen voltan tinggi 8-tahun/160,000 km

Proton X50 raja SUV, Perodua Traz kalah 10 unit dengan Ativa pada April 2026

Pasaran SUV Malaysia bagi bulan April 2026 terus memperlihatkan penguasaan Proton X50 yang sukar digugat.

Meskipun pasaran kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu sama ada dari jenama tempatan atau China, Proton X50 membuktikan kredibilitinya apabila kekal konsisten sebagai SUV paling laris di tanah air.

Sementara itu, dalam kem Perodua, perhatian terarah kepada model baharu Traz, yang kini secara rasmi memintas kedudukan pendaftaran terkumpul (YTD) saudaranya, Ativa.

Prestasi Proton X50 April 2026

Berdasarkan data pendaftaran sehingga 30 April 2026, Proton X50 kekal stabil dengan pendaftaran sebanyak 2,468 unit bagi bulan April.

Meskipun mencatat penurunan berbanding Mac, momentum X50 masih jauh di hadapan pencabar SUV segmen-B yang lain secara individu.

Prestasi konsisten ini menunjukkan model pembakaran dalaman (ICE) dengan kuasa turbo keluaran Proton masih memegang kepercayaan tinggi pengguna Malaysia.

Berikut adalah prestasi bulanan Proton X50 (Januari – April 2026):

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 9,557 unit

Perodua Traz Mula Memintas Ativa

Satu perkembangan yang sangat menarik bagi suku kedua (Q2) 2026 adalah prestasi Perodua Traz yang bersaing dengan Perodua Ativa.

Model ini mempamerkan momentum yang cukup kuat apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 2,220 unit pada bulan April, sekali gus memintas kedudukan YTD Ativa.

Data pendaftaran bulanan bagi model Perodua Traz:

  • Januari: 1,520 unit
  • Februari: 1,850 unit
  • Mac: 1,720 unit
  • April: 2,220 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 7,310 unit

Manakala prestasi Perodua Ativa menyaksikan persaingan yang cukup sengit sejak Januari 2026:

  • Januari: 1,650 unit
  • Februari: 1,254 unit
  • Mac: 1,380 unit
  • April: 2,230 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 6,514 unit

Berdasarkan jualan April, dapat diperhatikan kedua-dua model ini sama kuat dengan Ativa berjaya memintas Traz sebanyak 10 unit.

Strategi SUV Perodua dan Penguasaan Pasaran

Bagi Perodua, kewujudan serentak Traz dan Ativa sebenarnya merupakan satu kelebihan taktikal yang sangat berbisa.

Persaingan sihat antara kedua-dua model ini memberikan kepelbagaian pilihan dalam segmen SUV kompak buat pembeli di Malaysia.

Pengguna boleh memilih sama ada mahukan teknologi turbo pada Ativa atau praktikaliti enjin 1.5L NA pada Traz.

Secara strategik, gabungan pendaftaran Traz dan Ativa kini mencecah 13,824 unit (YTD).

Angka ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding pencapaian individu Proton X50 yang mencatatkan 9,557 unit (YTD).

Malah, jika dibandingkan dengan gabungan tiga model SUV utama Proton (X50, X70, X90) sebanyak 12,761 unit (YTD), duo SUV Perodua ini masih lagi mendahului dengan kelebihan 1,063 unit.

Setakat April, penguasaan Perodua dalam pendaftaran keseluruhan sudah pun mencecah angka 106,298 unit.

Gabungan Traz dan Ativa terbukti menjadi penyumbang dalam mengukuhkan cengkaman Perodua dalam pasaran SUV negara.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD April 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga April 2026:

  1. Perodua Bezza: 32,386 unit
  2. Proton Saga: 29,897 unit
  3. Perodua Axia: 24,955 unit
  4. Perodua Myvi: 19,478 unit
  5. Perodua Alza: 12,806 unit
  6. Proton X50: 9,557 unit
  7. Proton e.MAS 5: 8,473 unit
  8. Proton S70: 8,175 unit
  9. Perodua Traz: 7,310 unit
  10. Honda City: 6,730 unit

Sumber Data: data.gov.my

Proton e.MAS 5 dapat warna baharu Jade Green

Pro-Net selaku anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan warna baharu untuk Proton e.MAS 5, iaitu warna Jade Green.

Model itu dipamerkan bersama Proton e.MAS 7 PHEV warna Emerald Green yang turut baru diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.

Setakat tahun 2026, Proton telah berjaya menjual lebih 8,000 unit e.MAS 5.

Ia juga merupakan model yang popular di wilayah Utara dengan pegangan pasaran sebanyak 64.2 peratus setakat Mac 2026.

Pamer platform GMA buat kali pertama di Utara

Pro-Net juga mengambil kesempatan mempamerkan platform Global Modular Architecture (GMA) di Utara.

Inisiatif ini memberikan peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat teknologi yang menjadi asas kepada rangkaian EV dan PHEV Proton.

Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS yang masih berlangsung menjemput orang ramai merasai sendiri pengalaman memandu e.MAS dan berpeluang menerima ganjaran menarik.

Kempen dari 13 April hingga 17 Mei ini menawarkan ganjaran mingguan berupa 30 bar emas 3g yang akan diberikan sepanjang tempoh lima minggu.

Proton X70 Sport Edition 2026 – 600 unit terhad, harga RM112,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV Proton X70 Sport Edition (SE) 2026 untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan dari RM112,800.

Unit produksi dihadkan kepada 600 unit sahaja.

Ciri eksklusif

Proton X70 Sport Edition ini menampilkan beberapa ciri eksklusif, antaranya:

  • kit badan penuh (skirt depan, sisi, belakang)
  • rim aloi 19 inci warna hitam
  • emblem eksklusif Sport Edition
  • warna Quartz Black

Untuk ruang kabin pula, ia diserikan dengan kemasan jahitan merah pada roda stereng, tempat duduk dan perehat tangan.

Tidak dilupakan, sulaman logo Sport Edition pada tempat duduk, dan dulang but untuk praktikaliti kegunaan harian.

Spesifikasi asas tidak berubah

X70 Sport Edition ini menggunakan asas varian Premium, dan dilengkapi dengan ciri seperti:

  • sistem infohibur 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • sistem ADAS Tahap 2 dengan 13 ciri keselamatan

Enjin 4-silinder sebaris 1.5TD i-GT mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.

Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS tawar 30 jongkong emas, dari 13 April hingga 17 Mei 2026

Pro-Net selaku anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS bermula 13 April hingga 17 Mei 2026.

Kempen terbaharu ini mengajak rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman mobiliti elektrik dengan memandu uji model berikut:

Dengan tema 30 Jongkong Emas dalam 30 Hari, kempen ini menawarkan 30 unit jongkong emas seberat 3g untuk dimenangi sepanjang lima minggu berturut-turut.

Cara penyertaan

Terdapat empat langkah mudah untuk menyertai kempen ini:

  1. Ikuti Proton e.MAS di media sosial (Instagram, Facebook, Tiktok atau Xiao Hong Shu)
  2. Kunjungi mana-mana pengedar rasmi Proton e.MAS
  3. Pandu uji dan buat tempahan mana-mana model Proton e.MAS
  4. Lengkapkan borang dan hantar penyertaan melalui pengedar rasmi yang terlibat

Seramai enam pemenang dari seluruh negara akan dipilih setiap minggu untuk membawa pulang jongkong emas seberat 3g.

Hadiah utama eksklusif

Selain itu, kempen ini turut menawarkan hadiah utama eksklusif termasuklah:

  • 1x Hadiah Utama – Percutian 5H4M untuk dua orang ke Gold Mine Tour, Australia
  • 3x Hadiah Gold Class – Jongkong emas 5g

Golden Roadshow di lokasi terpilih

Proton akan mengadakan Golden Roadshow dengan membawakan barisan EV lebih dekat kepada rakyat Malaysia di beberapa lokasi terpilih:

  • Queensbay Mall, Penang (15-19 April)
  • AEON Melaka (19-24 Mei)
  • East Coast Mall, Kuantan (24-28 Jun)

Proton X70 Sport Edition 2026: Terhad 600 unit, tempahan kini dibuka

Proton bakal melancarkan sebuah lagi model SUV edisi terhad pada 16 April ini, iaitu Proton X70 Sport Edition 2026.

Model baharu ini akan mula dipamerkan di bilik pameran terpilih hujung minggu ini.

Perincian X70 Sport Edition

Terhad kepada 600 unit, X70 Sport Edition ditawarkan berdasarkan varian Premium dan warna eksklusif Quartz Black.

Antara perincian pada model ini termasuklah:

  • kit badan khas (skirt hadapan, sisi dan belakang)
  • rim aloi hitam 19 inci
  • emblem Sport Edition

Untuk ruang kabin pula, terdapat ciri berikut:

  • logo Sport Edition pada tempat duduk depan
  • kemasan jahitan merah pada tempat duduk, roda stereng dan perehat tangan depan
  • dulang but

Model penting terhadap jenama Proton

Menurut Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, “Proton X70 merupakan model penting yang mengubah persepsi pelanggan terhadap jenama Proton.

“Ia menjadi titik permulaan kepada era baharu syarikat dari segi produk, teknologi dan kerjasama global.”

“Pengenalan X70 Sport Edition menawarkan pilihan yang lebih bergaya dan eksklusif kepada pelanggan. Ia mencerminkan evolusi berterusan X70 selaras dengan jangkaan pasaran,” jelasnya lagi.

Proton X50 kini ditawarkan dalam warna baharu Quartz Black

Proton mengumumkan penawaran warna baharu Quartz Black bagi model SUV Proton X50.

Ia merupakan susulan kepada kejayaan pengenalan model X50 Black Edition yang dilancarkan Mac lepas, dengan 200 unit habis terjual.

Momentum jualan kukuh

Sepanjang Mac 2026, Proton X50 terus mencatatkan momentum jualan yang kukuh dengan 3,265 unit terjual.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV popular di Malaysia bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini (7,571 unit).

Proton turut menawarkan pakej komitmen selepas jualan yang komprehensif bagi memberikan kemudahan dan ketenangan minda kepada pemilik.

Antaranya ialah:

  • servis asas pantas dalam tempoh 90 minit bagi pelanggan yang membuat tempahan awa
  • jaminan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk kerja penyelenggaraan menyeluruh
  • kereta gantian & servis percuma (termasuk kos upah & alat ganti) jika pembaikan mengambil masa lebih tiga hari bekerja

Proton X50 facelift dilancarkan secara rasmi pada Julai tahun lepas, menampilkan perubahan besar luar dan dalam.

Ia turut hadir dengan enjin empat silinder 1.5 liter turbo menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Untuk pasaran tempatan, SUV ini dijual pada harga seperti berikut:

• Proton X50 Executive – RM89,800
• Proton X50 Premium – RM101,800
• Proton X50 Flagship – RM113,300

Proton e.MAS 7 PHEV 2026 kini tersedia dalam warna Emerald Green

Pro-Net, anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan warna baharu Emerald Green bagi model Proton e.MAS 7 PHEV 2026.

Menurut Salawati Yusoff selaku Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, selain memberi lebih pilihan kepada pelanggan, warna baharu ini menyerlahkan lagi reka bentuk dan identiti SUV ini.

e.MAS 7 PHEV menggunakan unit rangkaian kuasa Super Hybrid EM-i Geely, terdiri daripada enjin 1.5 liter NA (98 hp/125 Nm) dan motor elektrik tunggal (215 hp/262 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 258 hp dan 262 Nm yang memacu roda depan.

Terdapat dua pilihan kapasiti bateri untuk e.MAS 7 PHEV.

Varian Premium Plus menggunakan bateri bilah pendek Aegis 29.8 kWh yang menawarkan jarak gerak 170 km (data NEDC), selain menyokong pengecasan pantas DC 60 kW.

Pengecasan 30-80 peratus hanya mengambil masa kurang 16 minit.

Sementara varian Premium dan Prime pula menggunakan bateri CATL 18.4 kWh dengan jarak pandu sejauh 105 km, serta pengecasan DC sehingga 30 kW.

Sistem PHEV ini menawarkan tiga mod hibrid iaitu Series Hybrid Mode, Parallel Mode dan Direct Drive Mode.

Secara keseluruhan, e.MAS 7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,065 km.

Selain warna Emerald Green, pembeli e.MAS 7 PHEV boleh memilih warna seperti Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Azure Blue.